Jumaat, 10 Julai 2009

2. Baz Gasht (Kembali)


Baz Gasht bererti kembali. Menurut para Masyaikh, maksudnya ialah seseorang yang melakukan zikir dengan menggunakan lidah hati menyebut Allah Allah dan La Ilaha Illa Allah, begitulah juga setelah itu hendaklah mengucapkan di dalam hati dengan penuh khusyuk dan merendahkan diri perkataan ini:

“Ilahi Anta Maqsudi Wa Ridhaka Matlubi.”

Yang bererti,

“Wahai Tuhanku Engkaulah maksudku dan keredhaanMu tuntutanku.”

Ianya merupakan ucapan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan ucapan ini akan meningkatkan tahap kesedaran kepada kewujudan dan keesaan Zat Tuhan, sehingga dia mencapai suatu tahap di mana segala kewujudan makhluk terhapus pada pandangan matanya. Apa yang dilihatnya walau kemana jua dia memandang, yang dilihatnya hanyalah Keesaan Zat Tuhan.
Ucapan kata-kata ini juga memberikan kita pengertian bahawa hanya Allah yang menjadi maksud dan matlamat kita dan tidak ada tujuan lain selain untuk mendapatkan keredhaanNya. Salik hendaklah mengucapkan kalimah ini bagi menghuraikan segala rahsia Keesaan Zat Tuhan dan supaya terbuka kepadanya keunikan hakikat Kehadiran Zat Allah. Sebagai murid, tidak boleh meninggalkan zikir kalimah ini meskipun tidak merasakan sebarang kesan pada hati. Dia hendaklah tetap meneruskan zikir kalimah tersebut sebagai menuruti Syeikhnya.

Makna Baz Gasht ialah kembali kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia dengan menunjukkan penyerahan yang sempurna, mentaati segala kehendakNya dan merendahkan diri dengan sempurna dalam memuji ZatNya. Adapun lafaz Baz Gasht dalam Bahasa Parsi seperti yang diamalkan oleh para Akabirin Naqshabandiyah Mujaddidiyah adalah seperti berikut :

“Khudawanda, Maqsudi Man Tui Wa Ridhai Tu, Tarak Kardam Dunya Wa Akhirat Baraey Tu, Mahabbat Wa Ma’rifati Khud Badih.”

Yang bererti,

“Tuhanku, maksudku adalah Engkau dan keredaanMu, ku lepaskan dunia dan akhirat kerana Engkau. Kurniakanlah cinta dan makrifat ZatMu.”

Pada permulaan, jika Salik sendiri tidak memahami hakikat kebenaran ucapan kata-kata ini, hendaklah dia tetap juga menyebutnya kerana menyebut kata-kata itu dengan hati yang khusyuk dan merendahkan diri akan menambahkan lagi pemahamannya dan secara sedikit demi sedikit Salik itu akan merasai hakikat kebenaran perkataan tersebut dan Insya Allah akan merasai kesannya.

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menyatakan dalam doanya,

“Ma Zakarnaka Haqqa Zikrika Ya Mazkur.”

Yang bererti,

“Kami tidak mengingatiMu dengan hak mengingatiMu secara yang sepatutnya, Wahai Zat yang sepatutnya diingati”.

Seseorang Salik itu tidak akan dapat hadir ke Hadhrat Allah menerusi zikirnya dan tidak akan dapat mencapai Musyahadah terhadap rahsia rahsia dan sifat-sifat Allah menerusi zikirnya jika dia tidak berzikir dengan sokongan dari Allah dan menerusi ingatan Allah terhadap dirinya.

Hadhrat Maulana Syeikh Abu Yazid Bustami Rahmatullah ‘Alaih telah berkata,

“Apabila daku mencapai ZatNya, daku melihat bahawa ingatanNya terhadap diriku mendahului ingatanku terhadap diriNya.”

Seorang Salik itu tidak akan dapat berzikir dengan kemampuan dirinya bahkan dia hendaklah sentiasa menyedari bahawa Allah-lah yang sedang berzikir menerusi dirinya.

1. Yad Kard (Berzikir)


“Yad” bererti ingat yakni zikir. Perkataan “Kard” pula bagi menyatakan kata kerja bagi ingat yakni pekerjaan mengingati Allah dan ianya merupakan zat bagi zikir. Berkata para Masyaikh, Yad Kard bermaksud melakukan zikir mengingati Tuhan dengan menghadirkan hati. Murid yang telah melakukan bai’ah dan telah ditalqinkan dengan zikir hendaklah senantiasa sibuk mengingati Allah dengan kalimah zikir yang telah ditalqinkan.


Zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh adalah zikir yang akan membawa seseorang murid itu mencapai ketinggian darjat ruhani. Syeikh akan mentalqinkan zikir kepada muridnya sama ada zikir Ismu Zat ataupun zikir Nafi Itsbat secara Lisani ataupun Qalbi. Seseorang murid hendaklah melakukan zikir yang sebanyak-banyaknya dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan berzikir.


Pada setiap hari, masa dan keadaan, sama ada dalam keadaaan berdiri atau duduk atau berbaring ataupun berjalan, hendaklah sentiasa berzikir. Pada lazimnya seseorang yang baru menjalani Tariqat Naqshbandiyah ini, Syeikh akan mentalqinkan kalimah Ismu Zat iaitu lafaz Allah sebagai zikir yang perlu dilakukan pada Latifah Qalb tanpa menggerakkan lidah. Murid hendaklah berzikir Allah pada latifah tersebut sebanyak 24 ribu kali sehari semalam setiap hari sehingga terhasilnya cahaya Warid dan akan mengalami beberapa Ahwal.


Seterusnya murid hendaklah mengkhabarkan segala pengalaman ruhaniahnya kepada Syeikh apabila menerima warid tersebut. Begitulah pada setiap latifah, murid hendaklah berzikir sebanyak-banyaknya pada kesemua latifah seperti yang diarahkan oleh Syeikh sehingga tercapainya warid. Mengingati Allah secara sempurna adalah dengan berzikir menghadirkan hati ke Hadhrat ZatNya.


Setelah zikir Ismu Zat dilakukan pada setiap latifah dengan sempurna, Syeikh akan mentalqinkan pula zikir Nafi Itsbat iaitu kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH yang perlu dilakukan sama ada secara Lisani iaitu menerusi lidah atau secara Qalbi iaitu berzikir menerusi lidah hati. Zikir Nafi Itsbat perlu dilakukan menurut kaifiatnya.Syeikh akan menentukan dalam bentuk apa sesuatu zikir itu perlu dilakukan.


Yang paling penting bagi Salik adalah menyibukkan diri dengan zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh sama ianya zikir Ismu Zat ataupun Nafi Itsbat. Salik hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sehingga dia mencapai kejernihan hati dan tenggelam di dalam muraqabah. Murid yang Salik hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sebanyak 5 ribu ke 10 ribu kali setiap hari bagi menanggalkan segala kekaratan hati. Zikir tersebut akan membersihkan hati dan membawa seseorang itu kepada Musyahadah.


Salik hendaklah memelihara zikir dengan hati dan lidah dengan menyebut Allah iaitu nama bagi Zat Tuhan yang merangkumi kesemua nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang mulia serta dengan menyebut zikir Nafi Itsbat menerusi kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH dengan sebanyak-banyaknya.


Zikir Nafi Itsbat menurut Akabirin Naqshbandiyah, seseorang murid yang baru itu hendaklah menutup kedua matanya, menutup mulutnya, merapatkan giginya, menongkatkan lidahnya ke langit-langit dan menahan nafasnya. Dia hendaklah mengucapkan zikir ini dengan hatinya bermula dari kalimah Nafi dan seterusnya kalimah Itsbat. Bagaimanapun, bagi murid yang telah lama hendaklah membukakan kedua matanya dan tidak perlu menahan nafasnya.


Bermula dari kalimah LA yang bererti Tiada, dia hendaklah menarik kalimah LA ini dari bawah pusatnya ke atas hingga ke otak. Apabila kalimah LA mencapai otak, ucapkan pula kalimah ILAHA di dalam hati yang bererti Tuhan. Kemudian hendaklah digerakkan dari otak ke bahu kanan sambil menyebut ILLA yang bererti Melainkan, lalu menghentakkan kalimah ALLAH ke arah Latifah Qalb. Sewaktu menghentakkan kalimah Allah ke arah Qalb, hendaklah merasakan bahawa kesan hentakan itu mengenai kesemua Lataif di dalam tubuh badan.


Zikir yang sebanyak-banyaknya akan membawa seseorang Salik itu mencapai kepada kehadiran Zat Allah dalam kewujudan secara zihni yakni di dalam fikiran. Salik hendaklah berzikir dalam setiap nafas yang keluar dan masuk. Yad Kard merupakan amalan di fikiran yang mana fikiran hendaklah sentiasa menggesa diri supaya sentiasa ingat kepada Allah dan melakukan zikir bagi mengingati ZatNya.


Pekerjaan berzikir mengingati Allah adalah suatu amalan yang tiada batas dan had. Ianya boleh dikerjakan pada sebarang tempat, masa dan keadaan. Hendaklah sentiasa memerhatikan nafas supaya setiap nafas yang keluar dan masuk itu disertai ingatan terhadap Zat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Prinsip Asas Tariqah Naqshbandiyah



Tariqat Naqshbandiyah mempunyai prinsip dasarnya yang tersendiri yang telah diasaskan oleh Hadhrat Khwajah Khwajahgan Maulana Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih. Beliau telah meletakkan 8 prinsip asas ini sebagai dasar Tariqat Naqshbandiyah.




Prinsip-prinsip ini dinyatakannya dalam frasa bahasa Parsi dan mengandungi pengertian dan pangajaran yang amat tinggi nilainya. Adapun prinsip-prinsipnya adalah seperti berikut :




1. Yad Kard


2. Baz Gasht


3. Nigah Dasyat


4. Yad Dasyat


5. Hosh Dar Dam


6. Nazar Bar Qadam


7. Safar Dar Watan


8. Khalwat Dar Anjuman




Hadhrat Syeikh Muhammad Parsa Rahmatullah ‘Alaih yang merupakan sahabat, khalifah dan penulis riwayat Hadhrat Maulana Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘Alaih telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa ajaran tariqat Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih berkenaan zikir dan ajaran lapan prinsip asas seperti yang dinyatakan di atas turut dianuti dan diamalkan oleh 40 jenis tariqat yang lain sebagai panduan kepada jalan kebenaran yang mulia iaitu jalan kesedaran dalam menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan meninggalkan sebarang bentuk bida’ah dan bermujahadah melawan hawa nafsu.




Kerana itulah Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Al-Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih mencapai ketinggian ruhani dan menjadi seorang Mahaguru Tariqat dan penghulu pemimpin keruhanian pada zamannya.

Khamis, 9 Julai 2009

Naqshbandiyah Academy of Quran Sunnah and Hadits





NAQSH : Naqshbandiyah Akademi Quran Sunnah dan Hadits adalah sebuah Khanqah Naqshbandiyah di Alam Maya bertujuan untuk menghidupkan semula ajaran ilmu-ilmu Islam, Iman dan Ihsan yang berasaskan Al-Quran, As-Sunnah dan Al-Hadits kepada sekelian Ummat Muhammadiyah demi mencapai kesempurnaan Syari'at, Tariqat, Ma'rifat dan Haqiqat menurut 'Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.



Naqsh bererti gambaran, lukisan, ukiran, kesan, tanda, peta, petunjuk dan kalimah ini berasaskan tiga huruf Arab iaitu Nun, Qaf dan Shin. Nun adalah Nur, Qaf adalah Quran dan Shin adalah Syari'at. Nun adalah Niat, Qaf adalah Qasad dan Shin adalah Syuhud. Nun adalah Nikmat, Qaf adalah Qabuliyat dan Shin adalah Syahadat.



Berdasarkan kupasan-kupasan ini, huruf Nun adalah bagi menyatakan bahawa Nur Allah itu meliputi segenap lapisan langit dan bumi, dan ianya tersembunyi dalam Niat seseorang hamba Allah yang ikhlas dalam ketaatannya sehingga dapat merasakan limpahan dan Tajalliyat Nur Allah di dalam hati yang mana ianya merupakan suatu kurniaan Nikmat dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala.



Huruf Qaf adalah bagi menyatakan bahawa Al-Quran dan segala ajaran yang menurutinya merupakan sumber utama dalam memperbetulkan Qasad yakni maksud penciptaan manusia di atas muka bumi kerana hanya dengan berpandukan ajaran Al-Quran dan segala yang bertakluk dengannya sahaja yang akan dapat membawa seseorang hamba itu ke pintu Qabuliyat yakni penerimaan di sisi Allah Ta'ala.



Manakala huruf Shin adalah bagi menyatakan Syari'at, Syuhud dan Syahadat. Syari'at adalah perundangan Islam yang bersifat zahir. Syuhud adalah menyaksikan kebenaran yang Haqq dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menerusi pandangan mata hati dan mata akal, manakala Syahadat adalah membenarkan penyaksian terhadap Ketuhanan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Kenabian Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dengan cara mengucapkan kata-kata penyaksian ini dengan lisan.


Setiap perkara Syari'at mengandungi Haqiqat di sebaliknya. Syari'at Islam adalah Zahir Islam manakala Haqiqat Islam adalah Batin Islam. Seterusnya, Zahir Islam dan Batin Islam ini kedua-duanya memiliki perkara yang zahir dan batin. Yang zahir bagi Zahir Islam adalah amalan Syari'at iaitu mengucap dua kalimah Syahadat, Solat lima waktu, Puasa di bulan Ramadhan, Zakat dan Haji. Batin Islam adalah batin bagi Syari'at dan kefahaman tentang perkara Batin berkaitan Syari'at hanya akan dapat dicapai apabila seseorang itu menempuh perjalanan Tariqat.



Pengamalan Tariqat akan membawa seseorang itu kepada memahami perkara-perkara yang batin tentang Islam. Perkara-perkara batin adalah perkara yang berkaitan dengan Iman dan Ihsan. Pada Batin Islam inilah terletaknya Haqiqat Islam yang sebenar dan sepertimana Syari'at Islam yang mengandungi perkara zahir dan perkara batin, Haqiqat Islam juga mengandungi perkara-perkara yang zahir dan batin. Perkara zahir bagi memahami Haqiqat Islam adalah menerusi ilmu Ma'rifat, manakala perkara batin bagi memahami Haqiqat Islam adalah ilmu Haqiqat.



Maksud ilmu-ilmu Ma'rifat dan Haqiqat adalah bagi mencapai kefahaman yang lebih dalam dan jauh tentang Haqiqat Haqiqat Islam, Iman dan Ihsan. Perkataan Ma'rifat terbit dari kalimah perkataan 'Arafa Ya'rifu 'Irfatan 'Irfanan Ma'rifatan yang membawa makna "mengetahui dan mengenali sesuatu". Fa'ilnya adalah 'Arif dan Maf'ulnya adalah Ma'ruf.



'Arafa bermakna 'Alima yang juga bermakna "mengetahui dan mengenali sesuatu", namun perbezaan di antara kedua-dua kalimah ini pada zahirnya dapat jelas kelihatan pada pengaturan huruf-hurufnya. Pada batinnya, perbezaan antara kedua-dua kalimah ini adalah dari sudut penggunaannya, yang mana perkataan 'Alim sering digunakan untuk Para 'Ulama yang menguasai ilmu-ilmu Syari'at Islam serta berjalan di atas Tariqat Islam tetapi tidak menguasai pemahaman ilmu-ilmu Ma'rifat dan Haqiqat. Perkataan 'Arif pula sering digunakan bagi menunjukkan kepada Para 'Ulama yang mengamalkan Syari'at dan berjalan atas perjalanan Tariqat di samping penguasaan dan pemahaman mereka tentang perkara-perkara Ma'rifat dan Haqiqat.



Ma'rifat Islam bermaksud untuk mengetahui dan mengenali tentang Islam dan Haqiqat Islam bermaksud kebenaran yang diperolehi hasil dari usaha Ma'rifat. Dalam ertikata lain, Haqiqat adalah buah dari Ma'rifat. Ma'rifat Allah bermaksud untuk mengetahui dan mengenali tentang ZatNya, Nama-NamaNya, Sifat-SifatNya, Af'al Nya yakni tindakan dan perbuatanNya serta segala sesuatu yang berkaitan dan berhubungan denganNya. Haqiqat Allah adalah kebenaran mutlak yang sebenar tentang ZatNya Yang Maha Suci, yang tidak tergambarkan oleh akal fikiran dan sekali-kali tidak menyerupai makhluk ciptaan.



Bahawa Dialah Allah, Tuhan Maha Esa yang wajib disembah, yang menjadi tempat pergantungan sekelian makhluk, yang tiada sesuatu pun dapat menyerupaiNya. Dia tidak memiliki anak dan Dia sama sekali tidak pernah diperanakkan. WujudNya tidak bertempat dan kedudukanNya adalah Maha Tinggi mengatasi segala sesuatu.



Naqshbandiyah adalah suatu kaedah teragung yang telah diajarkan oleh Para Masyaikh Akabirin Naqshbandiyah untuk menyelami dan memahami tentang segala haqiqat dan rahsia yang berkaitan dengan Ketuhanan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Perjalanan Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah adalah yang paling mudah, sederhana, sempurna, kukuh, teguh, kuat, indah, selamat dan paling bermanafaat bagi seseorang manusia yang ingin menjadi Insan yang sempurna dan memperbaikkan amalannya demi mencapai martabat Ihsan.


Silsilah ini mengandungi tiga orang Sahabat Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam iaitu Hadhrat Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Hadhrat Salman Al-Farisi dan Hadhrat Imam Qasim Bin Muhammad Bin Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu 'Anhum serta Imam Ahli Bait iaitu Hadhrat Imam Ja'afar As-Sadiq Radhiyallahu 'Anhu. Juga menampilkan Para Khwajahgan Agung antaranya seperti:


Hadhrat Abu Yazid Al-Bistami, Hadhrat Abu Al-Hasan Al-Kharqani, Hadhrat Abu 'Ali Al-Faramadi, Hadhrat Yusuf Al-Hamadani, Hadhrat Shah Bahauddin Muhammad Al-Bukhari, Hadhrat 'Ubaidullah Al-Ahrari, Hadhrat Muhammad Baqi Billah, Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani, Hadhrat Muhammad Ma'sum, Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan dan Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi.



Ianya merupakan suatu pegangan yang kukuh dan menuruti perjalanan Para Sahabat Ridhwanullah 'Alaihim Ajma'in iaitu dengan mengingati Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebanyak-banyaknya dengan Zikir Khafiyah dan beramal dengan Sunnah Nabawiyah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.



Semoga Allah merahmati sekelian Ummat Muhammadiyah dan mengurniakan kita semua dengan keampunan, Hidayah, cinta dan Ma'rifah.