Ahad, 26 Februari 2012

Hadhrat Pir Dastagir Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi

Hadhrat Pir Dastagir Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi



Hadhrat Shah Abdullah atau terkenal dengan nama Shah Ghulam 'Ali adalah seorang dari kalangan Syeikh Sufi yang agung pada abad ke-13 Hijrah. Beliau adalah murid dan wakil dari Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Naqshbandi Mujaddidi, seorang dari kalangan penyair pertama Urdu moden.

Ketika beliau dilahirkan pada tahun 1156 Hijrah, bapanya yang bernama Hadhrat Sayyid 'Abdul Latif Batalwi Rahmatullah 'Alaih telah bermimpi Hadhrat 'Ali bin Abi Talib Radhiyallahu 'Anhu datang kepadanya dan memintanya untuk memberikan nama kepada anaknya dengan nama "Ali". Maka, beliau dinamakan sebagai 'Ali oleh ayahnya. Tetapi kemudian, kerana kasih dan hormatnya yang bersangatan, beliau sendiri telah menukarkan namanya sebagai "Ghulam 'Ali" yang bermaksud hamba 'Ali. Sementara itu, bapa saudaranya melihat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mengatakan bahawa untuk nama bayi yang baru lahir hendaklah dinamakan sebagai "Abdullah". Kedua-dua nama itu menjadi popular dan dia dikenali sebagai Shah Ghulam Ali alias Abdullah. Dia mendapat pendidikan awal di desa orang tuanya. Dia memiliki ingatan kuat yang mana dia telah menghafal Al-Qur'an hanya dalam waktu sebulan.


Pencarian Tariqatnya dan Tariqat Pencariannya

Ayahnya adalah seorang pengikut Tariqat Silsilah Qadiriyah. Akan tetapi Murshid ayahnya telah meninggal dunia sebelum sempat beliau berbai'at Tariqat Silsilah Qadiriyah. Jadi Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali telah mengambil Bai'at Silsilah Qadiriyah ‘Aliyah dan Naqshbandiyah Mujaddidiyah melalui Hadhrat Mirza Mazhar yang merupakan seorang Shaikh Sufiyah terbesar pada masa itu. Hadhrat Shah Waliullah Dehlawi telah mengatakan bahawa dia telah melihat melalui tujuh benua, tetapi tidak dapat mencari seorang Shaikh seperti Hadhrat Mirza Mazhar. Dia sangat dihormati oleh Hadhrat Mirza Mazhar. Pada saat itu, Hadhrat Shah Waliullah adalah penyebar 'Ilmu Syari'at, sedangkan Hadhrat Mirza Mazhar terkenal bagi para pencari 'Ilmu Tariqat.

Sehingga beliau berusia 22 tahun, beliau telah mendapat latihan dalam Silsilah berbeza dari berbagai Para Shuyukh dan Masyaikh pada waktu itu. Akhirnya beliau telah sampai kehadhrat Mirza Mazhar, lalu telah mengabdikan sepenuh masanya kepada Hadhrat Mirza. Hadhrat Mirza telah membai'at Hadhrat Shah Ghulam 'Ali dalam Silsilah Tariqat Qadiriyah tetapi melatihnya sesuai dengan cara Suluk Tariqat Naqshbandiyah. Hadhrat Shah Ghulam 'Ali menjadi kebingungan tentang hal keadaan ini dan berfikir apakah Hadhrat Ghauts A'zam senang dengan ini atau tidak? Yakni, berada dalam Silsilah Qadiriyah dan dilatih sesuai dengan jalan Naqshbandiyah.



Setelah itu, beliau telah melihat Hadhrat Ghauts A'zam dalam mimpi sedang duduk di sebuah bilik, sedangkan Hadhrat Shah Naqshband sedang duduk di bilik lain. Dia melihat dirinya cuba untuk pergi ke bilik Hadhrat Shah Naqshband, lalu Hadhrat Ghauts A'zam berkata kepadanya,

"Pergilah kepada Shah Naqshband. Tujuannya adalah Allah. Jalan Tariqat apa pun yang kamu pilih, kamu boleh mencapai HadhratNya".



Selepas mimpi itu, Hadhrat Shah Ghulam 'Ali lebih mengkhususkan masa untuk Shaikh Murshidnya dengan cinta dan pandangan yang tinggi. Dia juga telah mempelajari ilmu Hadits dari Shaikh Murshidnya yang juga merupakan seorang Shaikh Hadits pada masa itu.



Sir Syed, salah satu tokoh terkenal dalam sejarah Inggeris-India, itu sangat setia pada Hadhrat Shah Ghulam 'Ali ketika usia awalnya. Ayahnya juga adalah seorang murid sejati Hadhrat Shah Ghulam 'Ali. Sir Syed telah menulis dalam buku-bukunya tentang Hadhrat Shah Ghulam 'Ali, Tariqat dan biografinya. Walaubagaimanapun kemudian, setelah jatuh cinta dengan orang-orang Inggeris, Sir Syed menyimpang dari jalan Islam yang benar.



Penyebaran Tariqatnya dan Tariqat Penyebarannya



Hadhrat Shah Ghulam 'Ali menggunakan masa dirinya dengan mencurahkan sebahagian besar dari masa sehariannya dalam mengajar Hadits, Tafsir dan Tasawwuf kepada orang-orang yang datang untuk memadamkan rasa haus mereka tentang ilmu pengetahuan dan permasaalahan hati. Sepanjang hari, beliau sibuk dalam memberikan ceramah dan membuat Tawajjuh ke atas hati Para Murid untuk mensucikan mereka. Sepanjang malam masanya digunakan untuk beribadat dan berdoa serta tidur hanya untuk beberapa minit. Beribu-ribu orang baru datang setiap hari di Khanqah dari tempat yang jauh, seperti India, Iran, Afghanistan, Turki, Timur Tengah, Bukhara dan Samaqand.



Tariqatnya tersebar ke seluruh dunia Islam seterusnya dalam masa hidupnya. Para Khalifahnya telah pergi jauh untuk menyebarkan Faidhz dari Silsila Naqshbandiyah Mujaddidyah ke Uzbekistan, Tajikistan, Hejaz dan Timur jauh. Khalifahnya yang bernama Hadhrat Syaikh Khalid Rumi Al-Baghdadi yang menyelesaikan suluknya hanya dalam sembilan bulan, telah kembali ke Turki, Syria dan Iraq. Dalam tempoh masa beberapa bulan, beratus-ratus ribu orang datang menuju kepadanya dan masuk ke Silsilah Naqshbandiyah Mujaddidiyah. Dia pernah menulis kepada Hadhrat Shaikh Murshidnya bahawa,

"Ketika daku datang ke Baghdad, lima ratus Sahib Tasnif yakni 'Ulama Pengarang telah mengambil Bai'at denganku dan selalu hadir dalam majlisku. Daku tidak dapat menghitung orang-orang biasa yang jumlah mereka agak banyak."



Beliau juga menulis kepada Shaikhnya bahawa di Turki, Syria, Iraq, Hijaz dan Tanah Arab yang lain, di mana-manapun Tariqat Hadhrat Mujaddid telah merebak, ajaran dan kemuliaannya dibacakan dalam setiap pertemuan di setiap Masjid, Khanqah dan Madrasah. Di India, Para Khalifahnya bertebaran di seluruh pelosok menyebarkan pengetahuan Ruhaniah dan keberkatan dari Silsilah Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah.



Salah seorang Khalifahnya yang terbesar ialah Hadhrat Hafiz Shah Abu Sa'id dan puteranya yang bernama Hadhrat Shah Ahmad Sa'id Mujaddidi adalah orang pertama untuk menandatangani Jihad menentang Inggeris pada tahun 1857 tetapi sejarawan tidak menyebutkan namanya, yang mana telah meninggalkan suatu kesalahan besar dalam sejarah British India. Dia berada di dalam senarai orang yang paling dikehendaki oleh Inggeris. Akhirnya dia telah berpindah ke Madinah Munawwarah dan meninggal dunia di sana serta dimakamkan di samping makam suci Sayyidina 'Utsman Ibni 'Affan Radhiyallahu 'Anhu di Jannatul Baqi.



Khalifah besarnya yang bernama Hadhrat Rauf Ahmad Mujaddidi telah menulis Tafsir Al-Quran pertama dalam bahasa Urdu yang dikenali sebagai Tafsir Mujaddidi. Beliau juga menulis Malfuzat Hadhrat Shah Ghulam 'Ali yang bernama "Durr Al-Ma'arif", yang merupakan sumber utama pengetahuan tentang Shah Ghulam 'Ali dan Tariqatnya.



Silsilahnya telah tersebar luas sehingga Hadhrat Shah Ghulam 'Ali sendiri telah mengatakan,

"Faidhz kami mencapai jauh ke berbagai daerah, kami dapati Halqah Zikir kami berlaku di Makkah Mukarramah, kami dapati Halqah Zikir kami terjadi di Madinah Munawwarah, juga kami dapati Halqah Zikir kami diadakan di Baghdad, Rom dan Eropah." Dan sambil tersenyum dia telah berkata, "Bukhara adalah rumah orang tua kami."



Bahkan menjadi seorang Shaikh besar dengan ratusan orang yang hadir sepanjang masa untuk melayani Allah dan Khanqah, beliau begitu berendah hati bahawa beliau pernah berkata,

"Ketika seekor anjing masuk ke rumahku, daku berdoa kepada Allah bahawa siapalah daku untuk mendapatkan Tawassul Para RakanNya? Wahai Tuhan! Kasihanilah diriku demi anjing ini yang merupakan ciptaanMu".



Kerana setiap ciptaan Allah adalah yang paling indah di alam dan Allah mengasihi semua ciptaanNya.



Dia telah berkata,

"Sekali Hadhrat Ismail Al-Madani datang melawatku atas perintah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dia yang dulu tinggal di Madinah, dari negaranya Hijaz, dia telah menempuh perjalanan ribuan batu. Dibawa bersamanya beberapa dari Tabarrukat Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan dia memberikannya kepada daku sebagai hadiah. Daku menempatkan Tabarrukat tersebut di Masjid Jami' Delhi."



Sesiapapun yang memberinya sumbangan, beliau pertama sekali akan membayar Zakat dari sumbangan itu, menurut Mazhab Imam Abu Hanifah tanpa menunggu berlalunya tahun kerana untuk memberikan Zakat adalah lebih baik daripada memberi sedekah sukarela. Dia akan menggunakan apa yang tersisa untuk menyiapkan makanan dan gula-gula untuk orang miskin dan untuk keperluan Khanqah dan untuk keperluan dirinya sendiri. Untuk limpahan Faidhz yang besar dan penyebaran Silsilah yang sedemikian jauh dari tanah Hindi, tidak ada Shaikh Silsilah lain yang menyebarkan sebegitu luas.

Sebahagian besar Para Masyaikh zamannya percaya bahawa beliau adalah Mujaddid abad ke-13 Hijrah. Hal ini telah dibuktikan dan hari ini seluruh dunia Islam menganggap beliau sebagai Mujaddid abad ke-13 Hijrah.



Musyahadah Karamahnya dan Karamah Musyahadahnya



Dia memiliki Musyahadah yang besar di mana beliau telah bertemu dengan Para Nabi, Para Sahabat dan orang-orang yang Salih. Banyak kali ia melihat Nabi yang berbicara padanya seperti dalam kehidupan nyata. Dia sering mengatakan bahawa,

"Sayyidina Abu Bakar Radhiyallahu ‘Anhu sangat mencintai daku, dia datang kepadaku dan pada bila-bila masa daku dalam beberapa kesulitan, daku memanggilnya dan beliau membantu saya dalam semua situasi.”



Dia juga mengatakan hal yang sama tentang Hadhrat Sayyidina 'Ali Radhiyallahu ‘Anhu dan mengatakan bahawa,

"Setiap kali daku menjadi sakit, daku mencari bantuan dari Hadhrat 'Ali Radhiyallahu ‘Anhu dan dengan itu daku mendapatkan sihat."



Khalifahnya, Hadhrat Rauf Ahmad Shah Mujaddidi telah mengutip pidato-pidato dan ucapan dalam bukunya yang boleh dirujuk untuk belajar lebih lanjut tentang ajaran-ajarannya.



Ada juga berbagai Karamah Hadhrat Shah Ghulam 'Ali. Sekali peristiwa, salah seorang pengikutnya yang bernama Hadhrat Shaikh Ahmad Yar sedang bepergian dengan sebuah Kafilah. Kafilah itu berhenti di sebuah tempat untuk berehat dan dia tidur di sana. Dia melihat Shaikhnya datang dan berkata kepadanya,

"Segera berangkat dari sini, perompak akan menyerang."



Dia terbangun tiba-tiba dan mengatakan kepada orang ramai tapi tidak ada yang percaya dengan kenyataan mimpinya. Jadi dia ditinggalkan sendirian dan dalam masa yang singkat semua Kafilah diserang dan dirompak.



Seorang pemuda Hindu yang tampan memasuki Khanqahnya. Orang-orang melihatnya dan dengan kesedihan mereka berkata,

"Wah! Anak ini tampan namun tanpa keindahan Islam." Melihat Hadhat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali dengan kekuatan Ruhaniah yang ada padanya, pemuda itu pun telah masuk Islam dengan membaca Kalimah Syahadah.



Dia meninggal dunia ini pada tarikh 22 Safar 1240 Hirah bersamaan 1825 Masihi, sedang memiliki buku "Shama'il Tirmidzi" di dadanya. Beliau dimakamkan di samping Shaikhnya, Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan di Khanqah Mazhariyah di Delhi. Beliau telah menulis banyak kitab yang mana lima belas daripadanya telah pun dikenalpasti.









Tariqat Hidupnya dan Hidup Tariqatnya



Hadhrat Shah Ghulam Ali meninggalkan di belakangnya Para Khulafa yang banyak. Di Turki dan dunia Arab, Hadhrat Shaikh Khalid Al-Baghdadi menyebar Tariqatnya yang tetap hidup hingga ke saat ini dan Para Shuyukh cabang Naqshbandiyah Khalidiyah adalah penyebar ilmu pengetahuan Ruhaniah di seluruh bahagian dunia Islam. Di India, beliau meninggalkan banyak Para Khulafa, tetapi beliau telah menunjukkan penggantinya yang bernama Hadhrat Shah Hadhrat Abu Sa'id. Seterusnya, puteranya yang bernama Hadhrat Shah Ahmad Sa'id telah menggantikan tempatnya yang juga telah dianugerahkan Khilafat dari Hadhrat Shah Ghulam Ali.



Cabang utama dari Tariqatnya masih aktif dan cabang yang paling hidup adalah dari Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah sehingga ke hari ini. Hal ini masih mendapat keberkatan dan limpahan karunia Para Shuyukh dari semua Tariqat, khususnya Hadhrat Mujaddid Alf Tsani dan Hadhrat Shah Ghulam Ali Dehlawi Rahmatullah ‘Alaihima.