Isnin, 17 Oktober 2011






Syeikh Ismail Minangkabawi Penyebar Tariqah Naqshbandiyah Khalidiyah Pertama Di Nusantara

Islam masuk ke Minangkabau pada abad ke-12 M, ada yang menyebutnya abad ke-14 M. Al-manak Tiongkok menyebutkan bahwa sudah didapatinya satu kelompok masyarakat Arab di Sumatera bahagian barat pada tahun 674 M, maka dengan demikian Islam telah masuk ke daerah ini sejak tahun 674 Masehi atau abad pertama hijriah. Naiknya kerajaan Islam Pasai di Aceh dibawah kekuasaan Sultan Iskandar Muda tahun 1607-1638 M. membawa akibat dikuasainya kerajaan kecil Minangkabau. Perkembangan Islam di Aceh, khususnya paham tasawuf melalui 'Abd al-Rauf as-Sinkili ikut mewarnai pemikiran keagamaan di Minangkabau sejak masa awal. Pengaruh al-Sinkili dalam pengembangan Islam ke Minangkabau diteruskan oleh Burhanuddin. Syekh Burhanuddin Ulakan memainkan peranan sebagai pengembang Islam melalui tarekat Sathariyah di Minangkabau. Sehingga surau Ulakan cukup termasyhur sebagai satu-satunya pusat keilmuan Islam di Minangkabau.

Adat sebagai identitas masyarakat Minangkabau telah menjadi rujukan bagi setiap tingkah laku masyarakatnya. Setiap aktivitas, prakarsa (inisiatif) dan kreatifitas selalu dinilai berdasarkan adat tersebut. Namun demikian, adat Minangkabau telah mengalami fase-fase perkembangan sendiri berkenaan dengan perjumpaannya dengan nilai-nilai luar. Pertama adalah fase animisme dan dinamisme. Fase ini berlangsung sebelum abad V M. Kedua adalah fase pengaruh Hindu-Budha, mulai abad VI Masehi sampai abad VII Masehi. Ketiga adalah fase Islam. Adapun raja Minangkabau pertama yang beragama Islam adalah Sultan Alif yang memerintah pada pertengahan abad ke-16 (1560 M). Pada masa ini, terutama di seputar pesisir, dominasi politik dan ekonomi dikuasai oleh kerajaan Aceh. Ketika Islam menjadi anutan orang Minangkabau maka tidak sedikit adat Minangkabau yang dipengaruhi oleh animisme dan dinamisme serta Hindu dan Budha, mendapatkan kritikan dan gugatan dari ajaran Islam. Setelah itu, melalui pergulatan yang terakhir justru Islamlah yang sampai sekarang berpengaruh dalam kehidupan masyarakat, termasuk memberi corak tehadap adat Minangkabau. Perpaduan antara adat dan Islam itu dibuktikan melalui sistem dan struktur adat Minangkabau yang dibuhul dengan pepatah "Adat bersendikan syara’, Syara’ bersendikan Kitabullah.”

Kedatangan Syeikh Ismail Al-Minangkabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, "Tuhfatun Nafis". Menurut Ensiklopedia Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah. Sanggahan adalah sebagai berikut, bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi jauh lebih muda dari gurunya iaitu Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani. Mengenai kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani ada yang menyebut tahun 1133 Hijrah/1720 Masehi, 1153 Hijrah/1740 Masihi dan 1183 Hijrah/1769 Masehi. Yang pasti, sewaktu masih kanak-kanak Syeikh Ismail Al-Minangkabawi telah dibawa oleh ayahnya berpindah ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Utsman Ad-Dimyathi yang hidup dalam tahun 1196 Hijrah/1782 Masehi atau 1265 Hijrah/1848 Masehi. Oleh sebab Syeikh Ismail Al-Minangkabawi adalah murid Syeikh Utsman Ad-Dimyathi, maka tahun kelahirannya dapat kita bandingkan dengan tahun kelahiran beberapa orang murid Syeikh Utsman Ad-Dimyathi yang lain, seumpama Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan yang lahir tahun 1232 Hijrah/1816 Masihi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, lahir tahun 1233 Hijrah/1817 Masihi dan lain-lain. Jadi jelaslah bahawa tahun 1125 Hijrah/1713 Masihi yang dinyatakan tahun kelahiran Syeikh Ismail Al-Minangkabawi itu adalah ditolak berdasarkan fakta sejarah. Dari semua karya Syeikh Ismail Al-Minangkabawi yang ditemui, yang nyata tercatat tahun selesai penulisan hanya sebuah saja, iaitu "Ar-Rahmah Al-Habitah Fi Zikri Ismi Az-Zati Wa Ar-Rabitah" yang diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Ini sudah cukup untuk menyanggah kenyataan bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi wafat pada tahun 1160 Hijrah/1747 Masihi itu, bahkan beliau masih hidup hingga tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Menurut Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair dalam "Nashrun Naur Waz Zahar", bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi wafat melampaui tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi.

Syeikh Ismail bin Abdullah Al-Minangkabawi Al-Khalidi Asy-Syafi'i lahir di Minangkabau dan semenjah kecil beliau telah mengikut ayahnya berpindah ke Mekah Al-Musyarrafah. Beliau belajar pelbagai ilmu kepada Syeikh Utsman Ad-Dimyathi. Setelah ulama besar itu wafat, Syeikh Ismail Minangkabawi belajar pula kepada Syeikh Ahmad Ad-Dimyathi. Selain kedua ulama itu, Syeikh Ismail Minangkabau juga belajar kepada ulama-ulama lain dalam Masjidil-Haram, Mekah dan sempat belajar dari Mufti Mazhab Syafie pada ketika itu iaitu Syeikh Muhammad Sa'id bin Ali Asy-Syafi'i Al-Makki Al-Qudsi, wafat tahun 1260 Hijrah/1845 Masihi. Ulama dunia Melayu yang menjadi gurunya yang dapat diketahui secara pasti hanyalah Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani.

Mengenai Thariqat Naqshbandiyah Khalidiyah, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi telah menerima Bai'ah dan Tawajjuh dari Sayyid Abi 'Abdillah bin 'Abdullah Afandi Al-Khalidi iaitu murid kepada Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi. Sebelum itu, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi juga telah menerima Bai'ah dan Tawajjuh secara langsung dari Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi. Dari sinilah permulaan nama Silsilah Tariqah Naqshbandiyah ada terdapat istilah Al-Khalidiyah dalam Thariqat Naqshbandiyah kerana Syeikh Khalid Al-'Utsmani Al-Kurdi adalah seorang Mujaddid dalam Tariqat Sufiyah.

Tercatat dalam sejarah bahawa Syeikh Ismail Al-Minangkabawi adalah seorang ulama yang sangat kuat melakukan ibadah dan beramal dengan Tariqat Naqshbandiyah Khalidiyah dan Tariqat Syaziliyah serta giat mengajar, mengarang, tilawah Al-Quran, berwirid dan berzikir sama ada pada waktu siang mahupun malam sehinggalah beliau wafat di Mekah tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi. Tidak tercatat suatu pekerjaan yang dilakukannya sepanjang siang dan malam selain yang tersebut itu.


Karya Syeikh Ismail Al-Minangkabawi berupa kitab maupun risalah yang ditemui adalah sebagai berikut:

1. Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah, diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf, khusus mengenai rabitah secara mendalam. Kitab ini merupakan terjemahan sebuah karya murid beliau sendiri, seorang Arab yang bernama Syeikh Husein bin Ahmad Ad-Dausari yang meninggal dunia dalam tahun 1242 Hijrah dalam usia hanya 39 tahun. Dari terjemahan kitab ini, kita banyak memperoleh informasi tentang diri Syeikh Ismail Al-Minangkabawi. Di antara petikan kalimatnya, "Dan adalah demikian itu dengan mengerjakan yang dia yang amat hina Ismail ibni 'Abdullah yang Syafie mazhabnya, Al-Ash'ari 'akidahnya, yang Syazili Tariqatnya kemudian lagi Naqshbandi Khalidi Tariqatnya juga yang menumpang ia atas Ahli 'Ilmi di dalam Tanah Haram yang Makki yang maha mulia ia. Barang ditobatkan oleh Allah juga atasnya dan maaf daripadaNya oleh Tuhannya yang amat murah lagi amat penyayang. Dan adalah demikian itu di dalam Kampung Teluk Belanga dengan pertolongan Shah Amir yang dibesarkan dan ikutan yang dimuliakan ialah Amir Ibrahim bin Al-Marhum Amir Abdur Rahman At-Tamanqum Seri Maharaja.'' Yang dimaksudkan dengan perkataan At-Tamanqum ialah Temenggung. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, akhir Jamadilawal 1325 Hijrah, diusahakan oleh Syeikh Abdullah Al-Baz.

2. Risalah Muqaranah Sembahyang, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan niat sembahyang. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Bahiyah Al-Mashriyah, 1309 Hijrah. Dicetak atas zimmah Umar bin Khathib Abdus Shamad Al-Jawi, Jiyad. Selanjutnya ada cetakan pertama yang dikombinasi cetak dengan Bulughul Maram karya Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani oleh Mathba'ah Al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1310 Hijrah.

3. Kifayatul Ghulam fi Bayani Arkanil Islam wa Syurutihi, tanpa tarikh.
Kandungannya membicarakan Fiqah bahagian rubu' ibadat. Terdapat berbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Mathba'ah Mustafa Al-Babi Al-Halabi, Mesir, 1340 Hijrah. Kitab ini ditashih oleh beberapa orang di antaranya, Haji Abdullah bin Ibrahim Al-Qadhi Kedah.

4. Al-Muqaddimatul Kubra allati Tafarra'at minhan Nuskhatus Shughra, tanpa tarikh. Hanya terdapat tahun selesai penyalinan naskhah pada hari Selasa, sesudah sembahyang Zohor pada 15 Jamadilawal 1305 Hijrah di Mekah oleh 'Abdus Samad Kelantan. Kandungannya membahas ilmu 'Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara mendalam. Cetakan pertama oleh Mathba'ah Al-Amiriyah, Bulaq, Mesir tertulis di halaman depan dinyatakan tahun 1309 Hijrah dan di halaman akhir dinyatakan Rabiul Akhir 1310 Hijrah. Di bahagian tepi dicetak kitab berjudul "Muqaddimatul Mubtadin" oleh pengarang yang sama. Pada halaman akhir dicatat sebagai penjual ialah Syeikh Abdullah Al-Baz di Kampung Babus Salam, Mekah. Kitab ini ditashih Syeikh Ahmad Al-Fathani.

5. Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan pada hari Rabu 30 Safar, sesudah sembahyang Zohor, tanpa menyebut tahun. Kandungannya membahas ilmu akidah secara mendalam. Dicetak di bagian tepi kitab Al-Muqaddimatul Kubra.

6. Mawabib Rabbil Falaq Syarh Bintil Milaq. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan terjemahan dan syarah Qashidah al-'Arif Billah al-Qadhi Nashiruddin ibni Bintil Milaq asy-Syazili. Sebagian besar kandungannya membicarakan Thariqat Syaziliyah. Kitab ini termasuk dalam kategori kitab nadir, telah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab. Saya memperoleh kitab ini pertama sekali daripada bekas milik Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor Darul Ehsan, tarikh 28 Rejab 1417 Hijrah/9 Disember 1996 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Makkah Al-Mahmiyah, pertengahan Zulkaedah 1306 Hijrah.

Sewaktu Syeikh Ismail bin Abdullah Al-Minangkabawi wafat, beliau telah meninggalkan dua orang putera yang menjadi ulama, iaitu Syeikh Azhari (wafat 1303 Hijrah/1886 Masihi) dan Syeikh Muhammad Nur (1313 Hijrah/ 1895 Masihi). Syeikh Azhari bin Syeikh Ismail Al-Minangkabawi ketika wafat meninggalkan dua orang anak iaitu Salim dan Ismail. Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail Al-Minankabawi pula memperoleh dua anak perempuan. Salah seorang darinya menjadi isteri kepada Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Minankabawi Al-Azhari, tokoh Tajdid yang sangat terkenal itu. Kedua anak Syeikh Ismail Al-Minangkabawi tersebut meneruskan kegiatan di rumah pusaka beliau yang dinamakan Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah telah menjadi tumpuan atau tempat berkumpul orang-orang yang berasal dari dunia Melayu, terutama Ikhwan Tariqah dan Kerabat Diraja Riau-Lingga. Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah itu telah dibina dan dimulai oleh Syeikh Ismail Al-Minangkabawi sendiri dan sewaktu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji pergi ke Mekah pada tahun 1243 Hijrah/1828 Masihi, beliau menghulurkan dana wakaf yang banyak kepada Syeikh Ismail Al-Minangkabawi. Dana wakaf tersebut kemudian diteruskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau-Lingga, para murid beliau. Murid Syeikh Ismail Al-Minangkabawi dari golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahupun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain.

Kesimpulan dari seluruh perbincangan bahawa Tariqat Naqshbandiyah aliran al-Khalidiyah di dunia Melayu, dimulai oleh Syeikh Ismail Al-Minankabawi di Mekah, kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Pondok Upeh di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya.

Khamis, 22 September 2011

Hadhrat Khwajah Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih






Hadhrat Khwajah Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih

Nisbat Batin beliau adalah daripada Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Syahid Rahmatullah 'Alaih. Beliau dilahirkan pada tahun 1158 Hijrah di sebuah tempat bernama Patiala dalam negeri Punjab, India. Nisbat keturunan beliau bertemu dengan Hadhrat Sayyidina 'Ali Karramallahu Wajhah. Ayahandanya bernama Hadhrat Shah 'Abdul Latif Rahmatullah 'Alaih merupakan seorang yang kuat berzikir dan bermujahadah lagi Salih, telah berbai'ah dengan Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu dan hal keadaannya sering pergi ke dalam hutan untuk melakukan Zikir Jihri.

Sebelum kelahirannya, ayahnya telah bermimpi bertemu dengan Hadhrat Sayyidina 'Ali Karramallahu Wajhah yang telah berkata kepadanya bahawa putera lelaki yang bakal dilahirkan nanti hendaklah diberikan nama 'Ali. Maka, setelah kelahirannya beliau diberikan nama sebagai 'Ali namun setelah beliau mencapai usia baligh, beliau telah menamakan dirinya sebagai Ghulam 'Ali yang bererti hamba kepada Hadhrat Sayyidina 'Ali Karramallahu Wajhah sebagai menghormatinya. Begitu juga dengan ibunya yang turut bermimpi bertemu dengan seorang yang Salih ketika saat kelahirannya dan orang Salih tersebut telah berkata kepada ibunya supaya menamakan puteranya dengan nama 'Abdul Qadir. Kemungkinan besar orang Salih tersebut adalah Ruhaniah Hadhrat Ghauts A'zam Mahbub Subhani Syaikh 'Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah 'Alaih. Datuk beliau juga adalah seorang lelaki Salih yang mulia telah dapat menghafal Al-Quran dalam masa sebulan, telah bermimpi bertemu dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seraya memerintahkan agar cucunya diberikan nama sebagai 'Abdullah.

Ayahanda beliau Hadhrat Shah 'Abdul Latif Rahmatullah 'Alaih telah sering pergi ke Delhi kerana Syeikh Murshidnya menetap di sana. Syeikh Murshidnya Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu dikatakan pernah bersuhbah dengan Hadhrat Khidir 'Alaihissalam. Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu telah menyuruh Hadhrat Shah 'Abdul Latif Rahmatullah 'Alaih membawa puteranya Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih untuk datang mengambil Bai'ah. Walau bagaimanapun, beliau tidak berpeluang untuk berbai'ah dan mengambil limpahan Faidhz dari Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu kerana ketika beliau tiba di Delhi, Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu sudahpun meninggal dunia.

Ayahandanya telah berkata kepadanya,
"Daku membawa dikau ke mari untuk berbai'ah dengan Murshidku sebagai menurut arahannya tetapi tiada Taqdir tersebut bagimu. Sekarang, ke mana sahaja tempat yang dapat mententeramkan hatimu, kamu pergilah untuk berbai'ah dengannya."

Pada tahun 1180 Hijrah, ketika berusia 21 tahun, beliau telah berpeluang hadir berkhidmat kepada Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih dan telah memohon untuk berbai'ah padanya. Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih telah berkata kepadanya,
"Di mana tempat yang kamu dapat merasakan Zauq dan Shauq, maka kamu pergi ambillah Bai'ah di sana kerana di sini hanya terdapat acar batu tanpa sebarang garam."

Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih berkata,
"Hamba akur di sini."

Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih telah membai'ahkan beliau dalam Silsilah Tariqat Qadiriyah dan telah mentalqinkan beliau dengan amalan Tariqat Mujaddidiyah. Beliau telah menghadiri Halqah Zikir dan Muraqabah serta berkhidmat dengan Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih selama lima belas tahun dan telah dikurniakan Ijazat Mutlaqah dengan perkhabaran baik Dhzimniyyat iaitu martabat jaminan kesanggupan pengandungan dari Murshidnya.

Kata beliau,
"Pada awal-awalnya daku teragak-agak bahawa jika daku berikhtiar memilih Syughul amalan Tariqah Naqshbandiyah, mungkinkah ianya tidak akan membangkitkan kemarahan Hadhrat Ghauts A'zam Rahmatullah 'Alaih? Pada malam itu daku telah melihat dalam mimpi bahawa pada suatu kedudukan kelihatan Hadhrat Ghauts A'zam Rahmatullah 'Alaih dan di hadapannya terdapat sebuah lagi kedudukan yang di sana kelihatan Hadhrat Khwajah Shah Naqshband tiba menambahkan keserian. Hatiku telah berkeinginan untuk hadir berkhidmat kepada Hadhrat Khwajah Shah Naqshband Rahmatullah 'Alaih. Hadhrat Ghauts A'zam Rahmatullah 'Alaih lantas berkata,
"Maksud adalah Allah, pergilah kerana tiada sebarang kesempitan."

Setelah peristiwa itu, beliau telah memulakan penyebaran Tariqah Naqshbandiyah sehingga kadar limpahan Faidhznya tersebar ke seluruh pelosok meskipun ketika masih hayat beliau yang mana, mungkin tiada seorang Syeikh pun yang dapat menandingi kewibawaannya pada masa itu. Para Khalifah beliau telah sampai ke seluruh pelosok Hindustan, Kabul, Balkh, Bukhara, 'Arab, Rom dan banyak lagi di serata Asia dan mengembangkan Tariqah Naqshbandiyah.

Hadhrat Maulana Ghulam Muhyiuddin Qusuri Rahmatullah 'Alaih dalam Malfuzatnya telah berkata bahawa pada suatu hari dia telah hadir sesudah waktu 'Asar ketika mana Hadhrat Shah 'Abdullah Sahib Rahmatullah 'Alaih telah berkata,
"Alhamdulillah, limpahan Faidhz kami sudah sampai ke tempat yang jauh-jauh, di Makkah Mukarramah ada Halqah kami yang sedang duduk, di Madinah Munawwarah ada Halqah kami yang sedang duduk, di Baghdad Sharif, di Rom dan di Barat Halqah kami sedang berjalan," dan sambil tersenyum beliau berkata, "Bukhara adalah rumah bapa kami."

Sebahagian orang hadir kepada beliau menerusi perintah hukum daripada Hadhrat Sayyidul Anbiya Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Ta'ala 'Alaihi Wa 'Ala Aalihi Wa Ashabihi Wa Baraka Wasallam, sebahagian orang dengan perintah hukum daripada seseorang Buzurgan Masyaikh dan sebahagian orang ada yang melihat beliau sendiri dalam mimpi. Hadhrat Khwajah Maulana Khalid Baghdadi Rumi Rahmatullah 'Alaih telah menerima isyarat tersebut daripada Ruhaniah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Ta'ala 'Alaihi Wa 'Ala Aalihi Wa Ashabihi Wa Baraka Wasallam lalu telah berangkat dari Madinah Munawwarah menuju ke Delhi dan selama hampir sembilan bulan beliau telah hadir berkhidmat dan bersuhbat sehingga telah mendapat kurnia keizinan Ijazat dan Khilafat dalam Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah lalu beliau kembali ke kampung halamannya di Kurdistan yang terletak dalam jajahan takluk Rom, di mana beliau telah mendapat kadar Qabuliyat penerimaan daripada masyarakat yang tiada batasan.

Sekali peristiwa beliau telah berkata,
"Sekarang daku sudah dhaif, tiada apa yang dapat daku buat. Dahulu, daku sering berada di dalam Masjid Jami' di Shah Jahanabad dan sering minum air telaganya yang payau. Setiap hari daku dapat membaca sepuluh juzuk Al-Quran Sharif dan sepuluh ribu Zikir Nafi Itsbat sehingga Nisbat menjadi sebegitu kuat yang mana seluruh Masjid dipenuhi dengan cahaya-cahaya Anwarat. Mana sahaja jalan atau lorong yang daku telah lalui juga telah turut menimbulkan cahaya Nurani. Jika daku pergi ke sesebuah Mazar Maqam perkuburan seseorang Buzurg, maka Nisbatnya akan menjadi lemah, maka sebagai munuruti jalan Tawadhu' daku menganggapnya sebagai suatu kelemahan pada diriku."

Beliau telah berkata,
"Seseorang lelaki itu hendaklah membenarkan pada dua perkara dan mengenepikan pada dua perkara iaitu membenarkan Ad-Din dan membenarkan Yaqin serta mengenepikan pergerakan tangan dan mengenepikan pergerakan kaki."

Beliau telah berkata bahawa pada suatu ketika Hadhrat Mirza Mazhar Sahib Rahmatullah 'Alaih telah diceritakan oleh seseorang berkenaan dirinya bahawa beliau berada di Khanqah ini kerana mahu menuntut Zauq dan Shauq dan Kashaf dan Karamat. Mendengarkan perkataan ini, Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih telah berkata,
"Barangsiapa yang mahu menuntut tipu muslihat yang sedemikian, maka katakan kepadanya bahawa hendaklah dia beredar dari Khanqah kami dan janganlah datang kepada kami."

Apabila perkhabaran tersebut sampai pada pengetahuan Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih, maka beliau telah pergi menghadirkan dirinya ke sisi Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih dan bertanya apakah benar Syeikhnya bermaksud sedemikian? Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih lantas menjawab,
"Ya."

Kemudian Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih pun bertanya,
"Maka, sekarang apakah perintah Tuan?"

Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih lalu berkata bahawa,
"Di sini batu dicicah tanpa garam. Jika dengan tanpa perisa ini kamu sanggup terima maka tunggulah tetap di sini."

Lantas Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih berkata,
"Tuan, diriku sanggup menerima keadaan di sini."

Pada suatu ketika Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih pernah memberikan kata-kata petunjuknya,
"Dalam Tariqah Naqshbandiyah ini tiada Mujahadah namun terdapat Wuquf Qalbi iaitu khayalan kamu hendaklah dibawakan ke arah hati dan tumpuan hati hendaklah tertuju ke arah Zat Ilahi dan Nigah Dashat iaitu bersungguh-sungguh memerhatikan lintasan-lintasan Khatrah tentang perkara yang sudah berlaku dan yang akan berlaku. Ketika hal keadaan sedemikian berlaku, maka hendaklah bertindak seperti berikut iaitu apabila berlaku Khatrah lintasan hati bahawa, pada masa dahulu bagaimanakah sesuatu pekerjaan itu boleh berlaku, maka pada waktu itu juga hendaklah dijauhkannya dari hati bahawa keseluruhan kisah jangan datang ke dalam hati, ataupun datang khayalan di dalam hati bahawa ingin pergi ke sesuatu tempat dan melakukan sesuatu pekerjaan dan ada terdapat faedah dalam pekerjaan tersebut, maka ianya juga hendaklah dihindarkan, lebih-lebih lagi sesuatu lintasan Khatrah yang bersifat Ghairullah iaitu sesuatu yang selain Allah datang melintasi hati, maka pada waktu itu juga ianya hendaklah disingkirkan."

Beliau pernah berkata,
"Ahwal keadaan Qalb pada seseorang Salik adalah terzahir seperti hujan yang sangat lebat dan apabila 'Uruj dari Latifah Qalb lalu bersiar pada Latifah Nafs maka penzahirannya adalah seperti hujan nipis yang mempesonakan dan apabila persiaran dari Latifah Nafs meningkat kepada kadar ketinggian yang semakin tinggi, maka dia mula tidak akan mengerti tentang Nisbat yang diperolehinya. Keadaan Istihlak dan Idhzmihlal yakni perasaan binasa diri dan berasa kelemahan upaya akan sering berlaku dan Nisbat akan menjadi seperti embun."

Pada suatu ketika seorang telah bertanya kepadanya meminta serba sedikit huraian nasihat, maka beliau telah memberikan suatu huraian berkenaan sepotong ayat Al-Quran yang mulia, "Qulillahu Tsumma Dzarhum". Sebagai Tafsirnya, beliau telah menukilkan dalam tulisannya bahawa hendaklah menyerahkan urusan-urusan yang bersifat Juz-i iaitu sebahagian dan Kulli yakni keseluruhan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan fikir untuk mencari keperluan hidup dan lain-lainnya suatupun janganlah dilakukan, dan takluk perhubungan sesuatu yang selain Allah hendaklah ditinggalkan, dan untuk keseluruhan urusan hendaklah menyerahkan sepenuh pergantungan pada Allah."


Hadhrat Khwajah Khwajagan 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'Alaih






Hadhrat Khwajah Khwajagan 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'Alaih

Hadhrat Khwajah 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'Alaih adalah Khalifah kedua kepada Hadhrat Khwajah Khwajagan Mahmud Anjir Faghnawi Rahmatullah 'Alaih. Beliau juga adalah seorang penyebar utama rantaian Silsilah Khwajagan yang agung dan merupakan seorang Syeikh serta tunjang utama dalam Tariqah Naqshbandiyah. Dalam kalangan Para Masyaikh Sufiyah beliau telah diberikan gelaran 'Azizan yang bermaksud seorang Syeikh Tersayang kerana kedudukannya sebagai seorang Wali Qutub di kalangan Para Awliya di zamannya.

Ketika saat Hadhrat Khwajah Mahmud Anjir Faghnawi Rahmatullah 'Alaih sudah semakin hampir kepada kematiannya, beliau telah melantik Hadhrat Khwajah 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'Alaih untuk menggantikannya meskipun masih terdapat Para Khalifah beliau yang lain. Beliau juga telah mengarahkan agar seluruh keanggotaan berada di bawah pengawasan dan pengarahan Hadhrat Khwajah 'Azizan Rahmatullah 'Alaih. Hubungan utama yang mambawa limpahan menuju kepada Hadhrat Imam Tariqat Khwajah Khwajagan Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih adalah terkait menerusi beliau.

Hadhrat Khwajah 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'Alaih telah dikurniakan dengan tingkatan keruhanian yang tinggi dan mulia serta memiliki bakat keperibadian yang besar lagi berkarisma. Beliau adalah seorang penenun dan menjalankan perniagaannya sebagai penenun sebagaimana yang diriwayatkan oleh Hadhrat Khwajah Maulana 'Abdur Rahman Jami Rahmatullah 'Alaih dalam kitabnya yang masyhur Nafahat Al-Uns yang bermaksud Nafas Keintiman Ilahi dan Hadhrat Maulana Jalaluddin Ar-Rumi Rahmatullah 'Alaih juga telah merujukkan Hadhrat Khwajah 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'Alaih sebagai Nassaj yang bererti Sang Penenun di dalam karangan syairnya yang agung Matsnawi.

Beliau telah dilahirkan di sebuah bandar yang bernama Ramitan di sekitar kota Bukhara yang jaraknya dalam lingkungan enam batu jauhnya dari kota. Maqam pengkebumiannya terletak di Khwarizm. Hadhrat Syaikh Ruknuddin 'Ala Ad-Daulah Samnani Rahmatullah 'Alaih yang hidup sezaman dengannya mempunyai perhubungan surat-menyurat dan komunikasi mengenai beliau yang diedarkan secara bertulis. Pada suatu ketika Hadhrat Syaikh Ruknuddin 'Ala Ad-Daulah Samnani Rahmatullah 'Alaih telah menghantar seorang Darwish untuk bertanyakan tiga persoalan terhadap Hadhrat Khwajah 'Azizan Rahmatullah 'Alaih:

Soalan pertama:
"Sepertimana anda, kami cuba untuk tidak jatuh singkat dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. Anda tidak mengambil terlalu banyak masalah dalam menyediakan makanan dan minuman. Anda memberikan apa sahaja yang ada. Untuk diri kami sendiri, kami sanggup melakukan apa sahaja dalam layanan ramah mesra. Kami sentiasa mencari sesuatu yang lebih dan mengenakan diri kami untuk sedaya upaya, tetapi orang meluluskan anda dan mengadu tentang kami. Apakah boleh ada suatu penjelasan di situ?

Jawapan: Terdapat banyak yang menyediakan perkhidmatan itu sebagai budi, dalam pertukaran untuk terima kasih, tetapi sedikit di kalangan mereka yang menganggap ia satu nikmat yang dibenarkan untuk berkhidmat. Berusaha untuk berasa terima kasih terhadap peluang untuk berkhidmat, sehingga tiada siapa yang mengadu tentang anda lagi.

Soalan kedua: Kami telah mendengar dikatakan bahawa anda menerima latihan anda dari Khidr 'Alaihissalam. Bagaimana boleh sedemikian?

Jawapan: Terdapat para pencinta sebenar di kalangan hamba-hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Khidr 'Alaihissalam adalah kekasih mereka yang bersemangat.

Soalan ketiga: Kami telah mendengar bahawa anda terlibat dalam Zikir Jihri dan bukannya Zikir Khafi. Bagaimana ini boleh berlaku?

Jawapan: Kami juga telah mendengar bahawa anda melakukan Zikir secara rahsia. Oleh kerana kami telah mendengar berkenaannya, maka ianya tidak menjadi Zikir yang rahsia lagi selepas semua. Sesungguhnya tujuan Zikir Sirr secara rahsia ialah tiada apa-apa yang perlu diketahui tentangnya. Sama ada anda terlibat dalam Zikir Sirr yang tersembunyi atau dalam Zikir Jihir yang boleh didengari, kedua-duanya adalah sama. Ianya juga boleh dikatakan bahawa menjadi terkenal dengan pengamalan Zikir Sirr adalah lebih dekat dengan kesombongan Munafiq.

Berkenaan Zikir Jihri, beliau telah memberikan jawapan ini kepada seorang 'Ulama yang terkenal:
"Terdapat Hadits Nabawi yang telah diterima oleh semua Para 'Ulama, bahawa memerintahkan seseorang yang di ambang kematian untuk melafazkan ikrar mentauhidkan Ilahi dalam suara yang kuat. Oleh kerana setiap nafas yang ditiupkan oleh Darwish boleh dianggap sebagai nafas terakhir beliau, adalah perlu untuk mendapatkan kebijaksanaan ini dalam Zikir Jihri yang boleh didengar. "

Seorang 'Ulama yang terkemuka sekali pernah bertanya kepadanya:
"Dengan Zikir jenis apakah yang kita telah diperintahkan supaya mengingati Allah dengan sekerap-kerapnya? Adakah Zikir Lisan di lidah atau Zikir Qalbi di hati?"

Dia menjawab:
"Ia bermula sebagai ingatan Zikir dari lidah dan berakhir sebagai ingatan Zikir dari hati. Dalam bentuk asalnya, ia melibatkan perbelanjaan usaha yang membosankan dan melesukan. Walaubagaimanapun dalam bentuknya yang muktamad,  disebabkan oleh pengaruh yang dikenakan oleh Zikir Qalbi di hati, ia akan memberikan kesan kepada organ-organ dan atom-atom zarrah tubuh, Maka seseorang akan sampai pada hakikat lautan kewujudan dan mencapai kepada rahsia Zikir yang kerap berterusan. Kerja satu hari seperti ini akan menghasilkan keuntungan yang sama dengan apa yang dapat diperolehi oleh kerja setahun apa-apa jenis kerja yang lain. "

Beliau berkata:
"Ini adalah makna perkataan bahawa: "Pada satu malam, Allah melihat 360 kali di hati Para HambaNya yang beriman". Hati mempunyai 360 tingkap, dibuka oleh 360 urat yang memasuki hati. Apabila hati dirangsang oleh ingatan Zikir, perhatian khusus Allah adalah diarahkan ke arah itu dan yang manfaat yang terhasil adalah diagihkan ke seluruh tubuh badan melalui 360 saluran urat. Ini bermakna bahawa setiap anggota dan organ menjalankan bentuk ibadatnya yang tersendiri secara begitu pelik dan keserian sinaran yang berasal dari penyembahan ibadat mereka menganugerahkan limpah kurnia itu ke atas hati, bahawa perhatian yang sedemikian ini sesungguhnya adalah benar-benar pandangan belas kasihanNya."

Hadhrat Khwajah 'Azizan 'Ali Ramitani Rahmatullah 'Alaih yang dihormati telah ditanya:
"Apakah Iman?"

Dia menjawab:
"Untuk merindukan dan tiba."

Antara kata-kata Hikmahnya sebagai berikut:

- Makna ayat Al-Quran: "Tubuu Ilallah, Kembalilah bertaubat kepada Allah", mengandungi kedua-dua peringatan dan berita yang baik. Peringatan itu adalah kebimbangan untuk bertaubat, manakala berita baik adalah bahawa ianya akan diterima. Jika ia tidak akan diterima, maka ianya tidak akan telah diperintahkan.

- Adalah perlu untuk melibatkan diri dalam kerja dan membawa kerja tersebut kepada kesimpulan yang betul. Selama mana kerana ianya masih dijalankan, seseorang mesti menganggap bahawa ia masih belum dilakukan. Adalah perlu untuk mengakui bahawa seseorang itu bersalah dan memulakan kerja yang baru.

- Kamu mesti menjaga diri secara berhati-hati dalam dua situasi keadaan, iaitu ketika bercakap dan semasa makan.

- Satu hari, Hadhrat Khidir 'Alaihissalam telah memasuki pada kehadiran Hadhrat Khwajah 'Abdul Khaliq Ghujdawani Rahmatullah 'Alaih yang dihormati. Hadhrat Khwajah 'Abdul Khaliq Ghujdawani Rahmatullah 'Alaih mempunyai dua roti barli yang dibawa dari rumahnya dan memberikannya kepada Hadhrat Khidir 'Alaihissalam. Hadhrat Khidir 'Alaihissalam tidak memakannya, jadi Hadhrat Khwajah 'Abdul Khaliq Ghujdawani Rahmatullah 'Alaih memberi jaminan kepadanya bahawa roti itu telah diperolehi dengan cara yang sah di sisi undang-undang. Untuk ini Hadhrat Khidir 'Alaihissalam bertindak balas dengan berkata: "Ya, roti ini makanan yang sah di sisi undang-undang, tetapi orang yang menguli adunan roti ini berada dalam keadaan Hadas, kami tidak boleh memakannya".

- Apabila seseorang menyeru rakan seciptaannya yang lain kepada kebenaran, dia mesti bertindak seperti seorang pelatih haiwan liar. Sama seperti jurulatih yang mengetahui sifat dan perangai binatang yang dia berurusan dengannya lalu bertindak dengan sewajarnya, seseorang penyeru juga mesti berbuat demikian.

- Jika Mansur Al-Hallaj telah menemui salah seorang daripada murid-murid Hadhrat Khwajah 'Abdul Khaliq, nescaya dia tidak akan pergi ke penjara, kerana dia terpaksa menerima latihan yang sesuai dan berkembang ke tahap yang lebih maju.

- Dalam usaha untuk mencapai matlamat, seseorang Salik perlu menjalani banyak latihan keruhanian dan kesusahan. Terdapat suatu kaedah walaubagaimanapun, yang memberikan pimpinan kepada Ruhani jalan yang benar. Ianya dengan menarik perhatian hati daripada seseorang yang telah memberikan hatinya kepada Allah, kerana hati tersebut adalah titik pusat perhatian Allah.

- Apabila kamu membuat permohonan doa-doa, kamu perlu berbuat demikian dengan cara menggunakan panduan iaitu dengan seseorang yang kamu tidak akan melakukan dosa. Panduan itu adalah seorang Rakan Allah. Kamu mesti melayan dia dengan penuh merendahkan diri dan kasih sayang supaya dia akan membuat permohonan doa bagi pihak anda.

Sepotong syair puitis telah dibacakan kepadanya yang bermaksud bahawa, "Pencinta yang ghairah memerhatikan dua perayaan agama dalam satu nafas." Beliau bertindak balas dengan berkata: "Kekasih yang ghairah menikmati tiga perayaan dalam satu nafas. Ia adalah kerana, dalam setiap ingatannya terhadap Allah, sama kedua-duanya seperti dia yang dipanggil oleh Allah untuk diingati dan diberikan jaminan kepada penerimaanNya, dia menikmati kedua-dua perayaan itu dan tanda-tanda kebahagiaan. "

Hadhrat Syaikh Ruknuddin Rahmatullah 'Alaih pernah bertanya kepada Hadhrat Khwajah 'Azizan Rahmatullah 'Alaih:
"Mengapakah bahawa pada hari sebelum masa bermula, ada roh-roh itu menjawab, "Ya" kepada soalan: "Adakah Aku bukan Tuhan kamu?", manakala pada Hari Qiyamat, tiada siapa yang akan membalas pertanyaan Ilahi: "Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?"

Hadhrat Khwajah'Azizan menjawab:
"Pada hari sebelum masa bermula adalah hari untuk mengenakan kepatuhan undang-undang yang suci. Ucapan adalah sesuai dalam perkara-perkara Perundangan Suci, tetapi Hari Qiyamat adalah hari apabila kepatuhan dikeluarkan dan Dunia Haqiqat yang sebenar dirasmikan. Dalam kehadiran yang hakiki, perkataan adalah terkeluar dari tempat. Itulah sebabnya Allah Yang Maha Suci akan memberikan jawapanNya pada hari itu dengan berkata: "Ia kepunyaan Allah Yang Maha Esa dan Maha Melimpahkan."

Ini adalah salah satu daripada maksud ucapan-ucapan syair beliau:

"Burung jiwa dilampirkan kepada badan, maka pastikan ia selamat kerana ia adalah rakanmu. Jangan diuraikan kaitan ikatannya menyebabkan ia terbang, kerana sebaik sahaja ia terbang kamu tidak boleh lagi memegangnya."

Rabu, 21 September 2011

Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih






Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih (1801-1868 M)

Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih adalah seorang Syeikh Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah pada abad yang ke-19 yang berasal dari Qandahar, Afghanistan. Beliau lahir pada tahun 1216 Hijrah bersamaan 1801 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1868 Masihi. Ayahanda beliau bernama Hadhrat Khwajah Akhund Mulla 'Ali Rahmatullah 'Alaih dan keturunan beliau memiliki takluk perhubungan dengan Yusuf Zai Darani iaitu sebuah kabilah berbangsa Afghan. Beliau telah menerima pendidikan awalnya di Qandahar dengan memulakan pengajian Al-Quran serta Tajwid dan menghafaznya. Seterusnya beliau mempelajari bahasa 'Arab, bahasa Farsi dan asas-asas Ilmu Agama dan kemudian telah menuju ke Kabul di mana terdapat ramai Para 'Alim 'Ulama. Beliau telah menerima pendidikan lanjutan di sana dalam bidang ilmu Fiqah, Hadits, Tafsir dan berbagai cabang Ilmu Shar'iyah Islam.

Beliau telah menerima Nisbat Batin dalam Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah daripada Hadhrat Khwajah Khwajagan Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih (1743-1824 M) menerusi Hadhrat Khwajah Hafiz Shah Abu Sa'id Mujaddidi Rahmatullah 'Alaih dan puteranya Hadhrat Khwajah Hafiz Shah Ahmad Sa'id Mujaddidi Rahmatullah 'Alaih (1802-1860 M) dan menerusinyalah  beliau telah menerima pendidikan Zahir dan Batin dalam Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Semenjak usia muda lagi beliau sudah mencintai Para Awliya dan memiliki pegangan I'tiqad yang kuat terhadap mereka. Pernah suatu ketika beliau bersama rakan-rakan para penuntut ilmu telah pergi menziarahi seorang yang Salih bernama Hadhrat Baba Wali Rahmatullah 'Alaih. Ketika dalam perjalanan mereka telah bertemu dengan seorang Sufi Darwish Majzub yang memberikan ucapan kata-kata dan isyarat kepada semua para penuntut dan dia telah berkata kepada beliau,
"Wahai penuntut ilmu, kamu akan menjadi seorang Sahib Kamal dan Sahib Wilayat dan akan menjadi seorang Wali Kamil kerana pada dahimu terdapat rahsia-rahsia Ma'rifat."

Kalimat perkataan Sufi Darwish Majzub itu telah sentiasa terngiang-ngiang dalam ingatannya sehingga tabiat keadaan beliau menjadi tenggelam dalam kegelisahan dan keresahan, lalu telah membuat keputusan meninggalkan pengajiannya di Kabul kemudian berangkat menuju ke Tanah Hijaz dan telah menetap selama beberapa tahun di sana. Setelah berpeluang melakukan ibadat Haji di Makkah Mukarramah beliau telah ke Madinah Munawwarah untuk menziarahi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam di pusaranya. Beliau juga telah berkesempatan menuntut ilmu daripada beberapa Masyaikh ketika berada di Madinah.

Pada suatu malam, telah timbul keinginan di dalam hatinya untuk menziarahi dan bertemu dengan Hadhrat Khwajah Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih ketika beliau sedang berada di dalam Masjid Nabawi di Madinah, namun beliau belum mendapat kesempatan untuk berbai'ah dengannya. Limpahan Faidhz Hadhrat Khwajah Shah Ghulam 'Ali adalah begitu kuat hingga telah menyebabkan hal keadaan beliau menjadi keresahan dan terganggu. Beliau telah memutuskan untuk meninggalkan Tanah Haramain dan kembali ke benua Hindi dengan keghairahan yang kuat dan hal keadaannya berlaku selama berminggu-minggu. Dari sana beliau mula-mula tiba di Qandahar kemudian telah menuju ke Ghazni dan seterusnya ke Kabul sehinggalah ketika beliau tiba di Peshawar, beliau telah mendengar perkhabaran bahawa Hadhrat Khwajah Shah Ghulam 'Ali sudah meninggal dunia sebelum sempat beliau berbai'ah dan menjadi muridnya. Berita tersebut telah menambahkan keresahan di dalam hatinya lalu beliau telah kembali ke Qandahar. Kemudian beliau telah menuju ke Baghdad untuk menziarahi Maqam Hadhrat Ghauts A'zam Mahbub Subhani Syaikh 'Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah 'Alaih dan telah berada di sana selama beberapa masa, kemudian telah diberikan Taufiq untuk berkhidmat kepada Hadhrat Syeikh 'Abdullah Hirati Rahmatullah 'Alaih.

Hadhrat Syeikh 'Abdullah Hirati Rahmatullah 'Alaih menyedari tentang kaifiyat batin yang ada di dalam hati Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih lalu telah mengarahkannya untuk menghadirkan diri berkhidmat kepada Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih. Sebagai menuruti arahan petunjuk tersebut, beliau telah menuju ke Delhi dan telah sempat bertemu dengan Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih yang merupakan Khalifah Hadhrat Khwajah Shah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih sewaktu berada di Bombai sedang bersiap-siap untuk melakukan perjalanan Safar menuju ke Tanah Hijaz bagi mengerjakan ibadat Haji. Beliau sempat berbai'ah dengannya sebelum keberangkatannya ke Makkah.

Meskipun beliau pernah menziarahi dan telah bertemu dengan ramai Para Masyaikh Tariqat, namun setelah hadir bertemu dengan Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih, beliau dapat merasakan limpahan Faidhznya lalu telah memohon berbai'ah dengannya. Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih telah menyerahkan beliau kepada puteranya yang juga Khalifahnya iaitu Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih supaya dia memberikan asuhan Tariqat kepada Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih.

Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih telah berkata kepada beliau memberikan pilihan,
"Untuk menghasilkan ketenteraman dalam hatimu hendaklah kamu berikhtiar memilih untuk bersuhbat dengan puteraku Shah Ahmad Sa'id dan hasilkanlah limpahan Faidhz daripadanya ataupun sehingga daku kembali dari Haji, kamu tunggulah di Bombai sini."

Walaubagaimanapun, beliau telah membuat keputusan memilih menuju ke Delhi untuk berkhidmat dan bersuhbat dengan Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih. Tatkala beliau tiba di Delhi dan memandang kepada Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih segala kesakitan dan semua keresahannya telah menjadi semakin terubat. Setelah selama setahun dua bulan lima hari berkhidmat dan bersuhbat dengan Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih di Khanqah, beliau telah menerima Sanad Ijazah dalam empat Tariqat yang masyhur iaitu Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah, Qadiriyah, Chistiyah dan Suhrawardiyah serta menerima Khilafat dan menjadi Khalifah kepada Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih.

Dari kata-kata Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih berkenaan Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih,
"Faqir ini telah memberikan kepadanya Ijazat kebenaran dalam kesemua jalan Tariqat supaya jalan Hidayat akan berjalan berterusan dan supaya dapat memberikan cahaya kepada hati-hati Para Salikin. Dia adalah Naibku dan berada bersamanya adalah seolah-olah berada bersamaku."

Sebelum Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih berangkat untuk bersafar menuju ke Tanah Haramain bagi mengerjakan Haji, beliau telah menulis sebuah huraian berkenaan Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih,
"Wahai Tuhan, Dikau jadikanlah Tuan Haji Sahib ini sebagai Hadi dan Mahdi agar manusia sentiasa mendapat Hidayat daripadanya. Dalam umurnya kurniakanlah keberkatan kepadanya dalam bimbingannya, nasihatnya dan kebaikannya menerusi keagungan Jah Sayyidil Mursalin Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Rahmat Allah adalah terlimpah ke atas para hamba yang mengucapkan Amin. Wassalam."

Berbekalkan perintah dan doa daripada Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih, pada tahun 1251 Hijrah beliau telah kembali ke kampung halamannya di Qandahar, Afghanistan dan menjalankan usaha Dakwah dan menyampaikan Tabligh di sana. Setelah berlaku peristiwa pembunuhan Shah Shuja, seorang pemerintah Afghanistan yang merupakan sekutu kuat British pada tahun 1842, beliau telah dipaksa keluar dari negara Afghanistan. Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih telah menasihatinya agar menempatkan kedudukan dirinya di suatu tempat yang mana para penduduknya dapat berbicara dengan bahasa Pashto dan Punjabi. Sebagai menurut panduan nasihat daripada Syeikhnya, maka pada tahun 1266 Hijrah beliau telah berpindah di sebuah perkampungan yang bernama Musa Zai Sharif berdekatan dengan daerah Dera Ismail Khan di Pakistan di mana beliau telah memulakan pengembangan ajaran Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah sehinggalah ke akhir hayat beliau serta dimakamkan di sana. Dengan bantuan Hadhrat Qadhi 'Abdul Ghaffar Rahmatullah 'Alaih dan beberapa Ahli Zikir yang lain, mereka telah sama-sama membina sebuah Khanqah di Musa Zai Sharif.

Ketika beliau memasuki usia 68 tahun, keadaan kesihatannya sering terganggu lalu beliau telah melantik Hadhrat Khwajah Muhammad 'Utsman Damani Rahmatullah 'Alaih sebagai Khalifahnya dan telah mengurniakannya dengan Ijazah kebenaran yang tiada terbatas untuk mengajar Tariqah Silsilah Naqshbandiyah Mujaddidiyah Ma'sumiyah Mazhariyah dan Tariqah Silsilah Qadiriyah, Chistiyah, Suhrawardiyah, Kubrawiyah, Shattariyah, Madariyah, Qalandariyah dan beberapa silsilah Tariqat yang lain. Beliau juga telah mempusakakan kepada Hadhrat Khwajah Muhammad 'Utsman Damani Rahmatullah 'Alaih semua perbendaharan Khanqahnya termasuk di Musa Zai Sharif, perpustakaan dan harta yang mana keputusan tersebut telah diterima dengan rela hati oleh sekelian Para Khalifahnya.

Hadhrat Khwajah Muhammad 'Utsman Damani Rahmatullah 'Alaih telah berkata bahawa Murshidnya Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih pernah berkata,
"Apabila daku menghadapi sesuatu kesulitan, maka Hadhrat Khwajah Khidhr akan hadir padaku untuk memberikan mesyuaratnya dan menenangkan diriku."

Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih meninggalkan dunia ini pada 22 Syawal 1284 Hijrah bersamaan 17 Febuari 1868 Masihi dan telah dikebumikan di perkarangan Khanqah Ahmadiyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah, Musa Zai Sharif, Dera Ismail Khan, Pakistan yang sehingga kini masih menerima kunjungan para penziarah dari kalangan orang Khawas dan 'Awam.

Antara ungkapan hikmahnya,
"Kamu mendengar perkataanku, dengarkan juga bahawa terdapat perkataan yang selain dariku. Ianya bukan bermaksud untuk pendengaran telinga jasmani kerana kamu hanya melihat daku dan kamu berfikir bahawa tiada amalan Tasawwuf yang berjauhan dariku. Kamu berada di sini untuk belajar, bukannya untuk mengumpulkan maklumat sejarah."

Isnin, 19 September 2011

Para Khalifah Hadhrat Shah Ghulam Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih






Para Khalifah Hadhrat Shah Ghulam Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih

Hadhrat Shah Abdullah Ghulam Ali Dehlawi Qadiri Naqshbandi Mujaddidi Rahmatullah 'Alaih (1156-1240 H) telah melahirkan ramai Para Khalifah Tariqah Naqshbandiyah sebagai timbalannya bagi mengembangkan ajaran Agama Islam dan pengamalan Tariqah Naqshbandiyah ke pelbagai pelosok bahagian dunia yang jauh dan yang dekat, khasnya di benua Hindi. Jumlah mereka yang sebenarnya adalah tidak diketahui sehingga kini namun himpunan nama-nama Para Khalifah beliau telah dilaporkan dalam berbagai kenyataan riwayat dan biografi Para Masyaikh. Berikut adalah senarai beberapa nama timbalan mulia Para Khulafa Hadhrat Shah Abdullah Ghulam Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih:

1. Hadhrat Hafiz Abu Sa'id Faruqi Dehlawi (1196-1250 H, Delhi, India)
2. Hadhrat Shah Ahmad Sa'id Faruqi Dehlawi Madani (1217-1277 H, Delhi dan meninggal di Madinah)
3. Hadhrat Shah Rauf Ahmad Faruqi Mujaddidi (Bhopal, India)
4. Hadhrat Maulana Khalid Al-Baghdadi Al-Kurdi (m. 1242 H, Timur Tengah)
5. Hadhrat Maulana Ghulam Muhiyuddin Qusuri (1202-1270 H / 1787-1854 M, Qusoor, Punjab)
6. Hadhrat Mirza Abdul Ghafur Khorjawi (Khorja)
7. Hadhrat Shah Abdur Rahman Mujaddidi Jalandhari (m. 1258 H di Sindh)
8. Hadhrat Maulana Bisharatullah Behra’ichi
9. Hadhrat Maulana Karamullah Muhaddith (Delhi, India)
10. Hadhrat Maulana Abdur Rahman Shahjahanpuri (Shahjahanpur, India)
11. Hadhrat Mir Talib Ali alias Maulana Abdul Ghaffar (m. 9 Shawal 1283 H / 1867 M, Makkah)
12. Hadhrat Sayyid Isma'il Madani (Madinah Al-Munawwarah, Saudi Arabia)
13. Hadhrat Mirza Rahimullah Beg, alias Muhammad Darwish Azimabadi
14. Hadhrat Akhund Sher Muhammad (meninggal di Multan ketika perjalanan Haji)
15. Hadhrat Shaikh Al-Haram Maulana Muhammad Jan (m. 16 Safar 1267 H / 22 Disember 1850 M, Makkah)
16. Hadhrat Sayyid Ahmad Kurdi
17. Hadhrat Sayyid Abdullah Maghribi
18. Hadhrat Maulana Pir Muhammad (Kashmir)
19. Hadhrat Maulana Gul Muhammad (Ghazni, Afghanistan)
20. Hadhrat Maulana Jan Muhammad Herati (Qandahar, Afghanistan)
21. Hadhrat Maulana Muhammad Azhim (Haramain Sharifain, Saudi Arabia)
22. Hadhrat Maulana Nur Muhammad
23. Hadhrat Mirza Murad Beg (Khanqah Mazhariyyah, Delhi, India)
24. Hadhrat Muhammad Munawwar Akbarabadi
25. Hadhrat Muhammad Asghar (m. 1255 H, Khanqah Mazhariyyah, Delhi, India)
26. Hadhrat Mir Naqsh Ali (Lucknow, India)
27. Hadhrat Ahmad Yar (Khanqah Mazhariyyah, Delhi, India)
28. Hadhrat Qamaruddin (Peshawar)
29. Hadhrat Muhammad Sher Khan (Afghanistan)
30. Hadhrat Shaykh Jalil-ur-Rahman (Khanqah Mazhariyyah, Delhi, India)

Sumber: Maqamat Mazhari dan kajian Hadhrat Sufi Muhammad Iqbal Mujaddidi

Rabu, 14 September 2011

Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih





Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih Dan Perkembangan Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah


Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih telah mendapat kurniaan gelaran sebagai Mujaddid Alf Tsani yang bererti 'Pembaharu Seribu Tahun Kedua' oleh Hadhrat Maulana 'Abdul Hakim Sialkoti Rahmatullah 'Alaih yang meninggal dunia pada tahun 1657 Masihi bersamaan 1067 Hijrah. Pengaruh Hadhrat Mujaddid Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih yang telah berkembang dalam kalangan Ummat Islam di seluruh Asia Tengah oleh Para Khalifah dan keturunan beliau sehingga tersebar ke seluruh pelosok Timur dan Barat adalah penyaksian dan bukti tentang ketinggian kedudukan martabat beliau sebagai seorang Mujaddid Islam. Beliau telah berjaya mengislamkan ramai penduduk di India dan telah melakukan pembaharuan dalam pemerkasaan amalan-amalan Agama dan 'Aqidah berpuluh ribu Ummat Islam. Para Masyaikh dan Para 'Ulama yang datang sesudahnya juga turut melaungkan fikrah dan aliran pandangan beliau.

Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih sebagai seorang Syeikh Murshid yang membimbing jalan keruhanian adalah Syeikh Sufi Naqshbandiyah pertama yang telah memperkenalkan serta menyebarkan perjalanan Suluk Tariqah Mujaddidiyah di Asia Tengah dan seterusnya telah diperkembangkan lagi penyebarannya oleh putera beliau iaitu Hadhrat Qayyum Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih. Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih telah menerangkan dengan perkataannya tentang kelebihan dan tahap pencapaian martabat ketinggian ruhani yang telah dicapai oleh Hadhrat Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih semasa hayat beliau.

Menurut keterangan dari Para Masyaikh Mujaddidiyah, sesudah kewafatan Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih, hampir limapuluh ribu orang termasuk dua ribu orang Khalifahnya telah berbai'ah dengan puteranya, Hadhrat Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih. Dari kalangan Para Khalifah Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih, ada yang datang dari jauh seperti Mawarannahr atau dikenali sebagai Transoxiana, Khurasan dan Badakhshan untuk memperbaharukan Bai'ah. Meskipun setelah Hadhrat Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih menggantikan ayahanda beliau Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih sebagai Murshid Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah, beliau tetap menjadikan contoh tauladan dan pengamalan daripada ayahandanya sebagai panduan dalam setiap urusan kehidupannya sehari-hari. Himpunan surat-surat beliau dikenali sebagai Maktubat Ma'sumiyah telah diterbitkan dalam tiga jilid yang mengandungi 652 surat sebagai mencontohi himpunan surat-surat ayahandanya yang dikenali sebagai Maktubat Imam Rabbani.

Para Masyaikh Tariqah Mujaddidiyah telah menjadikan kemuliaan Syari'at Agama Islam seperti yang amalkan oleh Ummat Islam Ahlus Sunnah Wal Jama'ah sebagai arah panduan dan telah menyibukkan diri mereka dengan segala kegiatan Syari'at Islam dan sentiasa memperingatkan kepada para pengikut mereka agar menjadikan Hadits-hadits Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai sumber panduan disamping beramal dengan amalan Sunnah Baginda.

Hadhzrat Maulana 'Abdur Rahman Jami



Hadhzrat Maulana 'Abdur Rahman Jami Rahmatullah 'Alaih



Hadhzrat Maulana 'Abdur Rahman Jami 817 H/1414 M – 898 H/1492 M, seorang penyair paling terkenal dari Timurid adalah di antara penyair Timurid yang belum diakui oleh orang sezaman dengannya sebagai salah seorang kuasa utama dalam beberapa disiplin ilmu seperti ilmu Bahasa 'Arab, falsafah, astronomi, muzik, seni dan yang paling penting sekali adalah syair. Beliau belum sepenuhnya diakui di era pasca Timurid.

Huraian ini menyoroti sumbangan yang khas dari Hadhzrat Maulana Jami, seorang penyair besar dan pemikir Sufi dari abad kelima belas yang dianggap sebagai penyair klasik terbesar dalam Sastera Farsi. Ini membahas pengaruhnya terhadap kesusasteraan Farsi, peranan utama beliau dalam Tariqat Naqshbandi dan telah memasukkan penjelasan pemikiran Ibnu 'Arabi dalam pengajaran beliau.

Hadhzrat Maulana Jami telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Herat yang menjadi pusat utama untuk segala kemampuan dan bakat kesenian pada abad kelima belas dan merupakan bandar di mana Hadhzrat Maulana Jami telah dibesarkan, belajar, berkembang dan menghasilkan pelbagai prosa dan puisi syair.

Kesuburan amalan Agama pada era Timurid jelas meninggalkan tanda besar pada Hadhzrat Maulana Jami khususnya melalui Para Masyaikh Khwajagan Naqshbandi yang membentuk jalinan Para Sufi paling berpengaruh di dunia pada abad kelima belas. Tinggal di pusaran tatacara politik, budaya dan kemasyarakatan sosial, Hadhzrat Maulana Jami telah menjadi pemenang penyair pada zaman sesudahnya. Dalam sebuah karya sejarah Habib Al-Siyar karangan Khwandamir, seorang sejarawan terkenal dari Timurid telah menulis nama 211 penyair dan orang terpelajar dalam eranya, salah satunya adalah Hadhzrat Maulana Jami.

Begitu banyak penyair dan penulis dari keturunan Timurid yang merupakan para penguasa yang menguasai pelbagai bahagian wilayah luas Timurid. Pertandingan di antara mahkamah kecil telah mewujudkan suatu keadaan yang tepat bagi para seniman untuk belajar menghasilkan karya yang berkualiti. Tidak seperti kebanyakan orang yang sezaman dengannya, Hadhzrat Maulana Jami tidak ditugaskan ke mahkamah atau ke rumah setiap orang kenamaan dan dia tidak pernah menghulurkan tangan kepada sesiapa pun untuk menerima pemberian hadiah wang tunai.

Namun dia dengan murah hati telah membayar untuk semua karya-karyanya yang hebat dan telah disalin oleh beberapa ahli kaligrafi terbaik daripada Herat berkat dana yang disediakan oleh sahabat karib dan pengikutnya iaitu Hadhzrat 'Ali Shir Nava'i yang akan menghantar karya-karya Hadhzrat Maulana Jami kepada para penguasa, para bangsawan dan para pegawai.

Hadhzrat Maulana Jami adalah seorang tokoh yang sangat dihormati dan terkenal di dinasti Timurid, kerana selain statusnya sebagai pemenang penyair zaman dan kerana dia bergabung dengan Tariqat Sufiyah Naqshbandiyah yang paling menonjol di pada saat itu. Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar adalah sangat berpengaruh di Asia Tengah dan Transoxiana.

Hadhzrat Maulana Jami bertindak sebagai Khalifah Hadhzrat Khwajah Ahrar di Herat. Dia berada di saat keadaan sosial penduduk berada dalam penguasaan Timurid yang tidak dalam keadaan terbaik kerana cukai yang tinggi dan penindasan oleh Dinasti.

Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih berpendapat bahawa Hadhzrat Maulana Jami mampu mengurangkan penderitaan rakyat melalui kedudukannya di mahkamah dan sebagai penyair dan Sufi Naqshbandi di bandar Herat.

Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin Rahmatullah 'Alaih




Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin Rahmatullah 'Alaih 

Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin (806 - 895 H / 1404 - 1490 M) adalah seorang pemimpin Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah yang mana di bawah pimpinannya Tariqat Naqshbandi telah bertapak dengan kukuh di Asia Tengah hingga ke seluruh Dunia Islam dan pada hakikatnya beliau adalah merupakan seorang yang memerintah sebahagian besar Mawarannahr atau dikenali sebagai Transoxiana selama empat dekad pada pertengahan akhir kurun yang ke lima belas.

Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih lahir di desa Baghistan di sekitar Tashkent dalam bulan Ramadhzan tahun 806 H atau Mac 1403 M. Bapanya adalah seorang Sufi Darwish yang menonjol dan keluarga beliau memang terkenal dari kalangan yang Wara' dan berpendidikan tinggi agama. Beliau memiliki darah keturunan Hadhzrat 'Umar Al-Khattab Radhiyallahu 'Anhu dan telah dibesarkan di Tashkent oleh bapa saudaranya yang bernama Hadhzrat Khwajah Ibrahim Shashi Rahmatullah 'Alaih, seorang ulama besar pada masa itu yang telah memberinya pendidikan awal. Sesudah beliau lulus dalam ilmu Zahiriyah dan Duniawiyah, bapa saudaranya telah menghantar beliau ke Samarqand untuk mendapatkan ilmu pengetahuan Batiniyah dan Ukhrawiyah.

Kemudian beliau telah berpindah ke Samarqand untuk melanjutkan pengajiannya namun tidak dapat disempurnakannya oleh kerana sering ditimpa demam dan lemah kecenderungan dari dirinya, lalu beliau telah segera menamatkan pengajiannya di Samarqand dan menurut kenyataannya, beliau tidak pernah menguasai Ilmu Nahwu Bahasa 'Arab walau dua muka surat pun. Pada awalnya ketika di Samarqand, beliau telah menyertai dengan Halqah para murid Hadhzrat Khwajah Nizamuddin Khamosh Rahmatullah 'Alaih yang merupakan seorang yang Salih lagi terkemuka pada masa itu.

Pada usia 22 tahun beliau telah pergi ke Bukhara dan ketika berada di luar bandar Bukhara, beliau telah bertemu dengan Hadhzrat Khwajah Sirajuddin Birmisi Rahmatullah 'Alaih. Setelah tinggal beberapa lama dengannya, beliau telah melanjutkan perjalanan menuju ke Bukhara.

Di Bukhara, beliau telah memperolehi bimbingan Ruhaniyah yang menguntungkan daripada Hadhzrat Khwajah 'Alauddin Ghajduwani Rahmatullah 'Alaih yang merupakan seorang pemidato yang sangat baik dan luar biasa. Ketika Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih bertemu Hadhzrat Khwajah 'Alauddin Ghajduwani Rahmatullah 'Alaih yang telah berusia 90 tahun, walaupun sudah tua namun beliau tidak pernah menghentikan amalan kesalihannya atau menahan diri dari membuat pergaulan Suhbah yang menguntungkan dengan Para Muridnya. Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih menerima masa keruhanian dari Khwajah Ghajduwani Rahmatullah 'Alaih sedang kedua-duanya sibuk dalam Muraqabah di Maqam Hadhzrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih.

Kemudian, beliau telah pergi ke Khurasan melalui Merv lalu singgah di Herat dan tinggal di sana selama empat tahun dengan Hadhzrat Sayyid Qasim Tabrizi Rahmatullah 'Alaih. Ketika di Herat, beliau telah mendengar kata-kata pujian tentang Hadhzrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih. Beliau telah memutuskan untuk mengambil manafaat dari Hadhzrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih dan telah memulakan perjalanan untuk bertemu dengannya dan mengambil limpahan Faidhz keruhanian darinya.

Ketika berusia 24 tahun beliau telah pergi ke Herat untuk meneruskan pengajiannya berkenaan Ilmu Tariqat Tasawwuf, khasnya dibawah asuhan Hadhzrat Maulana Khwajah Ya'aqub Charkhi Rahmatullah 'Alaih yang merupakan salah seorang daripada khalifah Hadhrat Khwajah Khwajagan Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih.

Dalam paparan seluruh kehidupannya, beliau kurang memberikan penekanan terhadap pendidikan secara formal dan teratur sebaliknya lebih menitik-beratkan penguatkuasaan Syari'at dan pengamalan Ilmu Tasawwuf. Nilai-nilai kesucian sudah terlihat dalam dirinya sejak masa kecilnya. Hadhzrat Khwajah Ahrar pernah berkata:
"Dari usia tiga tahun daku telah berada di Hadhzrat Allah. Ketika daku mempelajari Al-Quran dengan guruku, hatiku berada di Hadhzrat Allah. Dahulu daku berfikir bahawa semua orang adalah seperti itu."

Oleh kerana beliau memiliki takluk perhubungan yang baik dengan para pemimpin Timurid di Mawarannahr khasnya Sultan Abu Sa'id, maka beliau telah berjaya mendapatkan kedudukan yang teguh dalam wilayah pemerintahan Timurid. Era Timurid, dinasti yang memerintah Transoxiana, Iran, dan Afghanistan 1370 - 1506 mempunyai kesan budaya dan seni yang mendalam tentang sejarah Asia Tengah, Empayar Uthmaniyyah dan Mughal India di era moden awal. Menurut beberapa riwayat berkenaan Hadhzrat Khwaja 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih, Sultan Abu Sa'id telah mengalami kekalahan dalam sebuah peperangan yang telah dilancarkan oleh seorang putera raja yang memberontak bernama 'Abdullah Mirza.

Oleh kerana kekalahan, Sultan Abu Sa'id telah bergerak ke sebelah utara iaitu di Tashkent. Semasa dalam perjalanan, beliau telah bermimpi bertemu dengan seorang Wali Allah yang besar lagi agung bernama Hadhzrat Khwajah Ahmad Yasawi Rahmatullah 'Alaih. Di dalam mimpinya, Hadhzrat Khwajah Ahmad Yasawi Rahmatullah 'Alaih telah memperkenalkan kepadanya seorang yang berkilau tubuh badannya dengan cahaya Nur serta dapat membantu beliau dalam usahanya.

Sultan Abu Sa'id telah cuba menjelaskan gambaran orang yang telah dilihatnya dalam mimpi tersebut kepada orang-orang di Tashkent. Beliau telah diberitahu bahawa orang tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih yang pada ketika itu tidak berada di Tashkent, tetapi sedang menetap di sebuah bandar kecil bernama Farkat di luar Kota Tashkent. Sultan Abu Sa'id telah membuat keputusan untuk pergi bertemu dengan Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Hadhzrat Khwaja 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah bersedia memberikan bantuannya kepada Sultan Abu Sa'id dengan syarat bahawa dia hendaklah menggunakan kuasa pemerintahannya untuk menguatkuasakan Syari'at Islam dan meringankan bebanan rakyat.

Dalam peperangan yang berikutnya, 'Abdullah Mirza telah menghadapi kekalahan dan Sultan Abu Sa'id telah berjaya memasuki Samarqand dan kemudian telah disusul dengan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Sultan Abu Sa'id berasa terhutang budi dengan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih dan menurut riwayat yang telah dinukilkan oleh 'Abdur Razzaq As-Samarqandi Rahmatullah 'Alaih, Sultan Abu Sa'id telah menganggap dirinya sebagai berada di bawah segala arahan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Penguasaan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih ke atas Samarqand menjadi lengkap pada tahun 861 H/1457 M apabila Sultan Abu Sa'id menukarkan kota pemerintahannya di Herat. Sesudah kematian Sultan Abu Sa'id, putera beliau yang bernama Sultan Ahmad juga telah menjadi pengikut setia Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Terdapat berbagai-bagai episod mencabar dalam kehidupan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih selain dari kisah penaklukan Samarqand dalam tahun 855 H/1451 M, seperti pengaruhnya dalam politik dan pengurusannya terhadap pertahanan Samarqand dari serangan tentera Khurasan dalam tahun 858 H/1454 M.

Kejayaan beliau mempengaruhi Sultan Abu Sa'id sehingga dia telah berjanji untuk menghapuskan segala amalan yang bertentangan dengan Syari'at Islam di dalam seluruh jajahan takluk pemerintahannya, khasnya di Bukhara dan Samarqand dalam tahun 865 H/1460 M. Beliau telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara Sultan Abu Sa'id dengan putera pemberontak yang bernama Muhammad Djuki di Shahrukhiyyah dalam tahun 865 H/ 1461 M dan 867 H/ 1463 M serta telah mengadili tiga buah tuntutan yang bertentangan dalam penaklukan Tashkent dalam tahun 890 H/ 1485 M.

Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah memberikan alasan beliau melibatkan diri dalam berbagai situasi politik menerusi surat-surat beliau yang mana telah menjelaskan bahawa beliau berusaha mencapai kekuasaan atas para penguasa dan pemerintah adalah bagi memelihara keadilan dan melaksanakan Syari'at. Beliau telah berkata,
"Perlu ada yang berdiri di antara rakyat dan para pemerintah, seorang yang mampu menyekat kezaliman dan penindasan. Rakyat adalah tidak berkemampuan dan tidak berdaya menghadapi tentangan orang yang lebih kuat. Maka adalah perlu untuk mempengaruhi para pemerintah agar tidak melanggari batas undang-undang Allah Ta'ala atau menzalimi rakyat."

Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih diriwayatkan sebagai pernah berkata,
"Jika kami bertindak sebagai seorang Syaikh dalam zaman ini, tiada seorang Syaikh pun yang akan mendapat walau seorang murid pun, akan tetapi suatu tugas lain telah diamanahkan kepada kami iaitu untuk melindungi Ummat Muslim dari kejahatan para pemberontak dan untuk mencapai tujuan ini kita mestilah menemui para pemerintah dan menguasai jiwa mereka, seterusnya mencapai maksud untuk kepentingan Ummat Muslim."

Beliau telah menjadi perantara untuk mendamaikan pertelingkahan yang berlaku di antara putera-putera Timurid, mengaturkan perundingan dengan para pemimpin suku kaum yang berpindah-randah, menyusun pertahanan untuk memelihara Samarqand dan beliau juga telah menjadi seorang tuan tanah yang paling berkuasa dalam wilayahnya dan mungkin juga seorang yang paling kaya di Mawarannahr. Beliau telah banyak membantu dalam menegakkan ketinggian kuasa Naqshbandi ke seluruh Asia Tengah.

Para khalifah dan para pengikutnya yang datang sesudahnya telah memikul pengaruh beliau dan telah menyebarkannya ke tempat yang lebih jauh sehingga ke Turki, Turkistan Timur, India dan sehingga ke hari ini pengaruh beliau telah tersebar ke seluruh pelosok Dunia.

Kajian tentang Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih dan peranannya dalam menempa kejayaan bagi Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah di empayar Timuriyah pada abad ke-15 telah dibingkaikan dengan dua pertimbangan utama:

1. Pertama, penyelidikan tentang karisma kepemimpinan Sufi seperti Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar sering bergantung pada bahan-bahan sejarah di bawah karangan Hagiografi iaitu riwayat tentang kehidupan Para Wali.

2. Kedua, kajian tentang fenomena Asia Tengah seperti kewujudan Naqshbandiyah sehingga tahun 1990-an merupakan suatu bidang istimewa bagi para sarjana Russia yang menjalankan kajian dengan sistem metodologi dan epistemologi Marxsis yang tidak selalunya bersikap baik terhadap sebarang gerakan keagamaan yang masyhur dan sistem kepercayaan.


Berkhidmat untuk ummat manusia secara Jasmani mahupun Ruhani adalah merupakan kata-kata dorongan bagi Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah 'Alaih. Ada banyak contoh sifat kebaikannya sepertimana beliau pernah berkata:
"Untuk membantu dan melayani masyarakat adalah lebih baik daripada Zikir dan Muraqabah. Beberapa orang berfikir bahawa untuk melakukan Sunnah yangg berlebihan adalah lebih baik daripada melayani dan membantu mereka yang memerlukan. Menurut pandangan kami, walau bagaimanapun bahawa untuk merawat orang dan untuk membantu mereka dan untuk menunjukkan kepada mereka kasih sayang adalah lebih baik dari apa pun."

Beliau juga pernah berkata,
"Aku tidak mengambil Tariqat ini dari buku tapi daku telah diajar Tariqat ini dengan melayani orang ramai."

Beliau telah berkata,
"Daku masuk ke dalam perkumpulan Keruhanian melalui pintu perkhidmatan."

Kata beliau,
"Tasawwuf mengharuskan anda untuk membawa beban semua orang dan tidak meletakkan anda pada sesiapa jua pun."

Ketika pertengahan abad yang ke lima belas Para Masyaikh Sufiyah di Asia Tengah telah menjadi sangat berpengaruh dan martabat keruhanian serta kewibawaan agama yang ada dalam diri mereka telah diterjemahkan ke dalam kekuasaan politik dan kekukuhan ekonomi. Tariqat Naqshbandi telah berkembang pesat dalam persekitaran ini dan telah mencapai zaman kemuncak di zaman Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih yang merupakan generasi ketiga sesudah pengasasnya iaitu Hadhzrat Khwajah Khwajagan Shah Muhammad Bahauddin Naqshband Al-Uwaisi Al-Bukhari Rahmatullah 'Alaih yang telah dianggap dan diterima sebagai Penaung Para Wali di Bukhara.

Sebuah kompleks binaan bangunan yang mengandungi Masjid serta beberapa Khanqah dan Madrasah telah dibina di persekitaran makamnya dan telah menjadi sebuah tempat kunjungan yang termasyhur di Bukhara. Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih merupakan syakhsiah yang pertama dari kalangan Masyaikh Naqshbandiyah yang telah melibatkan diri dalam kancah politik serta menikmati kemewahan ekonomi yang tersendiri dan keupayaan sosial terhadap segala tuntutan rakyat. Dalam tahun 1431 M beliau telah menapakkan dirinya sebagai seorang Syaikh Tariqah Sufiyyah di Tashkent yang ketika itu dikenali sebagai Tashkand.

Beliau telah menggunakan kekuatan pengaruhnya ke atas beberapa suku kaum Uzbek untuk membantu bakal pemerintah iaitu Sultan Abu Sa'id dalam usahanya bergelut dalam peperangan bagi mendapatkan kekuasaan politik. Setelah pergelutan kuasa dan Sultan Abu Sa'id berjaya mandapat tampuk kekuasaan, Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah bersama-sama Sultan Abu Sa'id berpindah ke ibukota yang baharu iaitu di Samarqand. Oleh kerana kewibawaan keruhaniannya yang telah berjaya menakluk hati Sultan Abu Sa'id, Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah menjadi penguasa mutlak di Transoxiana dan sebagai pemilik tanah yang terbesar dan terkaya pada masa itu.

Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah mengesahkan tindakannya melibatkan diri dalam suasana politik dengan mendakwa bahawa dirinya telah diberikan tanggungjawab untuk melindungi Ummat Muslimin dari sebarang kejahatan dan kezaliman dengan menegakkan Syari'at secara mendampingi para raja dan menakluki jiwa mereka untuk kepentingan Ummat Islam.

Antara perintah yang telah dikeluarkan oleh beliau dalam menguatkuasakan Syari'at Islam adalah dengan menggugurkan Tamgha iaitu suatu tradisi Mongol yang bukan Islam dalam pungutan cukai. Beliaulah Syeikh Naqshbandi yang pertama membawa pengamalan Syari'at dari tahap individu ke tahap politik dan telah menerapkan penafsiran prinsip ajaran Khalwat Dar Anjuman oleh Hadhzrat Khwajah Khwajagan 'Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah 'Alaih sebagai suatu keperluan dalam memadukan dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan Duniawi dan Ruhani.
Penafsiran asas beliau terhadap Syari'at telah membimbing beliau kepada mengenepikan irama muzik bunyi-bunyian, tarian dan alunan syair yang mana kelihatan agak bertentangan dengan sikap terbuka dalam tradisi Para Masyaikh yang telah dipegang di Khurasan, khasnya di Herat seperti Hadhzrat Maulana Jami Rahmatullah 'Alaih.
Sepertimana Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih, Hadhzrat Maulana 'Abdur Rahman Jami Rahmatullah 'Alaih juga turut menikmati kedudukan tinggi yang tersendiri dan telah berjaya mempengaruhi para pemerintah di Khurasan meskipun penafsiran beliau terhadap Syari'at agak berlainan dengan penafsiran Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah berjaya membangunkan Tariqat Naqshbandi sebagai yang paling berpengaruh di Asia Tengah dan berdampingan dengan para pemerintah. Sehinggalah pada lewat abad yang ke lapan belas, seorang Syaikh Naqshbandi yang bernama Hadhzrat Shah Murad 1801 M yang mendakwa dirinya sebagai berketurunan ruhani daripada Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah menjadi ketua pemerintah Bukhara. Dengan melihat bahawa dirinya sebagai seorang Khalifah Allah di atas muka bumi, beliau telah berpegang teguh dengan polisi yang telah dilaksanakan oleh Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih dengan usahanya memperkuatkuasakan perlaksanaan Syari'at Islam serta menerangkan penafsirannya yang asas. Beliau agak terkenal dengan sikap permusuhannya secara terang-terangan terhadap golongan Syi'ah dan bukan Islam.

Lebih jauh dari itu, bilangan Para Khalifahnya yang ramai sesudah beliau telah memberikan jaminan untuk tersebarnya limpahan Faidhz ke seluruh Dunia Islam dan telah berjaya menjadikan Tariqat Naqshbandiyah sebagai suatu Tariqat Sufiyah yang paling luas berkembang. Gabungan para pemerintah dengan Para Masyaikh Naqshbandiyah telah menjadi begitu kerap dibahagian Timur Turkistan.

Setelah penaklukan Russia ke atas Asia Tengah dalam pertengahan abad ke sembilan belas meskipun Tariqat Naqshbandiyah telah dilihat dengan bentuk baharu yang berbeza, namun ia masih terus memainkan peranan penting dalam pengaruhnya terhadap Ummat Muslimin di Asia Tengah. Ketika awal tahun 1970-an, Tariqat Naqshbandiyah masih lagi merupakan sebuah Tariqah Sufiyah yang penuh bertenaga dan telah memberikan pengaruh yang besar terhadap masyarakat sosial. Para Masyaikh Naqshbandiyah telah dikenali juga sebagai Hadhzrat Ishan memiliki aura keruhanian yang hebat dan telah menikmati kedudukan yang tinggi di kalangan para bangsawan.

Para Khalifah Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih juga telah memperkenalkan jaringan Ekhwan Naqshbandiyah ke dalam tanah jajahan kerajaan 'Utsmaniyah dan Iran.

Segala kenyataan ini telah diperakui oleh para periwayat seperti Al-Khani dan para sarjana pengkaji sejarah Asia Tengah seperti Hamid Algar, Bartold, Boldyrev, Bregel, Buehler, Canfield, Checovich, Gordelevskiy, Jo Ann Gross, Khanykoff, Kolosenko, Shubin, Sitnyakovskiy dan Vambery.

Hadhzrat Maulana Khwaja Ahrar telah menulis banyak buku tentang Tasawwuf dan pengetahuan yang berkaitan dengan mencari kedekatan kepada Allah. Selain itu, beliau juga telah mendirikan sebuah Madrasah besar dan sebuah Masjid yang masih menjadi pusat pembelajaran Agama Islam. Khwaja Ahrar telah meninggal dunia pada hari Sabtu 29 Rabi'ul Awwal 895 H / 20 Februari 1490 M di Kemangiran, Samarqand selepas solat Isyak ketika berusia 89 tahun.

Pemakamannya telah menarik segalanya hinggakan Sultan Ahmad dari Samarqand bersama-sama pasukannya juga telah datang menghadiri pemakaman beliau. Beliau telah dikebumikan di Samarqand. Beliau telah memberikan limpahan Faidhz dari Urutan Naqshbandiyah kepada Hadhzrat Khwajah Qadhzi Muhammad Zahid Samarqandi Rahmatullah 'Alaih. Maqam persemadian Hadhzrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih telah menjadi sebuah tempat tarikan para pengunjung sehingga ke hari ini.

Selasa, 13 September 2011

Hadhrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih



Hadhrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih

Hadhrat Maulana Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih adalah tergolong sebagai seorang pendukung agung serta tiang utama Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah. Menurut riwayat kehidupan semasanya beliau adalah seorang yang menjadi tempat rujukan untuk berbagai cabang ilmu khasnya dalambidang ilmu Syari'at dan Tariqat. Di samping beliau menyampaikan seruan Dakwah Tabligh dan memberi petunjuk nasihat menerusi lisan dan amal perbuatan, beliau juga turut melakukannya dengan Qalam dan Kertas.

Setelah beliau mengambil jalan Tariqat dan menerima petunjuk dari Murshidnya yang agung Hadhrat Khwajah Khwajagan Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih, beliau telah menyebar serta mengembangkan ajaran-ajaran Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah sebagai menuruti pesanan wasiat Murshidnya sebelum beliau berpisah dari Murshidnya.

Dalam kitab Risalah Abdaliyah karangan beliau ada dinyatakan riwayat bahawa ketika hendak berpisah, Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih telah berpesan kepada Hadhrat Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih,
"Apa sahaja daripada pihak kami yang kamu telah perolehi hendaklah kamu menyampaikannya kepada Para Hamba Allah sebagai suatu sebab untuk kejayaan."

Kemudian Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih mengucapkan sebanyak tiga kali sebagai mendoakannya,
"Kami sudah menyerahkan urusan kamu kepada Allah. Kami sudah menyerahkan urusan kamu kepada Allah. Kami sudah menyerahkan urusan kamu kepada Allah."

Berdasarkan hal keadaannya ini beliau telah menyampaikan seruan Dakwah Tabligh secara Khutbah dan Taqrir kepada para hadirin dan secara penulisan surat-surat dan kitab-kitab kepada mereka yang ghaib. Menerusi keberkatan nasihat dan doa dari Murshidnya Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih, segala huraian dan penyampaiannya dalam menjalankan usaha Dakwah Tablighnya telah dapat memberikan kesan kepada hati Para HambaNya. Allah Ta'ala telah mengurniakan keberkatan dalam Qalam penulisannya dan menjadikannya sebagai seorang pengarang kitab yang telah melahirkan banyak kitab-kitab bernilai dalam bidang Tafsir, Fiqah, Tasawwuf, Suluk Tariqat, Awrad dan Wazaif yang berkaitan dengan amalan Islam. Gaya penulisan dan huraian beliau adalah begitu terhimpun serta tersusun dengan cara yang terbaik dan mentafsilkan kenyataan yang Ijmal adalah antara kekhususan dalam gaya penulisannya.

Kekhususan petunjuk dalam Tariqah Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah adalah dengan Ittiba' yakni menuruti Syari'at Muhammadiyyah 'Ala Sahibiha Alfu Alfu Solatan Wa Tahiyyah. Di sisi Para Pewaris dan Para Salikin Tariqat ini, hendaklah pada Zahir berpegang teguh dengan amalan Syari'at dalam setiap urusan dengan sentiasa mendahulukannya dan melazimkan pengamalannya, mengutamakan amalan yang 'Azimah atas amalan yang Rukhsah dengan melaksanakan tuntutan menurut turutan perkara-perkara yang Fardhu, Wajib dan Sunnah sehingga pada keadaan Rukhsah sekalipun amalan Mustahab Syar'iyyah yakni disukai pada Syari'at juga tidak ditinggalkan.

Suatu ketika Hadhrat Maulana Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih telah bernasib baik dapat menziarahi Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih dalam mimpi di Alam Ruhani. Hadhrat Maulana Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih telah bertanya kepada Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih,
"Apakah amalan yang apabila dilakukan akan membolehkan daku untuk bersama dengan tuan pada Hari Qiyamat?" Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih berkata,
"Menuruti Syari'at Muhammadi."

Tariqat secara asalnya adalah pengamalan yang menuruti Syari'at Muhammadiyyah 'Ala Sahibiha Alfu Alfu Solatan Wa Tahiyyah dengan menjadikannya sebagai dalil dan memahami pengertian maknanya.



Jumaat, 9 September 2011

Makhdum A'zam Hadhrat Syaikh Ahmad Kasani Ibni Mawlana Jalaluddin Khwajagi Kasani Rahmatullah 'Alaihima



Hadhrat Makhdum A'zam Syaikh Ahmad Kasani Ibni Mawlana Jalaluddin Khwajagi Kasani Rahmatullah 'Alaihima (m.1542)

Hadhrat Syaikh Ahmad Ibni Mawlana Jalaluddin Khwajagi Kasani Rahmatullah 'Alaihima yang masyhur semenjak abad ke-16 dengan gelaran Makhdum A'zam telah dilahirkan pada tahun 1461 Masihi di sebuah daerah bernama Kazan di lembah Farghana di Turkestan berdekatan sungai Syr Darya dan meninggal pada tahun 1542 Masihi dan dikebumikan di Samarqand, Uzbekistan. Beliau adalah Sayyid dari keturunan Qarakhanid dan Burhanuddin Qilich dan merupakan salah seorang dari kalangan Masyaikh Khwajagan Naqshbandiyah yang agung. Makhdum A'zam yang bermaksud 'Mahaguru Teragung' adalah bagi menggambarkan paparan peribadi dirinya yang unggul sebagai seorang Khwajah di kalangan Para Khwajagan. Beliau telah menerima Nisbat Batin daripada Murshidnya Hadhrat Khwajah Muhammad Qadhzi Rahmatullah 'Alaih yang merupakan Khalifah Hadhrat Khwajah 'Ubaidullah Ahrar Rahmatullah 'Alaih.

Menurut seorang penuntut beliau bernama Hadhrat Qasim Bin Muhammad Rahmatullah 'Alaih yang telah mengkhidmatinya selama beberapa tahun sehingga saat kematiannya dan juga pengarang kitab Anis At-Talibin, bahawa Hadhrat Makhdum A'zam Rahmatullah 'Alaih adalah seorang yang memiliki banyak Karamah. Terdapat banyak kisah berkenaan mereka yang berani menentangnya dan tidak menghormatinya atau biadab terhadapnya telah ditimpa dengan balasan seperti kemalangan, sakit yang berterusan dan juga kematian. Hadhrat Makhdum A'zam Rahmatullah 'Alaih telah menekankan betapa pentingnya mewujudkan perhubungan dengan Para Sultan yang sedang memerintah dalam usaha menggesa mereka menegakkan Syari'at Islam sehinggakan ramai dari kalangan para pemimpin dalam Kerajaan Shaybanid yang telah mendakwa diri mereka sebagai Murid Hadhrat Makhdum A'zam.

Seorang penuntut beliau yang bernama Hadhrat Dust Muhammad Bin Nawruz Ahmad Al-Kishi Falizkar Rahmatullah 'Alaih menyatakan bahawa selama dua puluh lima tahun dia telah mencenderungkan kepalanya dengan kehinaan terhadap menuruti jejak langkah Sultan Tariqat Makhdum A'zam Hadhrat Khwajah Ahmad Kasani Rahmatullah 'Alaih dan telah mencatatkan setiap apa yang telah didengari dan yang dapat disaksikan daripada Murshidnya dan telah menghimpunkannya dalam dua buah kitab yang bernama Silsilah As-Siddiqin Wa Anis Al-'Ashiqin dan Tanbih Adh-Dhallin Wal-Mudhillin yang berkaitan dengan sejarah hidup Hadhrat Makhdum A'zam Rahmatullah 'Alaih. Beliau telah meriwayatkan tiga peristiwa penting sebagai menurut arahan Hadhrat Makhdum A'zam Rahmatullah 'Alaih iaitu kebenaran ramalannya tentang penaklukan kota Kasan di Farghana oleh tentera bersekutu Uzbek yang dipimpin oleh Janibik Khan, berkenaan serangan oleh dua puluh ribu kekuatan tentera Kafir terhadap Mirza Babur kemudian kejayaan yang akan dicapai oleh Babur. Beliau mendapat firasat tentang peristiwa tersebut menerusi amalan Muraqabah dan Tawajjuh. Beliau juga telah mendapat firasat tentang kejayaan gerakan penentangan yang dilakukan oleh Ubaidallah Khan terhadap Khurasan.

Beliau telah mengarang lebih dari tiga puluh buah kitab berkaitan Ilmu Islamiyah khasnya berkaitan Ilmu Tariqat Tasawwuf dan merupakan seorang yang berperanan penting dalam situasi politik di Samarqand serta pejuang dalam mengembangkan Tariqah Khwajagan Naqshbandiyah di sekitar Asia Tengah. Karya penulisan beliau telah tersebar dari Mawarannahr (Transoxiana) sehinggalah ke Timur Turkestan di Xinjiang dan Tariqah beliau telah berkembang ke berbagai pelosok Asia Tengah.

Putera sulung beliau yang bernama Hadhrat Khwajah Muhammad Amin Rahmatullah 'Alaih (m.1598) dan putera kedua beliau yang bernama Hadhrat Khwajah Ishaq Wali Rahmatullah 'Alaih (m.1599) adalah pengasas cabang daripada Tariqah Khwajagan Naqshbandiyah. Hadhrat Khwajah Muhammad Amin Rahmatullah 'Alaih yang digelar sebagai 'Ishan Kalan' bersama para pengikutnya telah menjalankan kegiatan Tariqat di sekitar kawasan pergunungan putih di Kashgar dan mereka telah dikenali sebagai 'Aqtaghliq' atau Tariqah Afaqiyah atau Baishan Pai.

Hadhrat Khwajah Ishaq Wali Rahmatullah 'Alaih dan para pengikutnya pula telah menjalankan kegiatan Tariqat di kawasan pergunungan hitam di Yarkand dan mereka telah dikenali sebagai 'Qarataghliq' atau Tariqah Ishaqiyah atau Heishen Pai. Kegiatan amalan Tariqat Tasawwuf dan penyebaran kedua-dua cabang Tariqah ini telah berjaya menarik ramai Para Murid sehinggalah kepada golonga atasan Mongol di Turkestan dan telah berjaya menguasai Kasghar dan Yarkand pada abad ke-17. Seluruh keturunan dan para pengikut setia mereka telah dikenali sebagai 'Makhdumzada'.


Khamis, 14 Julai 2011

Tujuh Ayat Al-Fatihah: Futuhat An-Najahah



TUJUH AYAT AL-FATIHAH

Dalam Tafsir Jalalain ada dinyatakan bahawa Surah Al-Fatihah adalah Surah yang diturunkan di Makkah mengandungi tujuh ayat beserta Tasmiyah yang juga dikenali sebagai Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ). Seandainya Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) adalah dari kandungan Surah Al-Fatihah, maka ayat yang ketujuh adalah "Siratal-Ladzina" (ﺻﺮﺍﻁ ﺍﻟﺬﻳﻦ) hingga ke akhirnya, dan jika Basmalah bukan daripada Surah Al-Fatihah, maka ayat yang ketujuh adalah "Ghairil-Maghdhubi" (ﻏﻴﺮ ﺍﻟﻤﻐﻀﻮﺏ) sehingga ke akhirnya.

Telah timbul Ikhtilaf perselisihan pendapat berkenaan kedudukan ayat Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) atau At-Tasmiyah (التسمية) ini. Terdapat tiga Mazhab pendapat berkenaan perkara ini seperti yang telah dinukilkan oleh Hadhrat Imam Al-Baghawi Rahmatullah 'Alaih di dalam Tafsir beliau yang berjudul Mu'allim At-Tanzil seperti berikut:

1. Pendapat Mazhab yang pertama adalah Para Qurra iaitu orang-orang yang mahir berkenaan Al-Quran dari kalangan penduduk Madinah, Basrah dan Para Fuqaha iaitu orang-orang yang mahir dalam bidang ilmu Fiqah di Kufah. Mereka berpendapat bahawa ayat tersebut bukan daripada ayat pembukaan Al-Kitab Al-Quran dan bukan pula ayat pembukaan Surah-Surah yang lain. Pembukaan pembacaan Al-Quran dengan ayat tersebut adalah bagi menghasilkan maksud At-Tayammun (للتيمن) dan At-Tabarruk (التبرك) yakni bertujuan memperolehi keuntungan dan keberkatan dengan Nama-Nama Allah Ta'ala.

2. Pendapat Mazhab yang kedua adalah dari kalangan Para Qurra di Makkah, Kufah dan kebanyakan Para Fuqaha di Hijaz dengan menganggap bahawa ayat tersebut adalah daripada Surah Al-Fatihah dan bukannya ayat daripada sekelian Surah kerana ianya dituliskan sebagai Fasal pembahagi untuk setiap Surah.

3. Pendapat Mazhab yang ketiga adalah pendapat Hadhrat Ats-Tsauri, Hadhrat Ibnu Al-Mubarak dan Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy Rahmatullah 'Alaihim. Mereka berpendapat bahawa ayat tersebut adalah daripada Surah Al-Fatihah dan juga daripada setiap Surah kecuali Surah At-Taubah kerana ianya telah ditulis di dalam Mushaf dengan tulisan pada hampir setiap Surah di dalam Al-Quran.

Hadhrat Imam Al-Mawardi Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan di dalam Tafsir An-Nukat Wa Al-'Uyun karangannya bahawa, telah menjadi Ijma' kesepakatan Para 'Ulama dan Mufassirin bahawa Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah daripada isi kandungan Al-Quran di dalam Surah An-Naml.

Walaupun demikian, terdapat perselisihan pendapat pada mengitsbatkannya sebagai kandungan daripada Surah Al-Fatihah. Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy Rahmatullah 'Alaih dan sebahagian Para 'Ulama telah mengitsbatkan Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) sebagai ayat permulaan bagi setiap Surah kecuali Surah At-Taubah. Hadhrat Imam Abu Hanifah Rahmatullah 'Alaih telah menafikan pendapat tersebut dengan menganggap bahawa ianya bukan termasuk sebagai ayat permulaan bagi setiap Surah.

Telah bersepakat Para 'Ulama bahawa Surah Al-Fatihah adalah mengandungi tujuh ayat. Di sisi Hadhrat Imam Al-Baghawi Rahmatullah 'Alaih ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah ayat yang pertama daripada Surah Al-Fatihah dan permulaan ayat yang terakhir adalah Siratal-Ladzina (صراط الذين). Bagi mereka yang tidak menggapkannya sebagai ayat daripada Surah Al-Fatihah telah menjadikan ayat yang pertama ialah Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin (الحمد لله رب العالمين) dan permulaan ayat yang terakhir ialah Ghairil-Maghdhzubi 'Alaihim (غير المغضوب عليهم).

Antara hujjah mereka yang menjadikan Al-Basmalah sebagai suatu ayat daripada Surah Al-Fatihah dan juga sebagai suatu ayat bagi Surah-Surah yang lain adalah kerana telah dituliskan di dalam Mushaf Al-Quran dengan tulisan sepertimana yang tertulis di dalam Al-Quran. Di samping itu mereka mengemukakan sebuah riwayat dari Hadhrat 'Abdul Wahhab Bin Muhammad Al-Kisai Rahmatullah 'Alaih bahawasanya Hadhrat Abu Muhammad 'Abdul 'Aziz BinAhmad Al-Khilal telah menyatakan bahawa Hadhrat Abu Al-'abbas Muhammad Bin Ya'aqub Al-Asam Rahmatullah 'Alaih telah menyatakan bahawasanya Hadhrat Ar-Rabi' Bin Sulaiman telah menyatakan bahawa Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy telah menyatakan bahawa Hadhrat 'Abdul Majid telah meriwayatkan daripada Hadhrat Ibnu Juraij Rahmatullah 'Alaih bahawa beliau telah berkata bahawa bapanya iaitu Hadhrat Juraij Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan daripada Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah membacakan Firman Allah dari Surah Al-Hijr ayat 87,

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung. [Al-Hijr: 87]

Seterusnya, Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu berkata bahawa Surah Al-Fatihah adalah Ummu Al-Quran (أم القرآن). Kemudian, Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah membacakan Surah tersebut sehingga tamat kepada Hadhrat Juraij Rahmatullah 'Alaih lalu berkata bahawa,
"Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah ayat yang ketujuh".

Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu seterusnya telah berkata,
"Hadhrat Ibnu 'Abbas telah membacakannya kepadaku sepertimana daku telah membacakannya kepada kamu, kemudian beliau telah berkata,

بسم الله الرحمن الرحيم الآية السابعة فذخرها لكم فما أخرجها لأحد قبلكم.

"Bismillahir-Rahmanir-Rahim adalah ayat yang ketujuh, maka ianya telah disimpan untuk kamu dan tiada pernah ianya dikeluarkan untuk sesiapa pun sebelum kamu."

Bagi mereka yang tidak menganggapkan Al-Basmalah sebagai satu ayat daripada Surah Al-Fatihah telah berhujjah dengan sebuah riwayat yang telah dikhabarkan oleh Hadhrat Abu Al-Hasan Muhammad Bin Muhammad Ash-Shirazi Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan bahawa Hadhrat Zahir Bin Ahmad Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan bahawa Hadhrat Abu 'Isa Ishaq Al-Hashimi Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan daripada Hadhrat Abu Mus'ab Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Malik Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Hamid At-Tawil Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Anas Bin Malik Radhiyallahu 'Anhu bahawa beliau telah berkata,
"Daku telah pernah berdiri Solat di belakang Hadhrat Abu Bakar As-Siddiq dan Hadhrat 'Umar Bin Al-Khattab dan Hadhrat 'Utsman Bin 'Affan Radhiyallahu 'Anhum dan sesungguhnya kesemua mereka tiadalah membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) ketika sudah memulakan Solat."

Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah meriwayatkan daripada Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidak dapat mengenali tanda-tanda yang membezakan sesebuah Surah sehinggalah telah diturunkan ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم).

Hadhrat Ibnu Mas'ud Radhiyallahu 'Anhu telah berkata,

كنا لا نعلم فصل ما بين السورتين حتى ينزل بسم الله الرحمن الرحيم.

"Sesungguhnya kami tidak mengetahui Fasal yang menjadi pembahagi di antara dua buah Surah sehinggalah turun ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم)."

Hadhrat Imam Ash-Shu'bi Rahmatullah 'Alaih telah berkata bahawa, adalah menjadi kebiasaan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menulis pada permulaan setiap urusan atas adat resam bangsa Quraish iaitu dengan menuliskan Bismika Allahumma (باسمك اللهم) sehinggalah ayat 41 daripada Surah Hud diturunkan,

Dan Nabi Nuh 'Alaihissalam berkata: "Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut Nama Allah di waktu berlayar dan ketika berlabuhnya." Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengubah permulaan penulisannya dengan kalimah Bismillah (باسم الله) sehinggalah ayat daripada Surah Al-Isra ayat 110 telah diturunkan,

Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman, dengan Nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai Al-Asma Al-Husna iaitu Nama-Nama yang terbaik dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam Solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara keduanya itu".

Maka, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengubah permulaan penulisannya dengan kalimah Bismillahir-Rahman (بسم الله الرحمن) sehinggalah turun ayat 30 daripada Surah An-Naml,

Sesungguhnya surat itu dari Hadhrat Nabi SuIaiman 'Alaihissalam dan sesungguhnya isi kandungannya ialah: "Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang."

Maka Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menurutinya dalam memulakan penulisan dengan kalimah Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ).