Jumaat, 10 Julai 2009

1. Yad Kard (Berzikir)


“Yad” bererti ingat yakni zikir. Perkataan “Kard” pula bagi menyatakan kata kerja bagi ingat yakni pekerjaan mengingati Allah dan ianya merupakan zat bagi zikir. Berkata para Masyaikh, Yad Kard bermaksud melakukan zikir mengingati Tuhan dengan menghadirkan hati. Murid yang telah melakukan bai’ah dan telah ditalqinkan dengan zikir hendaklah senantiasa sibuk mengingati Allah dengan kalimah zikir yang telah ditalqinkan.


Zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh adalah zikir yang akan membawa seseorang murid itu mencapai ketinggian darjat ruhani. Syeikh akan mentalqinkan zikir kepada muridnya sama ada zikir Ismu Zat ataupun zikir Nafi Itsbat secara Lisani ataupun Qalbi. Seseorang murid hendaklah melakukan zikir yang sebanyak-banyaknya dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan berzikir.


Pada setiap hari, masa dan keadaan, sama ada dalam keadaaan berdiri atau duduk atau berbaring ataupun berjalan, hendaklah sentiasa berzikir. Pada lazimnya seseorang yang baru menjalani Tariqat Naqshbandiyah ini, Syeikh akan mentalqinkan kalimah Ismu Zat iaitu lafaz Allah sebagai zikir yang perlu dilakukan pada Latifah Qalb tanpa menggerakkan lidah. Murid hendaklah berzikir Allah pada latifah tersebut sebanyak 24 ribu kali sehari semalam setiap hari sehingga terhasilnya cahaya Warid dan akan mengalami beberapa Ahwal.


Seterusnya murid hendaklah mengkhabarkan segala pengalaman ruhaniahnya kepada Syeikh apabila menerima warid tersebut. Begitulah pada setiap latifah, murid hendaklah berzikir sebanyak-banyaknya pada kesemua latifah seperti yang diarahkan oleh Syeikh sehingga tercapainya warid. Mengingati Allah secara sempurna adalah dengan berzikir menghadirkan hati ke Hadhrat ZatNya.


Setelah zikir Ismu Zat dilakukan pada setiap latifah dengan sempurna, Syeikh akan mentalqinkan pula zikir Nafi Itsbat iaitu kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH yang perlu dilakukan sama ada secara Lisani iaitu menerusi lidah atau secara Qalbi iaitu berzikir menerusi lidah hati. Zikir Nafi Itsbat perlu dilakukan menurut kaifiatnya.Syeikh akan menentukan dalam bentuk apa sesuatu zikir itu perlu dilakukan.


Yang paling penting bagi Salik adalah menyibukkan diri dengan zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh sama ianya zikir Ismu Zat ataupun Nafi Itsbat. Salik hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sehingga dia mencapai kejernihan hati dan tenggelam di dalam muraqabah. Murid yang Salik hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sebanyak 5 ribu ke 10 ribu kali setiap hari bagi menanggalkan segala kekaratan hati. Zikir tersebut akan membersihkan hati dan membawa seseorang itu kepada Musyahadah.


Salik hendaklah memelihara zikir dengan hati dan lidah dengan menyebut Allah iaitu nama bagi Zat Tuhan yang merangkumi kesemua nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang mulia serta dengan menyebut zikir Nafi Itsbat menerusi kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH dengan sebanyak-banyaknya.


Zikir Nafi Itsbat menurut Akabirin Naqshbandiyah, seseorang murid yang baru itu hendaklah menutup kedua matanya, menutup mulutnya, merapatkan giginya, menongkatkan lidahnya ke langit-langit dan menahan nafasnya. Dia hendaklah mengucapkan zikir ini dengan hatinya bermula dari kalimah Nafi dan seterusnya kalimah Itsbat. Bagaimanapun, bagi murid yang telah lama hendaklah membukakan kedua matanya dan tidak perlu menahan nafasnya.


Bermula dari kalimah LA yang bererti Tiada, dia hendaklah menarik kalimah LA ini dari bawah pusatnya ke atas hingga ke otak. Apabila kalimah LA mencapai otak, ucapkan pula kalimah ILAHA di dalam hati yang bererti Tuhan. Kemudian hendaklah digerakkan dari otak ke bahu kanan sambil menyebut ILLA yang bererti Melainkan, lalu menghentakkan kalimah ALLAH ke arah Latifah Qalb. Sewaktu menghentakkan kalimah Allah ke arah Qalb, hendaklah merasakan bahawa kesan hentakan itu mengenai kesemua Lataif di dalam tubuh badan.


Zikir yang sebanyak-banyaknya akan membawa seseorang Salik itu mencapai kepada kehadiran Zat Allah dalam kewujudan secara zihni yakni di dalam fikiran. Salik hendaklah berzikir dalam setiap nafas yang keluar dan masuk. Yad Kard merupakan amalan di fikiran yang mana fikiran hendaklah sentiasa menggesa diri supaya sentiasa ingat kepada Allah dan melakukan zikir bagi mengingati ZatNya.


Pekerjaan berzikir mengingati Allah adalah suatu amalan yang tiada batas dan had. Ianya boleh dikerjakan pada sebarang tempat, masa dan keadaan. Hendaklah sentiasa memerhatikan nafas supaya setiap nafas yang keluar dan masuk itu disertai ingatan terhadap Zat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

3 ulasan:

  1. Bismillah..tuan..nama saya firdaus..dari indonesia..maukah tuan menjadi mursyid saya.., di indonesia saya kesulitan mencari mursyid..,perjalanan yang saya tempuh semenjak kecil hingga saat ini melelahkan saya sudah 20 tahun, apa yang dicari belum didapatkan.. bila tuan berkenan ..berilah petunjuk kepada saya cara nya..atau tuan mempunyai saran terhadap saya , email saya firdaus.dz@bukopin.co.id

    BalasPadam
  2. tuan...selama ini saya sendiri....saya ikut tasawuf ..namun tidak ada jawaban..ikut Jamaah tabligh..tidak ada jawaban..ikut salafi tidak ada jawaban..mencoba berlari ke manusia ..namun ditolak dan tertolak.., tuan nama saya firdaus..email firdaus.dz@bukopin.co.id , maukah tuan menjadi mursyid saya.., dan bisakah jarak yang jauh ini tidak menjadi penghalang..semoga Allah SWT menyampaikan keluhan ini kepada tuan

    BalasPadam
  3. Bismillahi Ta'ala Wabihi Nasta'in, Wa Ba'du; Kehadhzrat saudaraku Firdaus, semoga Allah mengurniakan kamu dengan petunjuk dan hidayah dari Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Ta'ala 'Alaihi Wa 'Ala Alihi Wa Sahbihi Wasallam. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar serta sentiasa memperingatkan tentang kesabaran dan hakikat kebenaran. Segala persoalanmu sedang dijawab, kerana Dia adalah Maha Dekat dan Maha Menjawab segala persoalan. Kamu mempersoalkan tentang Dia dan Dia sedang ada disampingmu tanpa kamu memerhatikan Dia, sedangkan Dia sentiasa sedang memerhatikan kamu. Antara kamu dengan Dia amat dekat tanpa dapat jaraknya diukur dan disukat. Jauhnya kamu dengan Dirinya adalah dalam kesedaran pemikiranmu yang hilang menerawang entah kemana? Kembalilah kepada Allah sentiasa dalam keadaan bertaubat, sabar dan ridha. Dia ada berserta denga dirimu walau di mana jua kamu berada. Walau kemana jua kamu memandang, nescaya kamu akan mendapati wajahNya ada. Dia tidak terikat dengan arah Timur mahupun Barat, tanpa sebarang arah mahupun jihat. Apa yang pasti, Dia berserta dengan setiap zarrah-zarrah Kainat tanpa diketahui bagaimanakah kaifiyat? Subhanallah, Dia tidak menyerupai sesuatu dan tiada sesuatu yang menyerupaiNya. Allah adalah Al-Hadi dan Dialah Ar-Rasyid. Dialah Al-Murid dan Dialah Al-Murshid. Fanakan wujud dirimu sehingga Wujudmu menjadi Ma'dum, baharulah dikau akan memperolehi kekuatan sebagai Rijal. Hubungkan ruhmu dengan Ruh Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan jadikanlah ruh faqir ini sebagai Wasilah di Alam Mitsal dalam khayalmu memandang dengan perasaan Cinta dan kasih sayang yang tak terhingga kepada Rauhaniah Masyaikh Akabirin Silsilah 'Aliyyah Nashbandiyyah Mujaddidiyyah Qaddasallahu Asrarahumul 'Aliyyah. Berpeganglah dengan amalan yang 'Azimah dan hindarkan pengamalan Syari'at secara Rukhsah. Berpegang teguhlah dengan 'Aqidah dan Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Beramallah dan sentiasa menghidupkan amalan Sunan Nabawiyyah dalam setiap lamhah. Andaikata telah dilakukan upacara Bai'ah secara Uwaisiyyah, maka mulakanlah kegiatan memberikan penumpuan Tawajjuh kepada Latifah Qalb yang berada di bawah tetek kiri pada anggaran dua jari dan mulakanlah menyebut Ismu Zat iaitu lafaz Allah Allah secara cepat-cepat dengan sebanyak-banyaknya sehingga latifah tersebut menjadi hidup dan terasa bergetar-getar dengan Zikrullah lalu akan mencapai Fana Qalb. Takluk latifah Qalb adalah dengan Alam Malakut yang berada di atas 'Arash dan ianya berada dalam daerah Kewalian Hadhrat Baginda Nabi Adam 'Alaihissalam. Nur Syuhudnya adalah berwarna Kuning yang tidak sebanding dengan sebarang warna kuning yang ada dipandang mata. Memerhatikan limpahan cahaya tersebut lalu mengarahkannya agar terlimpah kepada hati yakni Latifah Qalb adalah dinamakan sebagai kegiatan Muraqabah. Ketika kamu sedang berusaha menafikan wujud dirimu, anggapkan bahawa Murshidmu ini yang sedang berzikir di dalam jisimmu sehingga kamu tenggelam merasakan dalam khayalan bahawa jisim kamu adalah jisim Murshidmu. Ini adalah tahap Muntahi dalam Rabitah. Semoga kamu beroleh petunjuk hidayah dan faedah. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullah. Al-Faqir Jalaluddin Ahmad Ar-Rowi 'Afa 'Anhu.

    BalasPadam