Rabu, 14 September 2011

Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih





Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih Dan Perkembangan Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah


Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih telah mendapat kurniaan gelaran sebagai Mujaddid Alf Tsani yang bererti 'Pembaharu Seribu Tahun Kedua' oleh Hadhrat Maulana 'Abdul Hakim Sialkoti Rahmatullah 'Alaih yang meninggal dunia pada tahun 1657 Masihi bersamaan 1067 Hijrah. Pengaruh Hadhrat Mujaddid Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih yang telah berkembang dalam kalangan Ummat Islam di seluruh Asia Tengah oleh Para Khalifah dan keturunan beliau sehingga tersebar ke seluruh pelosok Timur dan Barat adalah penyaksian dan bukti tentang ketinggian kedudukan martabat beliau sebagai seorang Mujaddid Islam. Beliau telah berjaya mengislamkan ramai penduduk di India dan telah melakukan pembaharuan dalam pemerkasaan amalan-amalan Agama dan 'Aqidah berpuluh ribu Ummat Islam. Para Masyaikh dan Para 'Ulama yang datang sesudahnya juga turut melaungkan fikrah dan aliran pandangan beliau.

Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih sebagai seorang Syeikh Murshid yang membimbing jalan keruhanian adalah Syeikh Sufi Naqshbandiyah pertama yang telah memperkenalkan serta menyebarkan perjalanan Suluk Tariqah Mujaddidiyah di Asia Tengah dan seterusnya telah diperkembangkan lagi penyebarannya oleh putera beliau iaitu Hadhrat Qayyum Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih. Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih telah menerangkan dengan perkataannya tentang kelebihan dan tahap pencapaian martabat ketinggian ruhani yang telah dicapai oleh Hadhrat Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih semasa hayat beliau.

Menurut keterangan dari Para Masyaikh Mujaddidiyah, sesudah kewafatan Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih, hampir limapuluh ribu orang termasuk dua ribu orang Khalifahnya telah berbai'ah dengan puteranya, Hadhrat Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih. Dari kalangan Para Khalifah Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih, ada yang datang dari jauh seperti Mawarannahr atau dikenali sebagai Transoxiana, Khurasan dan Badakhshan untuk memperbaharukan Bai'ah. Meskipun setelah Hadhrat Khwajah Muhammad Ma'sum Rahmatullah 'Alaih menggantikan ayahanda beliau Hadhrat Syeikh Ahmad Sirhindi Rahmatullah 'Alaih sebagai Murshid Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah, beliau tetap menjadikan contoh tauladan dan pengamalan daripada ayahandanya sebagai panduan dalam setiap urusan kehidupannya sehari-hari. Himpunan surat-surat beliau dikenali sebagai Maktubat Ma'sumiyah telah diterbitkan dalam tiga jilid yang mengandungi 652 surat sebagai mencontohi himpunan surat-surat ayahandanya yang dikenali sebagai Maktubat Imam Rabbani.

Para Masyaikh Tariqah Mujaddidiyah telah menjadikan kemuliaan Syari'at Agama Islam seperti yang amalkan oleh Ummat Islam Ahlus Sunnah Wal Jama'ah sebagai arah panduan dan telah menyibukkan diri mereka dengan segala kegiatan Syari'at Islam dan sentiasa memperingatkan kepada para pengikut mereka agar menjadikan Hadits-hadits Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai sumber panduan disamping beramal dengan amalan Sunnah Baginda.

1 ulasan: