Selasa, 13 September 2011

Hadhrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih



Hadhrat Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih

Hadhrat Maulana Khwajah Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih adalah tergolong sebagai seorang pendukung agung serta tiang utama Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah. Menurut riwayat kehidupan semasanya beliau adalah seorang yang menjadi tempat rujukan untuk berbagai cabang ilmu khasnya dalambidang ilmu Syari'at dan Tariqat. Di samping beliau menyampaikan seruan Dakwah Tabligh dan memberi petunjuk nasihat menerusi lisan dan amal perbuatan, beliau juga turut melakukannya dengan Qalam dan Kertas.

Setelah beliau mengambil jalan Tariqat dan menerima petunjuk dari Murshidnya yang agung Hadhrat Khwajah Khwajagan Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih, beliau telah menyebar serta mengembangkan ajaran-ajaran Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah sebagai menuruti pesanan wasiat Murshidnya sebelum beliau berpisah dari Murshidnya.

Dalam kitab Risalah Abdaliyah karangan beliau ada dinyatakan riwayat bahawa ketika hendak berpisah, Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih telah berpesan kepada Hadhrat Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih,
"Apa sahaja daripada pihak kami yang kamu telah perolehi hendaklah kamu menyampaikannya kepada Para Hamba Allah sebagai suatu sebab untuk kejayaan."

Kemudian Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih mengucapkan sebanyak tiga kali sebagai mendoakannya,
"Kami sudah menyerahkan urusan kamu kepada Allah. Kami sudah menyerahkan urusan kamu kepada Allah. Kami sudah menyerahkan urusan kamu kepada Allah."

Berdasarkan hal keadaannya ini beliau telah menyampaikan seruan Dakwah Tabligh secara Khutbah dan Taqrir kepada para hadirin dan secara penulisan surat-surat dan kitab-kitab kepada mereka yang ghaib. Menerusi keberkatan nasihat dan doa dari Murshidnya Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih, segala huraian dan penyampaiannya dalam menjalankan usaha Dakwah Tablighnya telah dapat memberikan kesan kepada hati Para HambaNya. Allah Ta'ala telah mengurniakan keberkatan dalam Qalam penulisannya dan menjadikannya sebagai seorang pengarang kitab yang telah melahirkan banyak kitab-kitab bernilai dalam bidang Tafsir, Fiqah, Tasawwuf, Suluk Tariqat, Awrad dan Wazaif yang berkaitan dengan amalan Islam. Gaya penulisan dan huraian beliau adalah begitu terhimpun serta tersusun dengan cara yang terbaik dan mentafsilkan kenyataan yang Ijmal adalah antara kekhususan dalam gaya penulisannya.

Kekhususan petunjuk dalam Tariqah Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah adalah dengan Ittiba' yakni menuruti Syari'at Muhammadiyyah 'Ala Sahibiha Alfu Alfu Solatan Wa Tahiyyah. Di sisi Para Pewaris dan Para Salikin Tariqat ini, hendaklah pada Zahir berpegang teguh dengan amalan Syari'at dalam setiap urusan dengan sentiasa mendahulukannya dan melazimkan pengamalannya, mengutamakan amalan yang 'Azimah atas amalan yang Rukhsah dengan melaksanakan tuntutan menurut turutan perkara-perkara yang Fardhu, Wajib dan Sunnah sehingga pada keadaan Rukhsah sekalipun amalan Mustahab Syar'iyyah yakni disukai pada Syari'at juga tidak ditinggalkan.

Suatu ketika Hadhrat Maulana Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih telah bernasib baik dapat menziarahi Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih dalam mimpi di Alam Ruhani. Hadhrat Maulana Ya'qub Charkhi Rahmatullah 'Alaih telah bertanya kepada Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih,
"Apakah amalan yang apabila dilakukan akan membolehkan daku untuk bersama dengan tuan pada Hari Qiyamat?" Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah 'Alaih berkata,
"Menuruti Syari'at Muhammadi."

Tariqat secara asalnya adalah pengamalan yang menuruti Syari'at Muhammadiyyah 'Ala Sahibiha Alfu Alfu Solatan Wa Tahiyyah dengan menjadikannya sebagai dalil dan memahami pengertian maknanya.



1 ulasan: