Khamis, 22 September 2011

Hadhrat Khwajah Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih






Hadhrat Khwajah Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih

Nisbat Batin beliau adalah daripada Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Syahid Rahmatullah 'Alaih. Beliau dilahirkan pada tahun 1158 Hijrah di sebuah tempat bernama Patiala dalam negeri Punjab, India. Nisbat keturunan beliau bertemu dengan Hadhrat Sayyidina 'Ali Karramallahu Wajhah. Ayahandanya bernama Hadhrat Shah 'Abdul Latif Rahmatullah 'Alaih merupakan seorang yang kuat berzikir dan bermujahadah lagi Salih, telah berbai'ah dengan Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu dan hal keadaannya sering pergi ke dalam hutan untuk melakukan Zikir Jihri.

Sebelum kelahirannya, ayahnya telah bermimpi bertemu dengan Hadhrat Sayyidina 'Ali Karramallahu Wajhah yang telah berkata kepadanya bahawa putera lelaki yang bakal dilahirkan nanti hendaklah diberikan nama 'Ali. Maka, setelah kelahirannya beliau diberikan nama sebagai 'Ali namun setelah beliau mencapai usia baligh, beliau telah menamakan dirinya sebagai Ghulam 'Ali yang bererti hamba kepada Hadhrat Sayyidina 'Ali Karramallahu Wajhah sebagai menghormatinya. Begitu juga dengan ibunya yang turut bermimpi bertemu dengan seorang yang Salih ketika saat kelahirannya dan orang Salih tersebut telah berkata kepada ibunya supaya menamakan puteranya dengan nama 'Abdul Qadir. Kemungkinan besar orang Salih tersebut adalah Ruhaniah Hadhrat Ghauts A'zam Mahbub Subhani Syaikh 'Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah 'Alaih. Datuk beliau juga adalah seorang lelaki Salih yang mulia telah dapat menghafal Al-Quran dalam masa sebulan, telah bermimpi bertemu dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seraya memerintahkan agar cucunya diberikan nama sebagai 'Abdullah.

Ayahanda beliau Hadhrat Shah 'Abdul Latif Rahmatullah 'Alaih telah sering pergi ke Delhi kerana Syeikh Murshidnya menetap di sana. Syeikh Murshidnya Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu dikatakan pernah bersuhbah dengan Hadhrat Khidir 'Alaihissalam. Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu telah menyuruh Hadhrat Shah 'Abdul Latif Rahmatullah 'Alaih membawa puteranya Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih untuk datang mengambil Bai'ah. Walau bagaimanapun, beliau tidak berpeluang untuk berbai'ah dan mengambil limpahan Faidhz dari Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu kerana ketika beliau tiba di Delhi, Hadhrat Khwajah Nasiruddin Qaddasallahu Sirrahu sudahpun meninggal dunia.

Ayahandanya telah berkata kepadanya,
"Daku membawa dikau ke mari untuk berbai'ah dengan Murshidku sebagai menurut arahannya tetapi tiada Taqdir tersebut bagimu. Sekarang, ke mana sahaja tempat yang dapat mententeramkan hatimu, kamu pergilah untuk berbai'ah dengannya."

Pada tahun 1180 Hijrah, ketika berusia 21 tahun, beliau telah berpeluang hadir berkhidmat kepada Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih dan telah memohon untuk berbai'ah padanya. Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih telah berkata kepadanya,
"Di mana tempat yang kamu dapat merasakan Zauq dan Shauq, maka kamu pergi ambillah Bai'ah di sana kerana di sini hanya terdapat acar batu tanpa sebarang garam."

Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih berkata,
"Hamba akur di sini."

Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih telah membai'ahkan beliau dalam Silsilah Tariqat Qadiriyah dan telah mentalqinkan beliau dengan amalan Tariqat Mujaddidiyah. Beliau telah menghadiri Halqah Zikir dan Muraqabah serta berkhidmat dengan Hadhrat Mirza Mazhar Jan Janan Rahmatullah 'Alaih selama lima belas tahun dan telah dikurniakan Ijazat Mutlaqah dengan perkhabaran baik Dhzimniyyat iaitu martabat jaminan kesanggupan pengandungan dari Murshidnya.

Kata beliau,
"Pada awal-awalnya daku teragak-agak bahawa jika daku berikhtiar memilih Syughul amalan Tariqah Naqshbandiyah, mungkinkah ianya tidak akan membangkitkan kemarahan Hadhrat Ghauts A'zam Rahmatullah 'Alaih? Pada malam itu daku telah melihat dalam mimpi bahawa pada suatu kedudukan kelihatan Hadhrat Ghauts A'zam Rahmatullah 'Alaih dan di hadapannya terdapat sebuah lagi kedudukan yang di sana kelihatan Hadhrat Khwajah Shah Naqshband tiba menambahkan keserian. Hatiku telah berkeinginan untuk hadir berkhidmat kepada Hadhrat Khwajah Shah Naqshband Rahmatullah 'Alaih. Hadhrat Ghauts A'zam Rahmatullah 'Alaih lantas berkata,
"Maksud adalah Allah, pergilah kerana tiada sebarang kesempitan."

Setelah peristiwa itu, beliau telah memulakan penyebaran Tariqah Naqshbandiyah sehingga kadar limpahan Faidhznya tersebar ke seluruh pelosok meskipun ketika masih hayat beliau yang mana, mungkin tiada seorang Syeikh pun yang dapat menandingi kewibawaannya pada masa itu. Para Khalifah beliau telah sampai ke seluruh pelosok Hindustan, Kabul, Balkh, Bukhara, 'Arab, Rom dan banyak lagi di serata Asia dan mengembangkan Tariqah Naqshbandiyah.

Hadhrat Maulana Ghulam Muhyiuddin Qusuri Rahmatullah 'Alaih dalam Malfuzatnya telah berkata bahawa pada suatu hari dia telah hadir sesudah waktu 'Asar ketika mana Hadhrat Shah 'Abdullah Sahib Rahmatullah 'Alaih telah berkata,
"Alhamdulillah, limpahan Faidhz kami sudah sampai ke tempat yang jauh-jauh, di Makkah Mukarramah ada Halqah kami yang sedang duduk, di Madinah Munawwarah ada Halqah kami yang sedang duduk, di Baghdad Sharif, di Rom dan di Barat Halqah kami sedang berjalan," dan sambil tersenyum beliau berkata, "Bukhara adalah rumah bapa kami."

Sebahagian orang hadir kepada beliau menerusi perintah hukum daripada Hadhrat Sayyidul Anbiya Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Ta'ala 'Alaihi Wa 'Ala Aalihi Wa Ashabihi Wa Baraka Wasallam, sebahagian orang dengan perintah hukum daripada seseorang Buzurgan Masyaikh dan sebahagian orang ada yang melihat beliau sendiri dalam mimpi. Hadhrat Khwajah Maulana Khalid Baghdadi Rumi Rahmatullah 'Alaih telah menerima isyarat tersebut daripada Ruhaniah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Ta'ala 'Alaihi Wa 'Ala Aalihi Wa Ashabihi Wa Baraka Wasallam lalu telah berangkat dari Madinah Munawwarah menuju ke Delhi dan selama hampir sembilan bulan beliau telah hadir berkhidmat dan bersuhbat sehingga telah mendapat kurnia keizinan Ijazat dan Khilafat dalam Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah lalu beliau kembali ke kampung halamannya di Kurdistan yang terletak dalam jajahan takluk Rom, di mana beliau telah mendapat kadar Qabuliyat penerimaan daripada masyarakat yang tiada batasan.

Sekali peristiwa beliau telah berkata,
"Sekarang daku sudah dhaif, tiada apa yang dapat daku buat. Dahulu, daku sering berada di dalam Masjid Jami' di Shah Jahanabad dan sering minum air telaganya yang payau. Setiap hari daku dapat membaca sepuluh juzuk Al-Quran Sharif dan sepuluh ribu Zikir Nafi Itsbat sehingga Nisbat menjadi sebegitu kuat yang mana seluruh Masjid dipenuhi dengan cahaya-cahaya Anwarat. Mana sahaja jalan atau lorong yang daku telah lalui juga telah turut menimbulkan cahaya Nurani. Jika daku pergi ke sesebuah Mazar Maqam perkuburan seseorang Buzurg, maka Nisbatnya akan menjadi lemah, maka sebagai munuruti jalan Tawadhu' daku menganggapnya sebagai suatu kelemahan pada diriku."

Beliau telah berkata,
"Seseorang lelaki itu hendaklah membenarkan pada dua perkara dan mengenepikan pada dua perkara iaitu membenarkan Ad-Din dan membenarkan Yaqin serta mengenepikan pergerakan tangan dan mengenepikan pergerakan kaki."

Beliau telah berkata bahawa pada suatu ketika Hadhrat Mirza Mazhar Sahib Rahmatullah 'Alaih telah diceritakan oleh seseorang berkenaan dirinya bahawa beliau berada di Khanqah ini kerana mahu menuntut Zauq dan Shauq dan Kashaf dan Karamat. Mendengarkan perkataan ini, Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih telah berkata,
"Barangsiapa yang mahu menuntut tipu muslihat yang sedemikian, maka katakan kepadanya bahawa hendaklah dia beredar dari Khanqah kami dan janganlah datang kepada kami."

Apabila perkhabaran tersebut sampai pada pengetahuan Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih, maka beliau telah pergi menghadirkan dirinya ke sisi Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih dan bertanya apakah benar Syeikhnya bermaksud sedemikian? Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih lantas menjawab,
"Ya."

Kemudian Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih pun bertanya,
"Maka, sekarang apakah perintah Tuan?"

Hadhrat Khwajah Mirza Mazhar Rahmatullah 'Alaih lalu berkata bahawa,
"Di sini batu dicicah tanpa garam. Jika dengan tanpa perisa ini kamu sanggup terima maka tunggulah tetap di sini."

Lantas Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih berkata,
"Tuan, diriku sanggup menerima keadaan di sini."

Pada suatu ketika Hadhrat Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih pernah memberikan kata-kata petunjuknya,
"Dalam Tariqah Naqshbandiyah ini tiada Mujahadah namun terdapat Wuquf Qalbi iaitu khayalan kamu hendaklah dibawakan ke arah hati dan tumpuan hati hendaklah tertuju ke arah Zat Ilahi dan Nigah Dashat iaitu bersungguh-sungguh memerhatikan lintasan-lintasan Khatrah tentang perkara yang sudah berlaku dan yang akan berlaku. Ketika hal keadaan sedemikian berlaku, maka hendaklah bertindak seperti berikut iaitu apabila berlaku Khatrah lintasan hati bahawa, pada masa dahulu bagaimanakah sesuatu pekerjaan itu boleh berlaku, maka pada waktu itu juga hendaklah dijauhkannya dari hati bahawa keseluruhan kisah jangan datang ke dalam hati, ataupun datang khayalan di dalam hati bahawa ingin pergi ke sesuatu tempat dan melakukan sesuatu pekerjaan dan ada terdapat faedah dalam pekerjaan tersebut, maka ianya juga hendaklah dihindarkan, lebih-lebih lagi sesuatu lintasan Khatrah yang bersifat Ghairullah iaitu sesuatu yang selain Allah datang melintasi hati, maka pada waktu itu juga ianya hendaklah disingkirkan."

Beliau pernah berkata,
"Ahwal keadaan Qalb pada seseorang Salik adalah terzahir seperti hujan yang sangat lebat dan apabila 'Uruj dari Latifah Qalb lalu bersiar pada Latifah Nafs maka penzahirannya adalah seperti hujan nipis yang mempesonakan dan apabila persiaran dari Latifah Nafs meningkat kepada kadar ketinggian yang semakin tinggi, maka dia mula tidak akan mengerti tentang Nisbat yang diperolehinya. Keadaan Istihlak dan Idhzmihlal yakni perasaan binasa diri dan berasa kelemahan upaya akan sering berlaku dan Nisbat akan menjadi seperti embun."

Pada suatu ketika seorang telah bertanya kepadanya meminta serba sedikit huraian nasihat, maka beliau telah memberikan suatu huraian berkenaan sepotong ayat Al-Quran yang mulia, "Qulillahu Tsumma Dzarhum". Sebagai Tafsirnya, beliau telah menukilkan dalam tulisannya bahawa hendaklah menyerahkan urusan-urusan yang bersifat Juz-i iaitu sebahagian dan Kulli yakni keseluruhan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, dan fikir untuk mencari keperluan hidup dan lain-lainnya suatupun janganlah dilakukan, dan takluk perhubungan sesuatu yang selain Allah hendaklah ditinggalkan, dan untuk keseluruhan urusan hendaklah menyerahkan sepenuh pergantungan pada Allah."


1 ulasan: