Rabu, 21 September 2011

Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih






Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih (1801-1868 M)

Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih adalah seorang Syeikh Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah pada abad yang ke-19 yang berasal dari Qandahar, Afghanistan. Beliau lahir pada tahun 1216 Hijrah bersamaan 1801 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1868 Masihi. Ayahanda beliau bernama Hadhrat Khwajah Akhund Mulla 'Ali Rahmatullah 'Alaih dan keturunan beliau memiliki takluk perhubungan dengan Yusuf Zai Darani iaitu sebuah kabilah berbangsa Afghan. Beliau telah menerima pendidikan awalnya di Qandahar dengan memulakan pengajian Al-Quran serta Tajwid dan menghafaznya. Seterusnya beliau mempelajari bahasa 'Arab, bahasa Farsi dan asas-asas Ilmu Agama dan kemudian telah menuju ke Kabul di mana terdapat ramai Para 'Alim 'Ulama. Beliau telah menerima pendidikan lanjutan di sana dalam bidang ilmu Fiqah, Hadits, Tafsir dan berbagai cabang Ilmu Shar'iyah Islam.

Beliau telah menerima Nisbat Batin dalam Silsilah 'Aliyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah daripada Hadhrat Khwajah Khwajagan Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Dehlawi Rahmatullah 'Alaih (1743-1824 M) menerusi Hadhrat Khwajah Hafiz Shah Abu Sa'id Mujaddidi Rahmatullah 'Alaih dan puteranya Hadhrat Khwajah Hafiz Shah Ahmad Sa'id Mujaddidi Rahmatullah 'Alaih (1802-1860 M) dan menerusinyalah  beliau telah menerima pendidikan Zahir dan Batin dalam Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah.

Semenjak usia muda lagi beliau sudah mencintai Para Awliya dan memiliki pegangan I'tiqad yang kuat terhadap mereka. Pernah suatu ketika beliau bersama rakan-rakan para penuntut ilmu telah pergi menziarahi seorang yang Salih bernama Hadhrat Baba Wali Rahmatullah 'Alaih. Ketika dalam perjalanan mereka telah bertemu dengan seorang Sufi Darwish Majzub yang memberikan ucapan kata-kata dan isyarat kepada semua para penuntut dan dia telah berkata kepada beliau,
"Wahai penuntut ilmu, kamu akan menjadi seorang Sahib Kamal dan Sahib Wilayat dan akan menjadi seorang Wali Kamil kerana pada dahimu terdapat rahsia-rahsia Ma'rifat."

Kalimat perkataan Sufi Darwish Majzub itu telah sentiasa terngiang-ngiang dalam ingatannya sehingga tabiat keadaan beliau menjadi tenggelam dalam kegelisahan dan keresahan, lalu telah membuat keputusan meninggalkan pengajiannya di Kabul kemudian berangkat menuju ke Tanah Hijaz dan telah menetap selama beberapa tahun di sana. Setelah berpeluang melakukan ibadat Haji di Makkah Mukarramah beliau telah ke Madinah Munawwarah untuk menziarahi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam di pusaranya. Beliau juga telah berkesempatan menuntut ilmu daripada beberapa Masyaikh ketika berada di Madinah.

Pada suatu malam, telah timbul keinginan di dalam hatinya untuk menziarahi dan bertemu dengan Hadhrat Khwajah Shah 'Abdullah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih ketika beliau sedang berada di dalam Masjid Nabawi di Madinah, namun beliau belum mendapat kesempatan untuk berbai'ah dengannya. Limpahan Faidhz Hadhrat Khwajah Shah Ghulam 'Ali adalah begitu kuat hingga telah menyebabkan hal keadaan beliau menjadi keresahan dan terganggu. Beliau telah memutuskan untuk meninggalkan Tanah Haramain dan kembali ke benua Hindi dengan keghairahan yang kuat dan hal keadaannya berlaku selama berminggu-minggu. Dari sana beliau mula-mula tiba di Qandahar kemudian telah menuju ke Ghazni dan seterusnya ke Kabul sehinggalah ketika beliau tiba di Peshawar, beliau telah mendengar perkhabaran bahawa Hadhrat Khwajah Shah Ghulam 'Ali sudah meninggal dunia sebelum sempat beliau berbai'ah dan menjadi muridnya. Berita tersebut telah menambahkan keresahan di dalam hatinya lalu beliau telah kembali ke Qandahar. Kemudian beliau telah menuju ke Baghdad untuk menziarahi Maqam Hadhrat Ghauts A'zam Mahbub Subhani Syaikh 'Abdul Qadir Al-Jailani Rahmatullah 'Alaih dan telah berada di sana selama beberapa masa, kemudian telah diberikan Taufiq untuk berkhidmat kepada Hadhrat Syeikh 'Abdullah Hirati Rahmatullah 'Alaih.

Hadhrat Syeikh 'Abdullah Hirati Rahmatullah 'Alaih menyedari tentang kaifiyat batin yang ada di dalam hati Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih lalu telah mengarahkannya untuk menghadirkan diri berkhidmat kepada Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih. Sebagai menuruti arahan petunjuk tersebut, beliau telah menuju ke Delhi dan telah sempat bertemu dengan Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih yang merupakan Khalifah Hadhrat Khwajah Shah Ghulam 'Ali Rahmatullah 'Alaih sewaktu berada di Bombai sedang bersiap-siap untuk melakukan perjalanan Safar menuju ke Tanah Hijaz bagi mengerjakan ibadat Haji. Beliau sempat berbai'ah dengannya sebelum keberangkatannya ke Makkah.

Meskipun beliau pernah menziarahi dan telah bertemu dengan ramai Para Masyaikh Tariqat, namun setelah hadir bertemu dengan Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih, beliau dapat merasakan limpahan Faidhznya lalu telah memohon berbai'ah dengannya. Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih telah menyerahkan beliau kepada puteranya yang juga Khalifahnya iaitu Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih supaya dia memberikan asuhan Tariqat kepada Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih.

Hadhrat Khwajah Shah Abu Sa'id Rahmatullah 'Alaih telah berkata kepada beliau memberikan pilihan,
"Untuk menghasilkan ketenteraman dalam hatimu hendaklah kamu berikhtiar memilih untuk bersuhbat dengan puteraku Shah Ahmad Sa'id dan hasilkanlah limpahan Faidhz daripadanya ataupun sehingga daku kembali dari Haji, kamu tunggulah di Bombai sini."

Walaubagaimanapun, beliau telah membuat keputusan memilih menuju ke Delhi untuk berkhidmat dan bersuhbat dengan Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih. Tatkala beliau tiba di Delhi dan memandang kepada Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih segala kesakitan dan semua keresahannya telah menjadi semakin terubat. Setelah selama setahun dua bulan lima hari berkhidmat dan bersuhbat dengan Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih di Khanqah, beliau telah menerima Sanad Ijazah dalam empat Tariqat yang masyhur iaitu Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah, Qadiriyah, Chistiyah dan Suhrawardiyah serta menerima Khilafat dan menjadi Khalifah kepada Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih.

Dari kata-kata Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih berkenaan Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih,
"Faqir ini telah memberikan kepadanya Ijazat kebenaran dalam kesemua jalan Tariqat supaya jalan Hidayat akan berjalan berterusan dan supaya dapat memberikan cahaya kepada hati-hati Para Salikin. Dia adalah Naibku dan berada bersamanya adalah seolah-olah berada bersamaku."

Sebelum Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih berangkat untuk bersafar menuju ke Tanah Haramain bagi mengerjakan Haji, beliau telah menulis sebuah huraian berkenaan Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih,
"Wahai Tuhan, Dikau jadikanlah Tuan Haji Sahib ini sebagai Hadi dan Mahdi agar manusia sentiasa mendapat Hidayat daripadanya. Dalam umurnya kurniakanlah keberkatan kepadanya dalam bimbingannya, nasihatnya dan kebaikannya menerusi keagungan Jah Sayyidil Mursalin Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Rahmat Allah adalah terlimpah ke atas para hamba yang mengucapkan Amin. Wassalam."

Berbekalkan perintah dan doa daripada Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih, pada tahun 1251 Hijrah beliau telah kembali ke kampung halamannya di Qandahar, Afghanistan dan menjalankan usaha Dakwah dan menyampaikan Tabligh di sana. Setelah berlaku peristiwa pembunuhan Shah Shuja, seorang pemerintah Afghanistan yang merupakan sekutu kuat British pada tahun 1842, beliau telah dipaksa keluar dari negara Afghanistan. Hadhrat Khwajah Shah Ahmad Sa'id Rahmatullah 'Alaih telah menasihatinya agar menempatkan kedudukan dirinya di suatu tempat yang mana para penduduknya dapat berbicara dengan bahasa Pashto dan Punjabi. Sebagai menurut panduan nasihat daripada Syeikhnya, maka pada tahun 1266 Hijrah beliau telah berpindah di sebuah perkampungan yang bernama Musa Zai Sharif berdekatan dengan daerah Dera Ismail Khan di Pakistan di mana beliau telah memulakan pengembangan ajaran Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah sehinggalah ke akhir hayat beliau serta dimakamkan di sana. Dengan bantuan Hadhrat Qadhi 'Abdul Ghaffar Rahmatullah 'Alaih dan beberapa Ahli Zikir yang lain, mereka telah sama-sama membina sebuah Khanqah di Musa Zai Sharif.

Ketika beliau memasuki usia 68 tahun, keadaan kesihatannya sering terganggu lalu beliau telah melantik Hadhrat Khwajah Muhammad 'Utsman Damani Rahmatullah 'Alaih sebagai Khalifahnya dan telah mengurniakannya dengan Ijazah kebenaran yang tiada terbatas untuk mengajar Tariqah Silsilah Naqshbandiyah Mujaddidiyah Ma'sumiyah Mazhariyah dan Tariqah Silsilah Qadiriyah, Chistiyah, Suhrawardiyah, Kubrawiyah, Shattariyah, Madariyah, Qalandariyah dan beberapa silsilah Tariqat yang lain. Beliau juga telah mempusakakan kepada Hadhrat Khwajah Muhammad 'Utsman Damani Rahmatullah 'Alaih semua perbendaharan Khanqahnya termasuk di Musa Zai Sharif, perpustakaan dan harta yang mana keputusan tersebut telah diterima dengan rela hati oleh sekelian Para Khalifahnya.

Hadhrat Khwajah Muhammad 'Utsman Damani Rahmatullah 'Alaih telah berkata bahawa Murshidnya Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih pernah berkata,
"Apabila daku menghadapi sesuatu kesulitan, maka Hadhrat Khwajah Khidhr akan hadir padaku untuk memberikan mesyuaratnya dan menenangkan diriku."

Hadhrat Khwajah Haji Dost Muhammad Qandahari Rahmatullah 'Alaih meninggalkan dunia ini pada 22 Syawal 1284 Hijrah bersamaan 17 Febuari 1868 Masihi dan telah dikebumikan di perkarangan Khanqah Ahmadiyah Naqshbandiyah Mujaddidiyah, Musa Zai Sharif, Dera Ismail Khan, Pakistan yang sehingga kini masih menerima kunjungan para penziarah dari kalangan orang Khawas dan 'Awam.

Antara ungkapan hikmahnya,
"Kamu mendengar perkataanku, dengarkan juga bahawa terdapat perkataan yang selain dariku. Ianya bukan bermaksud untuk pendengaran telinga jasmani kerana kamu hanya melihat daku dan kamu berfikir bahawa tiada amalan Tasawwuf yang berjauhan dariku. Kamu berada di sini untuk belajar, bukannya untuk mengumpulkan maklumat sejarah."

1 ulasan: