Khamis, 14 Julai 2011

Tujuh Ayat Al-Fatihah: Futuhat An-Najahah



TUJUH AYAT AL-FATIHAH

Dalam Tafsir Jalalain ada dinyatakan bahawa Surah Al-Fatihah adalah Surah yang diturunkan di Makkah mengandungi tujuh ayat beserta Tasmiyah yang juga dikenali sebagai Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ). Seandainya Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) adalah dari kandungan Surah Al-Fatihah, maka ayat yang ketujuh adalah "Siratal-Ladzina" (ﺻﺮﺍﻁ ﺍﻟﺬﻳﻦ) hingga ke akhirnya, dan jika Basmalah bukan daripada Surah Al-Fatihah, maka ayat yang ketujuh adalah "Ghairil-Maghdhubi" (ﻏﻴﺮ ﺍﻟﻤﻐﻀﻮﺏ) sehingga ke akhirnya.

Telah timbul Ikhtilaf perselisihan pendapat berkenaan kedudukan ayat Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) atau At-Tasmiyah (التسمية) ini. Terdapat tiga Mazhab pendapat berkenaan perkara ini seperti yang telah dinukilkan oleh Hadhrat Imam Al-Baghawi Rahmatullah 'Alaih di dalam Tafsir beliau yang berjudul Mu'allim At-Tanzil seperti berikut:

1. Pendapat Mazhab yang pertama adalah Para Qurra iaitu orang-orang yang mahir berkenaan Al-Quran dari kalangan penduduk Madinah, Basrah dan Para Fuqaha iaitu orang-orang yang mahir dalam bidang ilmu Fiqah di Kufah. Mereka berpendapat bahawa ayat tersebut bukan daripada ayat pembukaan Al-Kitab Al-Quran dan bukan pula ayat pembukaan Surah-Surah yang lain. Pembukaan pembacaan Al-Quran dengan ayat tersebut adalah bagi menghasilkan maksud At-Tayammun (للتيمن) dan At-Tabarruk (التبرك) yakni bertujuan memperolehi keuntungan dan keberkatan dengan Nama-Nama Allah Ta'ala.

2. Pendapat Mazhab yang kedua adalah dari kalangan Para Qurra di Makkah, Kufah dan kebanyakan Para Fuqaha di Hijaz dengan menganggap bahawa ayat tersebut adalah daripada Surah Al-Fatihah dan bukannya ayat daripada sekelian Surah kerana ianya dituliskan sebagai Fasal pembahagi untuk setiap Surah.

3. Pendapat Mazhab yang ketiga adalah pendapat Hadhrat Ats-Tsauri, Hadhrat Ibnu Al-Mubarak dan Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy Rahmatullah 'Alaihim. Mereka berpendapat bahawa ayat tersebut adalah daripada Surah Al-Fatihah dan juga daripada setiap Surah kecuali Surah At-Taubah kerana ianya telah ditulis di dalam Mushaf dengan tulisan pada hampir setiap Surah di dalam Al-Quran.

Hadhrat Imam Al-Mawardi Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan di dalam Tafsir An-Nukat Wa Al-'Uyun karangannya bahawa, telah menjadi Ijma' kesepakatan Para 'Ulama dan Mufassirin bahawa Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah daripada isi kandungan Al-Quran di dalam Surah An-Naml.

Walaupun demikian, terdapat perselisihan pendapat pada mengitsbatkannya sebagai kandungan daripada Surah Al-Fatihah. Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy Rahmatullah 'Alaih dan sebahagian Para 'Ulama telah mengitsbatkan Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) sebagai ayat permulaan bagi setiap Surah kecuali Surah At-Taubah. Hadhrat Imam Abu Hanifah Rahmatullah 'Alaih telah menafikan pendapat tersebut dengan menganggap bahawa ianya bukan termasuk sebagai ayat permulaan bagi setiap Surah.

Telah bersepakat Para 'Ulama bahawa Surah Al-Fatihah adalah mengandungi tujuh ayat. Di sisi Hadhrat Imam Al-Baghawi Rahmatullah 'Alaih ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah ayat yang pertama daripada Surah Al-Fatihah dan permulaan ayat yang terakhir adalah Siratal-Ladzina (صراط الذين). Bagi mereka yang tidak menggapkannya sebagai ayat daripada Surah Al-Fatihah telah menjadikan ayat yang pertama ialah Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin (الحمد لله رب العالمين) dan permulaan ayat yang terakhir ialah Ghairil-Maghdhzubi 'Alaihim (غير المغضوب عليهم).

Antara hujjah mereka yang menjadikan Al-Basmalah sebagai suatu ayat daripada Surah Al-Fatihah dan juga sebagai suatu ayat bagi Surah-Surah yang lain adalah kerana telah dituliskan di dalam Mushaf Al-Quran dengan tulisan sepertimana yang tertulis di dalam Al-Quran. Di samping itu mereka mengemukakan sebuah riwayat dari Hadhrat 'Abdul Wahhab Bin Muhammad Al-Kisai Rahmatullah 'Alaih bahawasanya Hadhrat Abu Muhammad 'Abdul 'Aziz BinAhmad Al-Khilal telah menyatakan bahawa Hadhrat Abu Al-'abbas Muhammad Bin Ya'aqub Al-Asam Rahmatullah 'Alaih telah menyatakan bahawasanya Hadhrat Ar-Rabi' Bin Sulaiman telah menyatakan bahawa Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy telah menyatakan bahawa Hadhrat 'Abdul Majid telah meriwayatkan daripada Hadhrat Ibnu Juraij Rahmatullah 'Alaih bahawa beliau telah berkata bahawa bapanya iaitu Hadhrat Juraij Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan daripada Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah membacakan Firman Allah dari Surah Al-Hijr ayat 87,

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung. [Al-Hijr: 87]

Seterusnya, Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu berkata bahawa Surah Al-Fatihah adalah Ummu Al-Quran (أم القرآن). Kemudian, Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah membacakan Surah tersebut sehingga tamat kepada Hadhrat Juraij Rahmatullah 'Alaih lalu berkata bahawa,
"Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah ayat yang ketujuh".

Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu seterusnya telah berkata,
"Hadhrat Ibnu 'Abbas telah membacakannya kepadaku sepertimana daku telah membacakannya kepada kamu, kemudian beliau telah berkata,

بسم الله الرحمن الرحيم الآية السابعة فذخرها لكم فما أخرجها لأحد قبلكم.

"Bismillahir-Rahmanir-Rahim adalah ayat yang ketujuh, maka ianya telah disimpan untuk kamu dan tiada pernah ianya dikeluarkan untuk sesiapa pun sebelum kamu."

Bagi mereka yang tidak menganggapkan Al-Basmalah sebagai satu ayat daripada Surah Al-Fatihah telah berhujjah dengan sebuah riwayat yang telah dikhabarkan oleh Hadhrat Abu Al-Hasan Muhammad Bin Muhammad Ash-Shirazi Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan bahawa Hadhrat Zahir Bin Ahmad Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan bahawa Hadhrat Abu 'Isa Ishaq Al-Hashimi Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan daripada Hadhrat Abu Mus'ab Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Malik Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Hamid At-Tawil Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Anas Bin Malik Radhiyallahu 'Anhu bahawa beliau telah berkata,
"Daku telah pernah berdiri Solat di belakang Hadhrat Abu Bakar As-Siddiq dan Hadhrat 'Umar Bin Al-Khattab dan Hadhrat 'Utsman Bin 'Affan Radhiyallahu 'Anhum dan sesungguhnya kesemua mereka tiadalah membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) ketika sudah memulakan Solat."

Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah meriwayatkan daripada Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidak dapat mengenali tanda-tanda yang membezakan sesebuah Surah sehinggalah telah diturunkan ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم).

Hadhrat Ibnu Mas'ud Radhiyallahu 'Anhu telah berkata,

كنا لا نعلم فصل ما بين السورتين حتى ينزل بسم الله الرحمن الرحيم.

"Sesungguhnya kami tidak mengetahui Fasal yang menjadi pembahagi di antara dua buah Surah sehinggalah turun ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم)."

Hadhrat Imam Ash-Shu'bi Rahmatullah 'Alaih telah berkata bahawa, adalah menjadi kebiasaan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menulis pada permulaan setiap urusan atas adat resam bangsa Quraish iaitu dengan menuliskan Bismika Allahumma (باسمك اللهم) sehinggalah ayat 41 daripada Surah Hud diturunkan,

Dan Nabi Nuh 'Alaihissalam berkata: "Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut Nama Allah di waktu berlayar dan ketika berlabuhnya." Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengubah permulaan penulisannya dengan kalimah Bismillah (باسم الله) sehinggalah ayat daripada Surah Al-Isra ayat 110 telah diturunkan,

Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman, dengan Nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai Al-Asma Al-Husna iaitu Nama-Nama yang terbaik dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam Solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara keduanya itu".

Maka, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengubah permulaan penulisannya dengan kalimah Bismillahir-Rahman (بسم الله الرحمن) sehinggalah turun ayat 30 daripada Surah An-Naml,

Sesungguhnya surat itu dari Hadhrat Nabi SuIaiman 'Alaihissalam dan sesungguhnya isi kandungannya ialah: "Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang."

Maka Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menurutinya dalam memulakan penulisan dengan kalimah Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan