Khamis, 14 Julai 2011

Huruf Al-Basmalah: Futuhat An-Najahah



HURUF AL-BASMALAH


Bilangan huruf yang dilafazkan bagi kalimah Al-Basmalah ini ada lapan belas manakala yang termaktub dalam bentuk penulisan adalah sembilan belas. Apabila dihuraikan kalimah-kalimah tersebut, ianya mengandungi dua puluh dua huruf. Lapan belas mengisyaratkan kepada Al-'Awalim (العوالم) yakni sekelian alam yang diiktibarkan sebagai Lapan Belas Ribu 'Alam. Oleh kerana Al-Alfu (الألف) yang bermakna seribu adalah merupakan bilangan yang sempurna merangkumi atas baki martabat-martabat bilangan, maka bilangan seribu dianggap sebagai Ummu Al-Maratib (أمّ المراتب) yang mana tiada bilangan yang mengatasinya. Maka, Lapan Belas Ribu 'Alam tersebut diiktibarkan sebagai Ummahat Al-'Awalim (أمّهات العوالم) yang merangkumi 'Alam Jabarut, 'Alam Malakut, 'Arash, Kursi, Tujuh Petala Langit, Empat Anasir dan sekelian juzuk-juzuknya. Sembilan belas huruf adalah mengisyaratkan kepada 'Alam Insani. Meskipun ianya termasuk dalam 'Alam Haiwan, namun dengan mengambil iktibar pada kemuliaannya dan keterhimpunannya secara keseluruhan dan melingkungi segala kewujudan 'Alam yang lain, terdapat hal pekerjaan yang besar dan hujah baginya.

Hadhrat Imam Al-Waqi', Hadhrat Imam Ats-Tsa'labi, Hadhrat Imam Al-Qurtubi dan Hadhrat Ibnu 'Atiyyah Rahmatullah 'Alaihim telah meriwayatkan sebuah Hadits dari Hadhrat Al-A'mash Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkannya dari Hadhrat Abi Wail Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkannya dari Hadhrat Ibnu Mas'ud Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

من أراد أن ينجيه الله من الزبانية التسعة عشر فليقرأ " بسم الله الرحمن الرحيم " فيجعل الله له من كل حرف منها جنة من كل واحد

"Barangsiapa berkehendak agar Allah memeliharanya dari siksa Malaikat Zabaniyyah Penjaga Neraka yang sebanyak sembilan belas, maka hendaklah dia mengucapkan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", kerana Allah akan menjadikan baginya dari setiap huruf daripada pengucapannya sebagai perisai dari segala sesuatu."

Terdapat tiga huruf Alif (ﺍ) yang terhijab bagi menyempurnakan bilangan dua puluh dua huruf yang terhurai adalah mengisyaratkan kepada 'Alam Ilahi Al-Haqq (العالم الإلهيّ الحقّ) dengan diiktibarkan kepada Zat, Sifat dan Af'al. Maka, terdapat tiga 'alam secara Tafsil yang pada hakikatnya adalah merujuk kepada 'Alam Yang Maha Satu. Tiga huruf Alif (ﺍ) yang tertulis adalah mengisyaratkan bahawa penzahiran ketiga-tiga alam tersebut adalah pada Mazhar yakni tempat penzahiran yang agung iaitu Insan dan sebagai menghijabkan 'Alam Ilahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan