Rabu, 13 Julai 2011

Maksud Al-Basmalah: Futuhat An-Najahah


MAKSUD AL-BASMALAH

Maksud pembacaan Al-Basmalah ialah bahawa, "Daku memulakan pembacaan Surah Al-Fatihah ini dengan menyebut Nama Allah yang penuh keberkatan." Setiap pekerjaan yang baik hendaklah dimulakan dengan menyebut Nama Allah. Ketika hendak makan dan minum, memakai dan menanggalkan pakaian, keluar dan masuk rumah, menaiki kenderaan, menyembelih haiwan dan sebarang pekerjaan yang baik lebih-lebih lagi ketika memulakan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran hendaklah dimulakan dengan menyebut Nama Allah. Allah adalah Nama Zat Yang Maha Suci, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya, yang tidak bergantung pada makhlukNya, tetapi makhluk yang bergantung kepadaNya.

Di dalam kitab Tafsir Al-'Azhim karangan Hadhrat Imam Ibnu Katsir Rahmatullah 'Alaih ada menukilkan bahawa Hadhrat Imam Abu Muhammad 'Abdur Rahman Bin Abi Hatim Rahmatullah 'Alaih di dalam Tafsirnya telah menyatakan bahawa beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Ja'afar Bin Musafir Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Zaid Bin Al-Mubarak As-San'ani Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Salam Bin Wahab Al-Jundi Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari bapanya Hadhrat Wahab Al-Jundi Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Tawus Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat 'Utsman Bin 'Affan Radhiyallahu 'Anhu telah bertanya kepada Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Ta'ala 'Alaihi Wasallam berkenaan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ)? Maka Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

هو اسم من أسماء الله وما بينه وبين اسم الله الأكبر إلا كما بين سواد العينين وبياضهما من القرب

"Ia adalah nama dari Nama-Nama Allah dan tiadalah di antaranya dan antara Nama Allah Yang Maha Besar melainkan kedekatan jaraknya adalah seumpama antara mata hitam dan putih pada kedua belah mata."

Hadits ini telah diriwayatkan juga oleh Hadhrat Abu Bakar Bin Mardawaih Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat Sulaiman Bin Ahmad Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat 'Ali Bin Al-Mubarak Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat Zaid Bin Al-Mubarak Rahmatullah 'Alaih. Hadits ini juga telah dikeluarkan oleh Hadhrat Imam Al-Hakim, Hadhrat Imam Al-Baihaqi, Hadhrat Imam Abu Dzar Al-Harwi dan Hadhrat Imam Al-Khatib Al-Baghdadi Rahimahumullah dengan riwayat dari Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu.

Hadhrat Imam Ibnu Abi Ad-Dunya dan Hadhrat Imam Ibnu Syaibah Rahmatullah 'Alaihima telah mengeluarkan sebuah Hadits dari Hadhrat Ash-Shu'bi Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻷﻋﻈﻢ ﻫﻮ ﺍﷲ

"Dengan Nama Allah Yang Maha Teragung adalah Allah".

Hadhrat Imam Al-Bukhari Rahmatullah 'Alaih telah mengeluarkan sebuah Hadits dari Hadhrat Jabir Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﺇﺳﻢ ﷲ ﺍﻷﻋﻈﻢ ﻫﻮ ﺍﷲ ﺍﻻ ﺗﺮٰﻯ ﺃﻧﻪ ﰲ ﺟﻤﻴﻊ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ ﻳﺒﺪﺃ ﺑﻪ ﻗﺒﻞ ﻛﻞ ﺇﺳﻢ

"Isim Allah Al-A'zham yakni Nama Allah Yang Paling Teragung adalah Allah. Apakah kamu tidak melihat bahawasanya pada setiap pembacaan Al-Quran dimulai dengan "Bismillah" sebelum menyebut sekelian nama."

Hadhrat Imam As-Sullami Rahmatullah 'Alaih seorang Mufassir yang telah mengarang kitab Tafsir berjudul Haqaiq At-Tafsir ada menukilkan dari Hadhrat Abu Al-Qasim Al-Hakim Rahmatullah 'Alaih telah menyatakan bahawa ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) adalah mengisyaratkan kepada kasih-sayang Allah pada segala permulaan.

Menurut pengarang Tafsir Ruh Al-Bayan, Hadhrat Isma'il Haqqi Rahmatullah 'Alaih tentang perkara yang sahih lagi diterima di sisi 'Ulama Mutaakhirin Mazhab Hanafiyah bahawa Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah suatu ayat yang berasingan dan bukan sebahagian juzuk daripada Surah Al-Fatihah. Ianya telah diturunkan sebagai pembahagi bagi setiap Surah. Ianya juga diturunkan sebagai suatu sumber keberkatan dalam memulakan sesuatu pekerjaan seperti dengan menyebutnya pada setiap urusan yang penting.

Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) adalah Kunci Al-Quran dan merupakan kalimah pertama yang telah dituliskan oleh Qalam pada Lauh Mahfuz dan merupakan kalimah pertama yang telah diturunkan kapada Hadhrat Baginda Nabi Adam 'Alaihissalam. Ketika hendak memulakan pembacaan Al-Quran, Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) hendaklah dibaca sesudah mengucapkan Al-Isti'azah iaitu kalimah memohon perlindungan Allah dari kejahatan Syaitan yang direjam.

Hikmah dikemudiankan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) sesudah Al-Isti'azah adalah sebagai mendahulukan pengosongan Takhalliyyah terhadap segala perkara mengatasi pengisian Tahalliyyah dan terhadap permohonan kepada segala sesuatu yang selain Allah dalam menghadap dan memberikan Tawajjuh kepada HadhratNya.

Orang-orang kafir dalam masyarakat Jahiliyah pada kelazimannya memulakan pekerjaan mahupun ucapan mereka dengan nama tuhan-tuhan mereka dengan mengucapkan, "Dengan Nama Al-Lata dan Al-'Uzza". Maka bagi sekelian Ahli Tauhid wajiblah memaksudkan pengertian makna yang khusus berkaitan Nama Allah dalam pengucapan mereka ketika memulakan sesuatu pekerjaan, iaitu dengan mendahulukan pengucapannya kemudian diikuti dengan amal perbuatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan