Rabu, 13 Julai 2011

Faedah Al-Basmalah: Futuhat An-Najahah



FAEDAH AL-BASMALAH

Hadhrat Imam Jalaluddin As-Sayyuti Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan sepuluh faedah daripada Al-Basmalah.


Pertama:
Menurut Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih, Al-Basmalah bukanlah suatu ayat daripada Surah Al-Fatihah dan buka dari sebarang Surah yang lain melainkan telah dikhususkan di dalam kandungan Surah An-Naml. Menurut pendapat Hadhrat Imam Syafi'I Rahmatullah 'Alaih bahawa ianya adalah suatu ayat daripada Surah Al-Fatihah. Menurut Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahawa ianya adalah suatu ayat permulaan bagi setiap Surah.

Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih telah memberikan hujjah dengan sebuah Hadits Sahih yang panjang yang telah diriwayatkan oleh Hadhrat 'Ubay Bin Ka'ab Radhiyallahu 'Anhu, bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda yang mafhumnya bahawa,
"Telah diturunkan kepadaku sebuah Surah yang tidak ada seumpama dengannya di dalam Kitab Taurat, Kitab Injil mahupun Al-Quran. Alhamdu Lillahi Rabbil-'Alamin (Segala puji bagi Allah Tuhan Pemelihara seluruh alam)."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah memulakan pembacaan Surah Al-Fatihah tanpa menyebutkan Basmalah. Hadits tersebut juga telah diriwayatkan oleh Hadhrat Imam At-Tirmizi Rahmatullah 'Alaih dan Hadhrat Imam Al-Bukhari Rahmatullah 'Alaih di dalam At-Tafsir daripada Sahihnya.

Terdapat juga kenyataan dari sebuah Hadits Qudsi yang Sahih daripada Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih seperti yang telah diriwayatkannya di dalam Al-Muwatta dan oleh Hadhrat Imam Muslim di dalam Kitab As-Solah daripada Sahihnya bahawa Allah Ta'ala telah berfirman,
"Aku telah membahagikan Solat antara Aku dan HambaKu dalam dua bahagian. Apabila HambaKu mengucapkan: Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin…"

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga telah membacakan Surah Al-Fatihah tanpa menyebutkan Basmalah. Hadhrat Imam Syafi'I telah mengemukakan hujjahnya dengan menampilkan sebuah riwayat Hadits daripada Hadhrat Imam An-Nasa'I Rahmatullah 'Alaih dan Hadhrat Imam Ibnu Hibban Rahmatullah 'Alaih bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam selalu meyebut:

"Bismillahir-Rahmanir-Rahim. Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin."
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Segala puji bagi Allah Tuhan Pemelihara sekelian alam.

Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu telah memberikan hujjah bahawa Basmalah adalah tertulis bersama setiap Surah di dalam Mushaf.

Kedua:
Apabila kamu memulakan pembacaan sesebuah Surah hendaklah membaca Basmalah kecuali untuk Surah At-Taubah. Jika kamu memulakan membaca satu bahagian daripada sesebuah Surah, kamu mempunyai pilihan antara membacakan Basmalah atau meninggalkannya. Demikian menurut Hadhrat Abu 'Amr Ad-Dani Rahmatullah 'Alaih, seorang Imam dalam ilmu-ilmu penafsiran Al-Quran dan telah menulis banyak kitab dalam berbagai kaedah pembacaan dan hukum-hukum pembacaan serta Tafsir Al-Quran. antara kitabnya yang termasyhur adalah Kitab At-Taysir Fi Qira-ah Sab'ah yang menyatakan sanad mereka yang telah menerima kaedah pembacaan daripada tujuh orang pembaca Al-Quran.

Sebahagiannya berkata agar ditinggalkan pembacaan Basmalah. Jika kamu telah menyempurnakan suatu Surah dan hendak memulakan suatu Surah yang lain, maka para pembaca adalah berbeza-beza keadaannya sama ada hendak membacakan Basmalah ataupun meninggalkannya.

Ketiga:
Basmalah tidak dibacakan di dalam Solat menurut Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih, namun menurut Hadhrat Imam Ash-Shafi'I Rahmatullah 'Alaih ianya disebutkan secara jelas dan kuat di dalam Solat yang dibacakan secara Jihri dan hendaklah dibacakan secara perlahan dan rahsia di dalam Solat yang bacaan Al-Quran dibacakan secara Sirri. Menurut Hadhrat Imam Abu Haifah Rahmatullah 'Alaih, Basmalah hendaklah dibacakan secara rahsia dan perlahan di dalam kedua-dua jenis Solat sama ada Solat Sirri mahupun Solat Jihri.

Hadhrat Imam Malik telah memberikan hujjah dengan menampilkan dua sudut. Pertama, bahawa menurut beliau Basmalah bukanlah satu ayat daripada Surah Al-Fatihah seperti yang telah dikemukakan. Kedua, bahawa apa yang telah dinyatakan di dalam Hadits Sahih daripada Hadhrat Anas Radhiyallahu 'Anhu bahawa beliau telah berkata,
"Daku telah bersolat bersama dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Hadhrat Abu Bakar Radhiyallahu 'Anhu dan Hadhrat 'Umar Radhiyallahu 'Anhu dan Hadhrat 'Utsman Radhiyallahu 'Anhu, dan mereka telah memulakan pembacaan Surah Al-Fatihah dengan ucapan: "Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin" (Segala puji bagi Allah Tuhan Pemelihara sekelian alam)."
Tanpa menyebutkan Bismillah (Dengan Nama Allah) di permulaannya mahupun di penghujungnya, yakni ketika memulakan pembacaan Surah yang lain sesudah Surah Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan