Rabu, 13 Julai 2011

Fadhilat Al-Basmalah: Futuhat An-Najahah



FADHILAT AL-BASMALAH

Sesungguhnya ucapan Al-Basmalah mengandungi kesan keberkatan yang sangat besar, maka adalah Mustahab mengucapkan "Bismillah" pada permulaan setiap pekerjaan mahupun perkataan. Adalah Mustahab mengucapkannya ketika permulaan menyampaikan Khutbah kerana telah datang riwayat sebuah Hadits yang masyhur bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

كل أمر لا يبدأ فيه ببسم الله الرحمن الرحيم فهو أجذم

"Setiap urusan yang tidak dimulakan padanya dengan ungkapan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ), maka ianya adalah terkudung".

Dalam Hadits yang lain dengan sabdanya,

كل أمر ﺫﻱ ﺑﺎﻝ لا يبدأ ببسم الله الرحمن الرحيم فهو أﻗﻄﻊ ﻭ ﻫﻮ ﺃﺑﺘﺮ

"Setiap urusan penting yang tidak dimulakan dengan ungkapan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ), maka ianya adalah terputus dan ianya tidak berkat".

Dalam sebuah Hadits yang telah diriwayatkan oleh Hadhrat Imam Daruqutni Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat Ibnu 'Umar Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah mengatakan,
"Adalah Hadhrat Jibril 'Alaihissalam datang menemuiku dengan membawa Wahyu dan mula-mula yang diberikannya kepadaku ialah kalimah "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ).

Mengucapkan Al-Basmalah juga adalah Mustahab ketika hendak memasuki tandas kerana terdapat Hadits yang menyatakan sedemikian. Adalah Mustahab mengucapkannya ketika permulaan Wudhu' kerana ada dinukilkan sebuah Hadits Hasan oleh Hadhrat Imam Ahmad Rahmatullah 'Alaih dalam kitab Musnad karangan beliau dengan riwayat daripada Hadhrat Abu Hurairah, Hadhrat Sa'id Bin Zaid dan Hadhrat Abu Sa'id Radhiyallahu 'Anhum bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا وضوء لمن لم يذكر اسم الله عليه

"Tiadalah sempurna Wudhu bagi seseorang yang langsung tidak menyebut Nama Allah atas Wudhunya."

Terdapat sebahagian di kalangan Para 'Ulama yang telah mewajibkan menyebut bacaan Al-Basmalah ketika memulakan Wudhu berdasarkan Hadits ini. Begitu juga ketika menyembelih haiwan, adalah Mustahab menyebutkan Al-Basmalah di sisi Mazhab Syafi'iy dan jemaah para pengikutnya manakala sebahagian yang lain telah mewajibkan pembacaannya.

Hadhrat Imam Ar-Razi Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan dalam kitab Tafsirnya berkenaan fadhilat kelebihan Al-Basmalah menerusi beberapa buah Hadits, antaranya sebuah Hadits yang telah diriwayatkan oleh Hadhrat Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

إذا أتيت أهلك فسم الله فإنه إن ولد لك ولد كتب لك بعدد أنفاسه وأنفاس ذريته حسنات

"Apabila kamu mendatangi isterimu, maka sebutlah Nama Allah kerana jika dikurniakan kamu dengan anak, nescaya akan dituliskan pahala Hasanah kebaikan bagimu sebanyak bilangan nafas-nafasnya dan nafas-nafas zuriatnya."

Begitulah juga ketika makan dan minum, adalah menjadi Mustahab menyebutkan Al-Basmalah ketika memulakannya kerana ada sebuah Hadits yang dinyatakan di dalam Sahih Muslim bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda kepada Hadhrat 'Umar Bin Abi Salamah Radhiyallahu 'Anhu,

قل بسم الله وكل بيمينك وكل مما يليك

"Ucapkanlah "Bismillah" dan makanlah dengan tangan kanan kamu dan makanlah dari apa yang dekat padamu."

Begitu juga, adalah Mustahab mengucapkan Al-Basmalah ketika Jima' kerana terdapat riwayat di dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim dari Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu telah meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لو أن أحدكم إذا أراد أن يأتي أهله قال بسم الله اللهم جنبنا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا فإنه إن يقدر بينهما ولد لم يضره الشيطان أبدا

"Jikalau salah seorang di kalangan kamu ketika hendak mendatangi isterinya hendaklah mengucapkan:

"Dengan Nama Allah, Wahai Allahumma, jauhkanlah kami dari Syaitan dan jauhkanlah Syaitan terhadap apa yang Engkau rezekikan kepada kami."
Kerana sesungguhnya jika ditaqdirkan antara kedua pasangan tersebut anak, maka Syaitan tidak akan dapat mendatangkan sebarang mudharat kepadanya selama-lamanya."

Terdapat banyak Hadits Nabawi yang menyatakan berkenaan Fadhilat dan kelebihan Al-Basmalah. Bahawa Hadhrat Imam Ahmad Rahmatullah 'Alaih telah melaporkan daripada Hadhrat Abu Tamimah Radhiyallahu 'Anhu berkata mafhumnya, bahawa beliau sedang menunggang dibelakang Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam lalu kaki tunggangannya terjatuh dan beliau telah berkata:
"Celaka Syaitan!"

Mendengarkan perkataan beliau Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا تقل هكذا فإنه يتعاظم حتى يكون كالبيت ولكن قل بسم الله فإنه يصغر حتى يكون كالذبابة

"Janganlah berkata sedemikian kerana sesungguhnya perkataan tersebut akan menjadikannya sombong membesarkan diri sehingga keadaannya menjadi sebesar sebuah rumah, akan tetapi ucapkanlah "Bismillah" kerana sesungguhnya ucapan tersebut akan menjadikannya kecil sehingga keadaannya seperti seekor lalat."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah diriwayatkan sebagai pernah bersabda mafhumnya,

ﻣﺎ ﻣﻦ ﻋﺒﺪ ﻳﻘﻮﻝ ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ ﺇﻻ ﺫﺍﺏ ﺍﻟﺸﻴﻄﺎﻥ ﻛﻤﺎ ﻳﺬﻭﺏ ﺍﻟﺮﺻﺎﺹ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻨﺎﺭ

"Tiada seseorang hamba mengucapkan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) melainkan hancur Syaitan sebagaimana hancurnya timah yang ditaruh di atas api."

Ada dinukilkan di dalam Kitab Pati Rahsia karangan Hadhrat Tuan Guru Haji Nik Mahmud Bin Isma'il Rahmatullah 'Alaih iaitu Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Negeri Kelantan Darun-Na'im berkenaan Nama Allah Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi. Bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta'ala ada mempunyai tiga ribu nama iaitu sebanyak seribu Nama, Allah Ta'ala memberikan pengetahuannya kepada Para Malaikat sahaja. Sebanyak seribu Nama, Allah Ta'ala memberikan pegetahuannya kepada Para Nabi sahaja. Sebanyak tiga ratus Nama ada tersebut di dalam Kitab At-Taurat, sebanyak tiga ratus Nama ada tersebut di dalam Kitab Az-Zabur, sebanyak tiga ratus Nama ada tersebut di dalam Kitab Al-Injil, sebanyak sembilan puluh sembilan Nama ada tersebut di dalam Kitab Al-Quran dan satu Nama Khas tersimpan dalam Pengetahuan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Sekelian makna Nama-Nama Allah Ta'ala yang berjumlah tiga ribu itu ada terkandung di dalam ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) dan jika sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ), nescaya Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan mengurniakan kepadanya balasan pahala sebanyak pahala yang dikurniakan kepada orang yang membaca sekelian Nama Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang tiga ribu itu.

Sesiapa banyak membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) pada mana-mana perkara yang yang dihajati dan istimewa pula pada mendapatkan rezeki, nescaya Allah Ta'ala memudahkannya dan mengurniakannya dengan kehebatan pada hati mereka yang memandang kepadanya.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) dua puluh satu kali ketika hendak tidur, terpeliharalah pada malam itu daripada Syaitan dan daripada kejahatan manusia dan jin dan daripada kecurian dan kebakaran dan selamat daripada mati terkejut dan terjauh daripada bala dan penyakit.

Jika dibaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak seratus kali selama tujuh hari berturut-turut pada mana-mana penyakit ataupun pada orang yang kena sihir, nescaya sembuh orang itu daripada sihir dan penyakit.

Sesiapa yang membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seratus tiga belas kali pada hari Jumaat ketika Khatib di atas Mimbar, kemudian berdoa bersama Khatib dan memohon daripada Allah Ta'ala aka apa-apa hajat, nescaya Allah Ta'ala akan mengurniakan apa-apa yang dipohonkannya itu.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tiga ratus tiga belas kali ketika terbit matahari pada hari Ahad dengan keadaan menghadap Qiblat, nescaya Allah Ta'ala mengurniakan kepadanya rezeki yang tiada terhingga banyaknya.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tujuh ratus lapan puluh tujuh kali dengan hati yang suci pada suatu perkara yang diredhai oleh Allah Ta'ala atau pada mencapai sesuatu hajat atau hendak menjauhkan apa-apa bala, nescaya dapat dan berhasil apa-apa yang dipohonkannya. Cara yang terlebih elok dalam mengamalkan pembacaan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tujuh ratus lapan puluh tujuh kali ialah ketika dalam keadaan berpuasa di tempat yang suci yakni berkhalwat selama tujuh hari berturut-turut, kerana kaifiyat seperti ini terlebih diharap akan dapat dengan segera apa-apa yang dihajati.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak dua ribu lima ratus kali setiap selepas Solat Subuh selama empat puluh hari berturut-turut serta ingat kepada fadhilat-fadhilat kelebihannya, nescaya dibukakan oleh Allah Ta'ala akan hatinya mudah mengetahui ilmu-ilmu pengetahuan.

Sesiapa sentiasa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak seribu kali pada tiap-tiap hari, nescaya dijadikan semua manusia bersetuju kepadanya. Sesiapa sentiasa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seribu kali pada tiap-tiap hari, nescaya mudahlah memperolehi apa-apa yang dikehendakinya. Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seribu kali pada tiap-tiap hari dan malam, nescaya terlepaslah daripada bala musibah dan kesusahan.

Jika dibaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seribu kali pada suatu mangkuk air hujan, kemudian diberi minum kepada orang yang bodoh, ketika terbit matahari selama tujuh pagi berturut-turut, teraglah hatinya dan mudah ingat apa-apa yang dipelajarinya.

Sesiapa mengekali membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) ketika memulai sesuatu pekerjaan atau ketika duduk, bangun, hendak berjalan, tidur, makan, mengambil Wudhu, menulis, membaca dan lain-lai lagi, nescaya Allah Ta'ala mempermudahkan baginya keluar nyawa ketika hendak mati dengan tidak merasai apa-apa kesakitan, dan fasih lidahnya menjawab apa-apa pertanyaan Malaikat Munkar dan Nakir dan Allah akan memperluaskan kuburnya denga keadaan cahaya yang gilang-gemilang dan pada Hari Qiyamat akan dikeluarkannya dari kuburnya dengan keadaan putih kulitnya dan bercahaya-cahaya dan mendapatlah kebahagiaan dan kesenangan dan akan dapat melalui Titian Sirat dengan cepat seolah-olah seperti kilat lajunya masuk ke dalam Syurga.

Sabda Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermafhum bahawa,
"Allah Ta'ala tiada menolak permintaan orang berdoa yang dimulai dengan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ).

Sabda Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mafhumnya bahawa,
"Sesiapa daripada kalangan kamu yang hendak menulis, jadikanlah Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) pada awal tulisan kamu."

Dan lagi sabdanya,
"Sesiapa menulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) denga tiada dihapus, nescaya Allah Ta'ala mengurniakan kepadanya seribu kebajikan dan menghapuskan seribu kejahatan."
Sesiapa menulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) dengan tulisan yang elok kerana memuliakan Allah Ta'ala, nescaya Allah Ta'ala mengampunkan dosa-dosanya. Sesiapa yang mengutip sekeping kertas yang ada padanya tulisan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) kerana takut terkena pijak, nescaya Allah Ta'ala mengurniakan kepadanya masuk ke dalam kumpulan Para As-Siddiqin. Dan antara tanda-tanda kelebihan kalimah yang agung Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) ini ialah Surah-Surah dalam Al-Quran dimulai dengannya.

Jika ditulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak dua puluh satu kali pada suatu kertas kemudian diberi pakai kepada budak-budak kecil yang selalu terkejut ketika tidur, nescaya hilang penyakitnya itu. Sesiapa menulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tiga puluh lima kali pada suatu kertas kemudian digantungkan dalam rumah, terpeliharalah rumah itu daripada Syaitan, Jin dan diberi kepadanya Berkat yang banyak dan Allah Ta'ala akan memelihara hartanya dan usahanya serta terjauh daripada kesusahan. Sesiapa menulis kalimah Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak seratus satu kali pada suatu kertas yang putih kemudian tanamka dalam kebun, nescaya subur tumbuh-tumbuhannya dan terpelihara daripada musuh-musuhnya.


Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

أنزلت علي آية لم تنزل على نبي غير سليمان بن داود وغيري وهي " بسم الله الرحمن الرحيم "

"Telah diturunkan ke atasku suatu Ayat yang tidak pernah sama sekali diturunkan ke atas seorang Nabi pun selain Hadhrat Nabi Sulaiman Bin Hadhrat Nabi Daud 'Alaihimassalam dan selainku, dan ianya adalah "Bismillahir-Rahmanir-Rahim"."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﻛﺎﻥ ﺟﺒﺮﻳﻞ ﺇﺫﺍ ﺟﺎﺀ ﻧﻲ ﺑﺎﻟﻮﺣﻲ ﺃﻭﻝ ﻣﺎ ﻳﻠﻘﻰ ﻋﻠﻲ ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ

"Adalah Hadhrat Jibril 'Alaihissalam apabila datang kepadaku dengan membawa Wahyu, pertama-tama apa yang beliau mentalqinkan ke atasku adalah "Bismillahir-Rahmanir-Rahim"."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﳌﺎ ﻧﺰﻟﺖ ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ ﻓﺮﺡ ﺃﻫﻞ ﺍﻟﺴﻤٰﻮﺍﺕ ﻣﻦ ﺍﳌﻶﺋﻜﺔ ﻭﺍﻫﺘﺰ ﺍﻟﻌﺮﺵ ﻟﻨﺰﻭﳍﺎ ﻭﻧﺰﻝ ﻣﻌﻬﺎ ﺃﻟﻒ ﻣﻠﻚ ﻭﺯﺍﺩﺕ ﺍﳌﻶﺋﻜﺔ ﺇﳝﺎﻧﺎ ﻭﺧﺮﺟﺖ ﺍﳉﺎﻥ ﻋﻠﻰٰ ﻭﺟﻮﻫﻬﻢ ﻭﲢﺮﻛﺖ ﺍﻷﻓﻼﻙ ﻭﺫﻟﺖ ﻟﻌﻈﻤﺘﻬﺎ ﺍﻷﻣﻼﻙ

"Ketika turun "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", telah bergembira Ahli Langit dari kalangan Para Malaikat dan telah bergoncanglah 'Arash kerana penurunannya, dan telah turun berserta denganya seribu Malaikat dan telah bertambahlah keadaan Iman sekelian Para Malaikat, dan telah keluarlah sekelian Jin menundukkan muka mereka dan telah bergetarlah sekelian Falak dan bergementarlah sekelian sendi-sendi kerana keagungan penurunannya."

Hadhrat 'Aishah Radhiyallahu 'Anha bahawa beliau telah berkata,
"Ketika turun "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", telah bertasbihlah gunung-ganang sehingga ahli penduduk Makkah dan orang-orang di sekitarnya telah turut mendengarnya. Lalu mereka telah berkata,
"Rupanya Muhammad yang telah menyihir gunung-ganang itu."
Kemudian Allah telah menghantarkan awan sehingga bayang-bayangnya telah meneduhkan ahli penduduk Makkah. Kemudian, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﻣﻦ ﻗﺮﺃ ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ ﻣﻮﻗﻨﺎﹰ ﺳﺒﺤﺖ ﻣﻌﻪ ﺍﳉﺒﺎﻝ ﺃﻻ ﺃﻧﻪ ﻻ ﻳﺴﻤﻊ ﻣﻨﻬﺎ

"Barangsiapa membaca "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" dengan yaqin, akan bertasbihlah berserta dengannya segala gunung-ganang, cuma dia saja yang tidak dapat mendengar Tasbih darinya."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لما نزل " بسم الله الرحمن الرحيم " هرب الغيم إلى المشرق وسكنت الرياح وهاج البحر وأصغت البهائم بآذانها ورجمت الشياطين من السماء وحلف الله تعالى بعزته وجلاله أن لا يسمى اسمه على شيء إلا بارك فيه .

"Ketika turun "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", segala awan telah lari bergegasan ke arah Timur dan telah terhentilah segala angin dan lautan telah menjadi berkocak bergelora dan sekelian haiwan berkaki empat memperdengarkan antara sesama mereka dengan khabar seruan tersebut dan sekelian Syaitan telah direjam dengan rejaman dari langit dan Allah Ta'ala telah bersumpah dengan KemuliaanNya dan KeagunganNya bahawa tiada seorang pun yang menyebutkan NamaNya ke atas sesuatu melainkan dia mendapat keberkatan padanya."

Sebuah Hadits dari Hadhrat 'Asim bahawa beliau telah berkata,
"Daku telah mendengar Abu Tamimah Radhiyallahu 'Anhu sedang berbicara tentang ketika mana beliau menunggangi seekor keldai bersama Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seraya berkata bahawa beliau telah jatuh tersadung bersama dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari keldainya, lalu daku berkata, "Telah binasalah Syaitan". Maka Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا تقل تعس الشيطان فإنك إذا قلت تعس الشيطان تعاظم وقال بقوتي صرعته وإذا قلت بسم الله تصاغر حتى يصير مثل الذباب

"Janganlah kamu berkata, "Telah binasalah Syaitan", kerana sesungguhnya bagi dirimu apabila kamu berkata, "Telah binasalah Syaitan", dia menjadi sombong membesarkan diri dan dia berkata, "Demi kekuatanku, daku pasti mencari helah untuk menumbangkannya." Dan apabila kamu berkata "Bismillah", dia akan menjadi kecil sehinggakan berubah menjadi seperti lalat."
Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا تقل هكذا فإنه يتعاظم حتى يكون كالبيت ولكن قل بسم الله فإنه يصغر حتى يكون كالذبابة

"Janganlah berkata sedemikian kerana sesungguhnya perkataan tersebut akan menjadikannya sombong membesarkan diri sehingga keadaannya menjadi sebesar sebuah rumah, akan tetapi ucapkanlah "Bismillah", kerana sesungguhnya ucapan tersebut akan menjadikannya kecil sehingga keadaannya seperti seekor lalat."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan